Sunday, February 21, 2016

Kuasa Doa Yang Tulus


Doa adalah intipati ibadah. Doa mempamerkan betapa lemahnya insan dan kebergantungannya kepada Zat yang mencipta. Allah S.W.T. Maha Penyayang tidak akan membiarkan permohonan yang dipanjatkan dengan rasa tulus ikhlas terbiar tanpa dikabulkan.

Sebagai contoh, peristiwa yang dialami sendiri oleh pendakwah tersohor, Ustaz Muhammad Abdullah, lebih dikenali sebagai Ustaz Amin. Pada suatu hari Selasa, seorang pengetua sekolah agama telah meminta Ustaz Amin mencarikan penderma yang boleh membantu menyelesaikan masalah kewangan yang sedang membelenggu sekolah berkenaan. Bil api dan air, gaji guru-guru dan juga sewa bangunan tertunggak beberapa lama sehingga jumlahnya mencecah RM10,000.

Pada hari Khamis, malam Jumaat minggu yang sama, Ustaz Amin menghadirkan diri di sebuah masjid di Klang bagi sesi ceramah. Selesai sahaja program tersebut, ustaz telah diminta oleh pihak masjid supaya memimpin solat hajat bagi para jemaahnya. Di sujud terakhir solat hajat, ustaz memohon supaya Allah S.W.T. menunaikan hajat pengurusan sekolah agama yang sedang dalam kesempitan.

Keesokannya, iaitu pada hari Jumaat, ustaz menyampaikan satu lagi ceramah agama di sebuah masjid di Shah Alam. Sebaik sahaja selesai, seorang wanita separuh usia mendatangi ustaz dan menyatakan hasratnya ingin menderma, dan meminta ustaz menyampaikan sampul berisi cek itu kepada mana-mana sekolah agama yang memerlukan.

Ustaz Amin segera menyerahkan sampul itu kepada pengetua sekolah agama. Bila sampul dibuka, di dalamnya terkandung cek bernilai RM10,000. Kuasa doa yang ikhlas terkabul dalam hanya 3 hari, Masya Allah!

Sekarang cuba fikirkan, bagaimana cara kita berdoa? Adakah ia menepati adab-adabnya? Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah? Kalau kita hanya mendatangi-Nya ketika berada dalam kesusahan, sedangkan waktu senang, kita lalai, mungkinkah doa kita Allah makbulkan? Jom muhasabah diri. Jangan lakukannya esok, tetapi lakukan hari ini … sekarang!!!

No comments:

Post a Comment