Friday, July 17, 2015
Teruskan Amalan Madrasah Ramadhan
Ketika Idul Fitri menjelang tiba, kita tidak hanya mendengar gemuruh suara takbir yang membesarkan dan memuji Allah. Jauh dari lubuk hati yang dalam, kita mendengar gemuruh perasaan yang mengharu-biru dengan gemuruh tangis dan tawa. Kita menangis kerana mengenangkan bulan Ramadhan yang penuh barakah meninggalkan kita tepat pada waktunya, pada hujung jangkanya, pada kesempurnaan bilangannya. Pepatah Arab mengatakan: ~ idza zuqta halawat al-washilah la ‘arafta murrat al- qathi’ah ~ Jika engkau pernah merasakan indahnya pertemuan, nikmatnya kebersamaan, nescaya engkau akan merasakan pahitnya perpisahan.
Kita sedih kerana ditinggalkan bulan Ramadhan. Rahmat pada awalnya, maghfirah pada pertengahannya, pembebasan dari api neraka pada akhir bulannya.Kita berharap dan berdoa semoga Allah Swt memanjangkan umur kita hingga bertemu bulan Ramadhan pada tahun-tahun mendatang dalam peningkatan ibadah yang lebih baik, sihat afiat dan penuh curahan rahmat Allah Swt.Kita berbahagia pada hari ini kerana Allah Swt telah menghantarkan kita pada curahan hujan kasih sayang yang tidak ada batasnya. Baru saja kita meninggalkan rumah kita. Baru saja kita mengumandangkan takbir. Baru saja kita meratakan dahi diatas sejadah sambil membaca Subhana Rabbiyal 'Ala wa bi Hamdih.Sekarang kita duduk bersimpuh disaksikan oleh para malaikat; di mana Allah berseru kepada mereka: "Wahai para malaikat-Ku…
saksikanlah para hamba-Ku. Pada hari ini Aku telah mengampunkan semua dosa-dosa mereka yang berpuasa kerana-Ku. "
Firman Allah SWT: ""Sungguh beruntung orang yang membersihkan dirinya dan sungguh merugi orang yang mengotorinya." Pelajaran dan hikmah terpenting dari “Madrasah Shaum “ selama bulan Ramadhan ini adalah bagaimana cara kita terus menerus membersihkan batin kita dari sifat tercela, seperti sifat pemarah, dendam, tamak, iri dengki, ghibah serta penyakit-penyakit batin lainnya.Tidak ada yang dapat menyelamatkan kita pada hari pembalasan, pada hari kiamat kelak, melainkan mereka yang memiliki kebersihan hati, iaitu pada hari yang tidak memberi manfaat harta kekayaan dan anak-anak keturunan, melainkan orang yang datang dengan kebersihan hati.
Pada satu hari sedang Rasulullah s.a.w. duduk bersama para sahabatnya, kemudian baginda berkata:"Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian seorang lelaki penghuni Syurga." Tiba-tiba, muncullah seorang lelaki Ansar yang wajahnya masih basah oleh air wuduk. Dia mengepit kedua sandalnya dengan tangan kiri, kemudian masuk ke dalam masjid Nabawi dan mengerjakan solat sunnah di sana.Keesokan harinya Rasulullah s.a.w. berkata seperti semalam:"Sebentar lagi, akan datang seorang lelaki penghuni Syurga”. Lalu, muncullah orang yang sama. Begitulah Rasulullah s.a.w. mengulang-ngulang perkataan tersebut selama tiga hari berturut-turut terhadap orang yang sama.
Mendengar hal itu, Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a lalu mengikuti lelaki tersebut hingga ke rumahnya. Abdullah pun meminta izin untuk menginap di rumah lelaki itu selama 3 malam. Selama tiga hari itu, Abdullah terus memerhatikan apa yang dilakukannya kerana ingin mengetahui kenapa sehingga Rasullullah s.a.w. menyebutnya sebagai penghuni Syurga. Akan tetapi, selama itu pula, Abdullah tidak melihat sesuatu yang istimewa dalam ibadah orang tersebut. Orang itu hanya mengerjakan ibadah yang wajib dan mengerjakan solat sunat rawatib serta berwirid yang sekadarnya saja. Lalu Abdullah pun akhirnya bertanya kepada orang itu:"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkata tentang dirimu sampai tiga kali, akan datang lelaki penghuni Syurga. Dan yang datang adalah dirimu. Aku ingin menyaksikan amalanmu supaya aku dapat menirunya, mudah-mudahan dengan amalan yang sama aku dapat mencapai kedudukanmu.
Lelaki Ansar itu menjawab: "Yang aku amalkan tidak lebih dari apa yang engkau saksikan. Hanya ada satu amalan yang tidak pernah diketahui oleh orang lain. Amalan itu tidak pada amaliyyah zhahir, melainkan pada amalan hati; amalan batin." "Apakah amalan hati itu?" tanya Abdullah. Lelaki Ansar itu menjawab: "Selama hidupku, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, rasa iri dengki kepada saudara-saudaraku sesama muslim. Aku tidak pernah iri hati terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada mereka.Aku senang bahagia bila mereka bahagia dan aku ikut bersedih ketika mereka tertimpa musibah. Barangkali amal inilah yang membuat Allah redha kepada-Ku dan Rasulullah s.a.w. menjanjikan Syurga kepadaku. "
Dari kisah di atas dapatlah kita simpulkan baahwa tujuan akhir yang membawa kita keselamatan dunia dan akhirat hingga kenikmatan Syurga Jannatu Ma'wa, tidak semata amal kebaikan dalam ibadah solat, puasa, zakat, umrah dan haji saja, tetapi juga amalan yang berdasarkan pada kebersihan hati yang terhindar dari penyakit batin yang tercela.Seseorang yang di dalam hatinya senang apabila melihat saudara mendapatkan kenikmatan, serta ikut merasakan penderitaan di kala saudaranya merasakan penderitaan. Inilah amalan yang tidak ternilai pahala dan ganjarannya. Sudah tentu kita masih lagi terbayang jelas hari-hari penuh barakah yang kita telah jalani di bulan Ramadhan. Indahnya malam-malam yang dipenuhi dengan solat sunah tarawih, lantunan ayat-ayat suci al-Quran serta kenikmatan berbuka puasa. Kini semua nuansa indah itu telah berlalu meninggalkan kita. Perlahan-lahan, sedikit demi sedikit marilah kita ingat pada orang-orang yang kita cintai dalam hidup ini. Hari ini mereka tidak dapat lagi berbahagi bahagia bersama kita. Mereka telah pergi menyambut panggilan Ilahi.
Ya Rabb….Hari ini mereka yang sudah tidak dapat bersama kami, tidak dapat kami menghulurkan tangan untuk meminta maaf atas dosa-dosa kami kepada mereka, tidak dapat kami undang mereka untuk berkumpul di rumah kami. Kami memohon Ya Allah kirimkanlah rasa kasih sayang kami kepada mereka. Harumkanlah kubur mereka dengan wewangian doa-doa kami. Sampaikanlah salam kami yang tulus ikhlas kepada mereka
Ringankan beban yang menghimpit mereka di alam kubur.Semoga pada hari nan fitri ini kita dapat mencapai kebersihan lahiriah dan bathiniyah serta memaknai Eid Fitri ini menjadi lebih barakah dan bermakna untuk menjalani satu tahun ke depannya.[Ustazah Siti Nurbaya Usman]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment