Sunday, July 19, 2015
Peringatan Untuk Pendakwah
Bila berbicara, gunalah perkataan yang baik. Janganlah menggunakan perkataan-perkataan yang kasar seperti "bodoh/ bangang/ beruk/ itik/ lembu/ monyet/ ular/ ulama Bani Israel/ syaitan" dan sebagainya, hanya kerana berbeza pandangan dengan seseorang dalam sesuatu permasalahan. Ingatlah Allah Ta'ala berfirman (Al-Nahl 125):
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
---"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."
Perbanyakkan perbincangan ilmiah dan janganlah berbicara dengan emosi. Jika benci sesuatu kaum, maka tetaplah berlaku adil dan janganlah berlaku zalim.Ingatlah firman Allah Ta'ala (Al-Maidah 8):
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
---"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Ingatlah bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam diutuskan menyemai kemuliaan akhlak dan budi pekerti.Bacalah firman Allah Ta'ala (Ali Imran 159):
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
---"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." [Perkongsian dari FB: Fadlan Mohd Othman]
Muslim bukan seorang pencarut, pemaki hamun atau pencerca dengan kata-kata yang jelik dan keji. Lidah Muslim indah, atau selamat dari kalimat-kalimat tidak senonoh. Dia mungkin tegas, amarannya keras, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tetapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:
لَمْ يَكُنِ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - سَبَّابًا وَلاَ فَحَّاشًا وَلاَ لَعَّانًا
---"Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain". (riwayat al-Bukhari).
Mencerca atau memaki hamun orang lain dalam sesuatu majlis itu tidak baik. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir: "Bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Dalam riwayat disebutkan:
انْتَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى مَجْلِسٍ مِنْ مَجَالِسِ الأَنْصَارِ وَرَجُلٌ فِيهِمْ قَدْ كَانَ يُعْرَفُ بِالْبَذَاءِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ.
---“Nabi s.a.w sampai di satu majlis orang Ansar. Kalangan mereka ada seorang lelaki yang suka perkataan buruk. Nabi s.a.w bersabda: "Memaki orang Muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment