Sunday, July 26, 2015
Kelemahan Itulah Kekuatan Wanita
Wanita memiliki kelemahan tersendiri. Wanita Muslim terutamanya terikat dengan beberapa aturan dalam agama. Auratnya lebih susah dijaga (lebih banyak) dibanding lelaki. Wanita perlu meminta izin suaminya apabila hendak keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Apabila menjadi saksi, saksi wanita kurang berbanding lelaki. Bahagian pusaka yang diperolehi wanita kurang berbanding lelaki. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. Wanita wajib taat kepada suaminya, tetapi suami tidak perlu taat pada isteri. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadah kerana adanya masalah haid dan nifas, yang tidak ada pada lelaki.
Tetapi cuba lihat di sebalik semua kelemahan itu. Sebenarnya wanita memiliki kekuatan yang amat besar. Benda yang mahal dan bernilai umumnya dijaga, dibelai serta disimpan di tempat yang aman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiarkan berserakan. Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Memang wanita perlu taat kepada suami, tetapi sesungguhnya lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama daripada kepada bapanya. Pusaka yang diterima oleh wanita walaupun sedikit ia adalah milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suami. Lelaki yang menerima pusaka wajib menggunakan harta itu untuk menyara isteri dan anak-anak. Wanita hamil setiap saat didoakan oleh malaikat dan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini. Jika dia meninggal dunia kerana melahirkan, kematiannya adalah syahid dan syurga menantinya. Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan ke atas 4 wanita, iaitu isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya. Ertinya, wanita ditanggung oleh 4 orang lelaki, iaitu: suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment