Wednesday, November 13, 2013

Jihad Si Juruvideo

serenemaklong.blogspot.com
Realiti peperangan, terutama di Syria sangat berbeza dengan suasana latihan dan babak dalam filem. Hal ini difahami benar oleh Saudara Faisal Hamdi, seorang juruvideo sukarelawan. Lokasi kejadian memang diketahui penduduk tempatan, di mana terdapat sniper Basyar dan sudah ramai menjadi mangsa. Di tempat tersebut juga letaknya kubu pertahanan mujahidin FSA. Jika berlaku serangan dari pihak tentera Basyar maka akan berlaku serangan balas dari FSA. Serangan tersebut berlaku pada waktu malam ketika van yang dinaiki Faisal Hamdi dalam keadaan bergerak. Sniper terbaik di dunia pun ada kebarangkalian tersasar tembakannya jika suasana sekeliling tidak membantu seperti gelap, kadar kelajuan angin dan sasarannya bergerak.
Faisal Hamdi ada diberi peluang oleh Mujahidin FSA untuk menembak ke arah tentera regim yang hampir setiap masa menyerang rakyat, masjid, sekolah dengan bom dari pesawat udara, kereta kebal, meriam, mortar, sniper dan bermacam lagi kelengkapan canggih. Faisal Hamdi ingin merasai sendiri pengalaman dan perasaan mujahidin di medan perang. Siapa dapat tahan melihat sendiri kekejaman di hadapan mata dan hampir-hampir pula menjadi mangsa? Peluang ini merupakan satu penghormatan baginya. Tetapi untuk bergelar mujahidin masih jauh lagi baginya berbanding para mujahidin. Memegang dan menggunakan senjata api untuk menentang regim yang menyembelih rakyat tidak haram sepertimana sebahagian rakyat Malaysia yang kecoh tentang 'haram'nya memegang anjing. Kehidupan di sini dikelilingi orang-orang bersenjata api hinggakan seorang mudir sekolah agama terpaksa membawa pistol di sebalik Al Quran kecil yang dibawanya ke sekolah semata-mata untuk mempertahankan diri.
Walau diserang dengan senjata kimia, Mujahidin Syria tabah dan kuat mengharungi segala penderitaan memperjuangkan agama Allah dan meninggalkan terus nikmat dunia. Akhlak mereka sangat mulia, tidak mudah marah, tidak mudah melenting dan tidak mudah membuat sesuatu yang sia-sia, apatah lagi yang merugikan umat Islam. Mereka sangat menyanjungi bantuan rakyat Malaysia walaupun sumbangan terhad kepada kemanusiaan seperti bantuan makanan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Maka in sya Allah saham kita juga bersama para mujahidin.
Melihat sendiri suasana kehidupan mujahidin memberi inspirasi dan motivasi yang sangat tinggi kepada Faisal Hamdi untuk terus berjuang dengan caranya sendiri melalui media dengan bersenjatakan kamera. Itu jihadnya. Kerana dia tahu ilmu dan kebolehan yang Allah berikan sebagai juruvideo bukan suatu yang sia-sia dan tidak patut disia-siakan. Jika para mujahidin berjuang menggunakan senjata api dapat menewaskan 10 orang tentera musuh, senjata media dapat tumbangkan sebuah kerajaan zalim dengan memberi pendedahan, penerangan dan kesedaran kepada masyarakat dunia tentang apa yang sebenarnya berlaku di Syria melalui First Hand Information supaya masyarakat dunia bangkit menentang kekejaman rejim Basyar. Apatah lagi media arus perdana sangat berat sebelah dalam melaporkan apa yang berlaku di Syria. Siapa lagi boleh diharapkan kalau bukan diri sendiri melaporkan fakta sebenar apa yang berlaku?
Sheikh Muaz, seorang pengetua yayasan Maahad Tahfiz di Aleppo, Syria sendiri menyampaikan amanat kepada Faisal Hamdi bahawa "biarlah kami di sini berjuang mengangkat senjata kerana ini tanah tumpah darah kami, kamu sebagai media berjuanglah menyampaikan kepada rakyat Malaysia dan dunia mengenai perjuangan kami di sini. Kamera kamu itu senjata kamu. In sya Allah ganjaran kita sama di sisi Allah".
Faisal Hamdi sudah rasai sendiri kesengsaraan hidup di medan perang. Ia sungguh memilukan. Rakyat Syria yang luar biasa terpaksa menempuh kehidupan ini berhari-hari, berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Tiada sesiapapun sukakan peperangan. Mujahidin terpaksa berperang untuk membela agama, keluarga dan kehormatan dari pencabulan, pembunuhan dan penyembelihan regim yang dahagakan darah dan tidak berperikemanusiaan.
Rakyat Malaysia hidup selesa, namun masih sering bergaduh mengenai perkara remeh-temeh. Fikir-fikirkanlah orang lain yang terpaksa bergelut demi kelangsungan hidup. Biar mati berjasa..bukan mati sebagai orang biasa..

No comments:

Post a Comment