Friday, November 15, 2013

Iman Dan Taqwa

serenemaklong.blogspot.com
Diceritakan oleh Syu'bi daripada Khalid bin Ayub katanya: Pada suatu masa ada seorang lelaki yang jahat hidup di kalangan Bani Israel. Beliau diberi gelaran "khulayi" yang bermaksud sejahat-jahat manusia, kerana hidupnya penuh dengan perbuatan jahat dan fasik. Dalam pada itu ada seorang abid (ahli ibadat) Bani Israel yang diberikan kekeramatan awan sentiasa menaungi perjalanannya. Melihat hal tersebut, berkatalah si khulayi' di dalam hatinya, “Aku sejahat-jahat manusia Bani Israel dan dia Abid Bani Israel. Jika aku duduk dengannya, mudah-mudahan Allah memberi Rahmat kepadaku dengan sebabnya". Lalu si khulayi' duduk dekat si abid itu. Melihat ada manusia jahat yang duduk bersama-sama dengannya, maka berkatalah si abid di dalam hatinya, "Aku abid Bani Israel dan dia ini khulayi' Bani Israel yang duduk bersama denganku. Aku minta dipeliharakan diriku daripada dirinya yang jahat itu". Maka berkatalah si abid tadi dengan sombong, "Berdirilah engkau pergi jauh daripadaku". Tatkala itu Allah mewahyukan kepada Nabi Isa alahissalam: "Suruh olehmu kedua-kedua (khulayi' dan abid) memulakan semula amal ibadat mereka. Maka sesungguhnya telah Aku ampunkan dosa-dosa bagi khulayi' dan telah kubinasakan semua amal si abid". Maka berpindahlah awan naungan itu di atas kepala si khulayi'. Moral Cerita: Jangan dihina seorang pendosa dan jangan sangka kita ini mulia disebabkan amalan yang dikerjakan. Sesungguhnya iman diukur dengan ketaqwaan, bukan dengan banyaknya ilmu atau kelulusan. PINTU TAUBAT ITU SENTIASA TERBUKA KEPADA SESIAPA YANG SUDI MELINTASINYA DENGAN MEMBAWA HATI YANG BENAR LAGI IKHLAS LAGI SUCI.

No comments:

Post a Comment