Wednesday, August 26, 2015
Mendidik Anak
Anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapa yang mencorakkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Oleh itu didik dan disiplinkan mereka menurut cara yang boleh menerapkan nilai-nilai murni. Sesetengah daripadanya ialah elakkan memukul anak dari lutut ke atas. Jangan gunakan tangan untuk memukul atau menampar anak sebab dia akan menjadi bertambah degil, nakal dan tidak boleh dikawal. Rotan anak di telapak kakinya. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tidak mengapa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran).”
Islam menggalakkan anak-anak diberikan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Peluk anak setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk. Pandanglah anak dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak berasa lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran. Berikan peneguhan setiap kali anak membuat kebaikan. Puji, peluk, cium, beri hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.
Jangan harapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan. Mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah membuat silap. Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Jika tidak dimanfaati sebaik-baiknya masa itu akan terus berlalu dan tidak kembali. Jangan mengeluh ketika membesar dan mendidik anak-anak. Keluhan akan membuat anak-anak terasa diri mereka membebankan.
Dengarlah cerita anak. Cerita itu tidak akan dapat didengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Tenangkan anak setiap kali dia memerlukannya. Tunjukkan kepada anak cara menenangkan diri. Dia akan menirunya. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadi. Sediakan hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. Anak-anak yang datang dari persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain. Mungkin anak bukan terima pengajaran pada kali pertama belajar. Mereka mungkin perlu diajar lebih daripada sekali.
Luangkan masa bersama anak ketika di luar rumah. Pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan ibu bapa. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak. Mimpi itu begitu real dalam dunia mereka. Hargailah permainan kesayangan anak-anak. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan ibu bapa. Elakkan membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian. Jangan biarkan anak-anak anda tidur tanpa ucapan salam dan selamat malam. Ibu bapa bukan sempurna. Ini akan mengurangkan stres menjadi ibu bapa. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka. Dua puluh tahun dari sekarang kita pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Ketika itu anak-anak anda sibuk mendengar tangisan anak-anak mereka sendiri. [Wanita Idaman]
Bukan mudah pada zaman ini untuk membesarkan anak-anak. Jika anak kita baik, mungkin anak lain yang rosakkannya. Jika anak kita jahat, dia sendiri merosakkan yang baik.Jadikan iktibar terhadap apa juga ketelanjuran yang dilakukan oleh mereka yang tersasar ketika mendidik anak-anak. Jangan biar kesalahan yang itu dilakukan oleh anak-anak kita pula. Apapun ingatlah bahawa ""Kata-kata hikmah boleh melembutkan hati yang sekeras batu.Kata-kata kesat boleh mengeraskan hati yang selembut sutera."
[Imam al-Ghazali]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment