Tuesday, August 25, 2015
Gunakan Masa Untuk Pahala
Ketika usia semakin meningkat, banyak perkara yang digemari suatu masa dahulu tidak lagi menyeronokkan. Selera makan semakin kurang, ertinya Allah mahu kita memperbanyakkan puasa sunat atau puasa qada ke atas puasa yang pernah ditinggalkan. Tidur pula kerap terjaga di waktu malam dan mata sukar lelap kembali. Hikmahnya Allah mahu kita bangun berqiamulail sebelum berakhir usia. Program di televisyen sudah tidak lagi menarik perhatian, kecuali rancangan-rancangan agama. Al-Quran yang dahulu tinggal sepi di atas rak, kini kembali dibaca, dihayati dan ditadabbur. Waktu lapang dipenuhi dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan membaca bahan-bahan ilmiah. Hati sangat terpaut pada surau dan masjid, solat berjemaah menjadi begitu menyeronokkan.Sedekah dan waqaf dilakukan semata-mata kerana ingin meraih ganjaran pahala.Sesungguhnya masa usia meningkat adalah hadiah bonus dari Allah. Gunakan sebaik-baiknya supaya tiada penyesalan di belakang hari.
Lilin menyala dan mencerahkan keadaan di sekelilingnya. Kehadirannya tidak mengubah susun atur yang ada. Ia hanya menjadi dirinya yang sebenar iaitu sebagai PENERANG - menonjolkan kelebihannya di samping memperbaiki kekurangannya.Begitulah keadaan seorang HAMBA ALLAH yang menerangi keadaan sekelilingnya, baik keluarga ataupun masyarakatnya.Perkara pertama yang dilakukannya ialah pembaikan dirinya sendiri sehingga cahayanya mulai disedari oleh orang lain.Kalau baik dirinya, maka baiklah keadaan orang-orang di sekelilingnya.Dia membaiki LISAN supaya apa sahaja yang terpacul dari lidahnya hanya yang berbentuk AMAL MAKRUF. Jiwa dan akhlak yang sihat adalah teladan utama setiap pembaikan. Akhlak yang mulia adalah jaminan bertahannya binaan peradaban iaitu RUKUN ISLAM.
Orang tidak tahu,kemudian diberitahu, itu maksudnya 'menyampaikan'. Orang sudah tahu, kemudian diberitahu lagi, itu maksudnya 'mengingatkan'. Insan bukan sahaja menyampaikan tetapi juga mengingatkan. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Asr ayat 1 - 3:
'Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment