Monday, March 2, 2015
Uwais al-Qarni Terkenal Di Langit
Uwais al-Qarni seorang yang warak dan mentaati ibunya. Beliau seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, dahinya lapang, kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat tempat sujudnya. Uwais hidup sezaman dengan Rasulullah SAW tetapi, tidak pernah bersua muka kerana Uwais tinggal di Yaman. Beliau kerap membaca Al-Qur'an dan selalu menangis tatkala membacanya. Pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut. Satu sebagai penutup badan dan yang satu lagi digunakan sebagai selendang. Siapalah Uwais di mata manusia. Tidak ramai mengenalinya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara yang mentertawa dan mencacinya. Ada yang menuduhnya sebagai pencuri. Mereka mengumpat dan mencela kerana kemiskinannya. Uwais telah lama yatim, tiada sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh. Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk menampung keperluan harian bersama ibunya. Jika ada wang lebih, Uwais gunakan bagi membantu jirannya yang juga hidup miskin. Uwais al-Qarni memeluk Islam ketika seruan Rasulullah SAW tiba ke negeri Yaman. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta tidak mengurangkan ibadahnya walau sedikitpun. Dia tetap berpuasa di siang hari dan bermunajat di malam hari. Ramai tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mempelajari ajaran Rasulullah SAW secara langsung. Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru pulang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan. Kecintaannya kepada Rasulullah SAW menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengannya. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Apatah lagi ibunya sakit dan perlu dirawat.
Hari berganti hari, rindu untuk bertemu Rasulullah SAW tidak lagi terbendung. Pada suatu hari, Uwais meluahkan isi hatinya kepada ibunya dan memohon izin untuk menziarahi Rasulullah SAW di Madinah. Si ibu dengan rasa terharu meredhai pemergian Uwais dan berpesan agar segera pulang. Dengan rasa gembira, dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar menemani ibunya selama mana dia pergi. Maka berangkatlah Uwais al-Qarni menuju ke Madinah yang berjarak lebih kurang 400 kilometer dari Yaman. Medan yang begitu panas diharunginya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam mahupun padang pasir yang luas yang boleh menyesatkan. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Rasulullah SAW yang selama ini dirinduinya. Namun setibanya Uwais al-Qarni di depan rumah Rasulullah SAW, Aisyah r.a. memaklumkan bahawa Rasulullah SAW berada di medan perang. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kepulangan Rasulullah SAW dari medan perang. Namun, masih terngiang di telinga pesan ibunya agar cepat pulang ke Yaman. Atas ketaatan kepada ibunya, Uwais pulang dengan hati pilu setelah menitipkan salamnya untuk Rasulullah SAW.
Sepulangnya dari medan perang, Rasulullah SAW terus menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Baginda menjelaskan bahawa Uwais adalah anak yang taat kepada ibunya. Walau tidak dikenali didunia, namanya sangat terkenal di kalangan penghuni langit. Mendengar perkataan baginda, Aisyah r.a. dan para sahabat terpegun. Menurut Aisyah r.a. lagi, memang benar ada yang mencari Rasulullah SAW dan pemuda itu telah segera pulang ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit. Rasulullah SAW pun bersabda; "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.”
Sesudah itu Rasulullah SAW memandang kepada Saiyyidina Ali k.w. dan Saiyyidina Umar r.a. seraya bersabda; "Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi.” Setelah wafatnya Rasulullah SAW, suatu ketika Khalifah Umar r.a. dan Ali k.w. teringat akan sabda Rasulullah SAW tentang Uwais al-Qarni.
Sejak dari itu, setiap kafilah yang datang dari Yaman akan ditanya tentang Uwais al-Qarni sehinggalah suatu ketika akhirnya mereka dipertemukan, bilamana Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah. Pada ketika itu, ibunya telahpun wafat. Kesempatan itu diambil oleh Khalifah Umar r.a. dan Saiyyidina Ali k.w. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka sebagaimana pesan Rasulullah SAW. Uwais enggan dan berkata kepada khalifah, “Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian.” Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata, “Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripadamu." Kerana desakan keduanya, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya lalu berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu, Khalifah Umar r.a. berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais. Namun, segera sahaja Uwais menolak dengan halus dan berkata, ”Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya. Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke Rahmatullah.
Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, disana sudah ada ramai orang yang menunggu untuk mengkafankannya. Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Disana ternyata sudah ada ramai orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luarbiasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya. Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Rmai orang yang tidak dikenali datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang sewaktu hayatnya. Mereka saling bertanya-tanya; “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala? Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian ramai.” Sebenarnya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke Bumi untuk menguruskan jenazah dan pengebumiannya. Barulah penduduk Yaman tahu siapa sebenarnya Uwais al-Qarni. “Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di kalangan penduduk bumi tetapi namanya sangat tersohor dilangit sana.” Wallahualam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment