Thursday, March 19, 2015
Kubu Pertahanan Mandailing Di Kuala Lumpur
6 buah kubu dan sebuah Pusat Pertahanan Kawalan Kampung mempertahankan Kuala Lumpur dari serangan angkatan bersekutu pimpinan Tengku Kudin atas titah Sultan Abdul Samad telah dibina.
KUBU UTAMA BUKIT NANAS-----Raja Asal mengetuai pertahanan kubu Bukit Nanas. Dibantu oleh Imam Perang Malim Panjang, Imam Perang Katin aka Tok Panglima Katin dan Jabintang. Mereka juga disertai oleh lain-lain pahlawan Mandailing seperti Jamantiko, Jakaloka, Jabinanga, Jabaringin, Jaboji, Jabalun, Jamalintang, Jamangitung Serigala Tonga, Sutan Mogal Babiat Jolma, Jaborotan, Jasakandan, Jasamalan, Jasalompuan keluarga Arab Sayid Kenang termasuk Sayid Yusuf, Siti Sari dan Siti Puteh.
KUBU KOTA PERMULAS -----Imam Perang Harimau Berantai @ Imam Perang Jabarumun mengetuai pertahanan di Kota Permulas kubu di Bukit Tabor, Hulu Kelang yang merupakan benteng pertama menghadapi angkatan perang Pahang. Beliau dibantu oleh Dato Kelana Japaruhum, Jahang, Baginda Porang, Jakuman, Jabunga, Sutan Palangan, Sutan Kajor dan lain-lain lagi serta orang-orang Rawa yang diketuai oleh Dato Hulubalang Haji Marusin dan abang-abangnya Haji Muhammad Taib dan Haji Zakaria dan 500 pejuang Mandailing dari Padang Lawas, Labuhanbatu, Natal dan Air Bangis serta orang-orang Rawa bekas pejuang angkatan perang Jihad Padri pimpinan Tuanku Rao di Sumatera.
KUBU PETALING BATU-----Kubu parit Petaling Batu, jaraknya lebih kurang 3 km dari Kuala Lumpur di pertengahan jalan ke Kelang adalah kubu pertahanan hadapan menghadapi musuh dari Kelang. Dipimpin oleh Raja Laut Nasution dibantu oleh panglima-panglimanya Jamogek, Jalumat dan Nakhoda Kuning bersama Pasukan Laut Angkatan Padri yang mempunyai kekuatan seramai 400 anggota.
KUBU SIPUTEH -----Di sebuah bukit tidak jauh dari kubu Petaling Batu, kubu ini diketuai oleh Wan Puteh dibantu oleh pemimpin-pemimpin orang-orang Kampar dan orang-orang Tolu iaitu Manda Usman, Lanah dan Abdul Wahab Tolu dan pemimpin orang-orang Bengkulu dan Kerinci seperti Imam Perang Alam dan Imam Perang Mangku. Di sini Wan Puteh bersama dengan 400 orang pejuang Mandailing, Kampar dan Tolu akan mempertahankan kubu Siputeh.
KUBU GOMBAK-----Sutan Na Poso dan panglima-panglimanya 2 beradik Sutan Bandero Raja @ Jamarilun dan Jabarita serta 450 pengikut-pengikut mereka yang kebanyakannya marga Lubis dan marga Rangkuti dari Maga Lombang mempertahankan Kubu Gombak. Kubu Gombak ini agak penting kerana ia merupakan kubu kedua yang menghadap ke timur Selangor yang bertentangan dengan negeri Pahang.
KUBU KUALA AMPANG -----Kubu ketiga menghadap Pahang diketuai oleh Jabolga yang merupakan salah seorang panglima kanan Sutan Na Poso dan dibantu oleh beberapa pahlawan Mandailing yang lain seperti Jalaungan, Japayung, Jabangunan, Jabanding dan Jabernang dengan kekuatan 300 orang pahlawan Mandailing yang kebanyakannya marga Lubis dari Mandailing Julu.
PUSAT PERTAHANAN KUALA LUMPUR -----Jabunus aka Tok Bunus mengetuai pusat pertahanan di Kampung Duri yang berfungsi sebagai pusat kawalan dan pertahanan kampung di Kuala Lumpur. Ini memperkuatkan kawalan keselamatan terhadap orang-orang Mandailing di Kuala Lumpur dan kampung-kampung Mandailing yang berdekatan. Jabunus dibantu oleh Jaakub, Sutan Duri, Baginda Kayo Sidursat @ Haji Arshad, Haji Abdul Ghani, Jamanambin, Jasuman bersama-sama dengan 100 pejuang Mandailing dan 1500 penduduk-penduduk kampung.
[Dipetik dari tulisan Mohd Azli Azizi Nasution]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment