Tuesday, March 3, 2015
IS Jahat Pergunakan Jihad
KUMPULAN IS (Islamic State) merangkumi pemberontak Majlis Syura Mujahiddin, al Qaeda, Jaysh al Fatiheem, Jund al Sahaba, Katbiyan Ansar al tawhid wal Sunnah dan tentera Mazhab Mansura. Bilangannya 20 ribu hingga 31,500 anggota IS di Iraq dan Syria. 12 ribu daripadanya adalah warga asing dari 74 negara. MATLAMAT PERJUANGAN TIDAK DIKETAHUI kerana walaupun mengaku Islam, sehingga hari ini tindakan-tindakan mereka BERTENTANGAN DENGAN SYARIAT ISLAM kerana melakukan pembunuhan kejam ke atas masyarakat Islam dan Belum Islam yang tidak sehaluan dengan mereka. Yang pelik bin ajaib ialah IS hanya memerangi kumpulan Mujahiddin Syria dan kumpulan pembangkang Syria namun belum dilihat menyerang tentera penzalim yang utama Presiden Basyar. Jauh sekali menyerang tentera Israel yang jelas tidak sehaluan dengan seluruh dunia.
Selepas kejatuhan Saddam Hussein, sekumpulan kecil anggota al Qaeda telah membentuk sebuah kumpulan pada 2003 untuk menentang tindakan kejam tentera Amerika di Iraq.Kumpulan ini dipimpin oleh Abu Musab al Zarkawi. Pada 2006, Majlis Syura Negara Islam Iraq bergabung dengan 4 buah lagi kumpulan lain di Iraq dan mereka menamakan kumpulan itu sebagai Islamic State of Iraq (ISI). Dalam satu pertempuran Abu Musab al Zarkawi terbunuh lalu digantikan oleh Abu Ayyub al Masri. Namun Abu Ayyub pula terbunuh dan tempatnya diambil alih oleh Abu Bakar al Baghdadi sehingga sekarang. Mereka menukar nama kepada Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) apabila mereka mula mengembangkan sayap kumpulan mereka ke Syria. Pada 2014, ISIS menawan Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq dan beberapa bandar kecil di utara negara itu. Mereka menukar lagi nama menjadi Islamic State (IS) dan mengisytiharkan kewujudan Daulah Islamiah dan cuba membentuk kerajaan KHALIFAH.
Banyak tindakan bertentangan Islam yang dilakukan oleh anggota kumpulan IS. Sebagai contoh, mereka menculik wanita dan anak-anak etnik minoriti Yazidi untuk dijadikan hamba seks, malah maklumat al Jazeera yang diperolehi dari Amnesty International menyatakan ramai wanita yang diculik itu berhadapan penyeksaan, pemerkosaan, pernikahan paksa, dijual, dan dijadikan hadiah kepada anggota IS atau pendukung mereka di Iraq dan Syria. Jilan, 19 tahun, salah seorang mangsa penculikan mengambil keputusan membunuh diri kerana tidak tahan dengan penyeksaan.
Paling menyedihkan, kumpulan al Nusra dari IS telah meletupkan makam Imam Nawawi di bandar Nawa, wilayah Daraa, Syria pada awal Januari tahun ini atas alasan makam tersebut seperti tempat pemujaan. Sejak tragedi Syiah membantai Sunni yang bermula pada Mac 2011, serangan tentera Basyar ke atas rakyat awam Syria, ditambah lagi kegiatan menjarah yang dilakukan oleh militan IS, sebanyak 290 tapak arkeologi warisan budaya di Syria yang telah berdiri sejak awal peradaban manusia telah rosak.Sungguh bertuah mereka yang berpeluang menyaksikan monumen-monumen penting ini sebelum kerosakan berlaku. Krisis ini tiada tanda-tanda akan surut, menambah derita yang ditanggung oleh rakyat awam Syria. Hanya Allah yang tahu bila semua ini akan berakhir. Kita hanya mampu berdoa tanpa henti kesejahteraan saudara Islam kita di sana.
Sabda Rasulullah saw: “Siapa yang tidak pernah pergi berjihad, tiada cita-cita untuk berjihad dan berjuang, dia akan mati dalam salah satu cabang iaitu cabang munafik. “ JIHAD adalah perkara besar. Dalam Quran kalimah Ja Ha Da disebut 42 kali. Begitu juga dalam hadis-hadis yang ditulis oleh Imam Bukhari, Imam Malik, Imam Nawawi, Abu Daud dan lain-lain. Selain jihad perang ada banyak cabang Jihad yang lain seperti Jihad membasmi kemiskinan, jihad membasmi kegiatan orang tengah dalam bidang perniagaan dsb.Jihad bererti seseorang menggembelingkan tenaganya dalam sesuatu yang dilakukan. Jihad bukan bererti jihad perang saja. Contoh: ada suatu ketika Nabi saw tidak melawan ketika Musyrikin Makkah mencekik lehernya. Baginda diselamatkan oleh Abu Bakar yang lalu di tempat itu. Baginda tidak mengisytiharkan jihad sehinggalah telah wujud Daulah Islamiah (negeri Islam). Allah memerintahkan Baginda berjihad dengan menggunakan al-Quran secara bersungguh-sungguh berhujah dan mematahkan hujah orang lain.Memberikan penerangan adalah sebahagian daripada jihad.Ibn Qayyim menukilkan bahawa jihad ialah menguruskan diri sendiri,bersusah payah mencari ilmu.Kemudian berjihad untuk mengamalkan ilmu itu dan berjihad untuk mengajarkannya kepada orang lain. Tidak semua orang suka berjihad mengajar. Penjihad harus sabar dalam mendidik orang lain supaya menjadi baik.
Penganut agama lain tidak boleh menerima kembangan pesat agama Islam.Lalu mereka membuat propaganda membenci Islam. Syria memang tempat yang subur dengan ilmu dan telah melahirkan ramai ilmuan Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.Islamic State (IS) telah dibuktikan bukan dari golongan mujahidin dan bukan juga penyokong Basyar. Pahala Jihad fisabilillah memang menarik, namun ada beberapa amalan lain yang pahalanya sama seperti jihad. Contoh, menjaga kepentingan ibu tunggal dan fakir miskin, menunaikan haji dan umrah, perjalanan menuntut ilmu dan berbakti kepada ibu bapa. Anak-anak muda mempunyai banyak tenaga. Mereka sukakan benda baru. Anak-anak muda Malaysia mesti mendalami ilmu mengenai IS sebelum melibatkan diri dengannya. Inilah jihad ilmu iaitu jihad yang utama. Musuh mempergunakan kalimah Jihad dan Negara Islam (Daulah Islamiah) yang suci untuk memburukkan imej agama Islam dengan tindakan buruk mereka. Nabi saw menyebarkan Islam menurut konsep dakwah dan tarbiah dalam keadaan aman damai. Berbeza dengan IS yang kononnya hendak menegakkan Daulah Islamiah tetapi membunuh orang sunni, orang syiah dan sesiapa saja yang tidak sealiran dengan mereka. IS hanya sekadar topeng.Pembunuhan yang mereka lakukan sangat tidak wajar.
Profesor Yusof Qardawi menjelaskan ciri-ciri pelampau agama seperti berikut -1. Taksub 2. Suka buat perkara yang susah.3. Melampau tidak kena pada tempat 4. Keras dan ganas. 5. Buruk sangka 6. Kafir mengkafir. Oleh itu ada baiknya mata pelajaran agama yang lengkap diperkenalkan di sekolah-sekolah supaya para pelajar benar-benar memahami Ilmu fiqh, ilmu tauhid hingga ke hudud, melengkapkan mereka dengan ilmu dunia dan ilmu ukhrawi. Pemerintah Barat khuatir akan kehilangan kuasa lalu mengaitkan Islam dengan pengganas dan mewujudkan Islamophobia (rasa takut pada Islam). Kononnya atas dasar kebebasan bersuara lalu wujudlah provokasi melampau dari pihak majalah Charlie Hebdo di Paris. Sebab itulah berlakunya pertumpahan darah. Mengapa mereka wujudkan Islamophobia? Sebagai contoh,7 peratus penduduk Paris adalah muslim. Masjidnya ada 70 buah. Pemain bolasepak dunia pun sudah ada yang muslim. Ketakutan akan perkembangan pesat agama Islam menyebabkan musuh memfitnah Islam dengan berbagai tohmahan palsu. Islam bukan pengganas macam IS. Muslim jadi mulia kerana keislamannya. Tetapi perbuatan IS membunuh orang tidak berdosa sangat tidak islamik. Sebenarnya apabila orang belum Islam dianiaya oleh pengganas seperti IS, orang Islam lain patut membela orang yang belum Islam itu. Yang benar itu benar dan yang jahat itu jahat. Oleh itu penjelasan dan penerangan amat penting untuk mengelakkan terpesongnya fahaman mengenai agama yang damai ini.
Ada lima faktor yang menyebabkan Muslim lemah, pertama kurang ilmu, terlalu banyak perdebatan di kalangan ulama dan orang awam, yang mana kebanyakan perdebatan dipenuhi kejahilan.Al Quran dijadikan hujah menurut tafsiran sendiri. Lalu wujudlah Al Quran dan hadis yang diselewengkan. Di Malaysia masjid banyak dibina tetapi tidak diimarahkan sepenuhnya oleh muslim sendiri. Pemimpin yang tidak amanah semakin ramai. Semua ini membawa kepada kehancuran muslim. Jalan penyelesaiannya ialah KEMBALI MENDALAMI ILMU AL QURAN DAN AS SUNNAH YANG BENAR MELALUI ILMUAN YANG BENAR DAN SAHIH. Jangan main ikut-ikut sahaja. Pi mai pi mai jawabnya tetap juga JIHAD ILMU. Utamakan jihad ini sebelum melangkah kepada jihad yang lain. Dengan itu barulah Islam dan Muslim akan dihormati. Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment