Thursday, March 5, 2015
Aset Akhirat
Anak-anak adalah aset bernilai bagi ibu bapa di akhirat sana. Memang bukan mudah untuk membina keluarga yang diredhai Allah. Ilmu perlu dicari dan dipelajari. Belajarlah cara menjadi suami. Belajarlah cara menjadi isteri. Belajarlah cara menjadi bapa. Belajarlah cara menjadi ibu. Semua itu menjadi teras tarbiah, seni membentuk manusia. Ibu bapa adalah guru pertama. AJARLAH ANAK DENGAN SIKAP, BUKAN DENGAN CAKAP, sebab mereka lebih mudah MENIRU apa yang dilihat, berbanding apa yang didengar.
Akhlak ibu bapa mempunyai impak besar ke atas akhlak anak-anak. Kalau ibu bapa biasa “mencuri masa” sewaktu bertugas dengan melakukan kerja-kerja yang tiada kaitan dengan pekerjaan, jangan hairan kalau anak berani mencuri barangan. Masa lebih berharga daripada emas. Emas yang dicuri boleh dipulangkan atau diganti. Apakah yang dapat menggantikan masa yang dicuri dari majikan itu? Ini dinamakan sunnatullah. Kita dapat apa yang kita buat. Buat jahat dapat jahat. Mungkin akibatnya bukan jatuh ke atas diri sendiri, tetapi ia bakal menimpa orang tersayang.
Baik atau jahat, beriman atau tidak seseorang hamba Allah itu bukan bergantung kepada keturunan. Memang benarlah lirik lagu “Mutiara Iman” yang dibawakan oleh kumpulan Raihan: “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa.” Golongan Syed yang dikatakan bersusur galur dari Nabi SAW pun belum menjanjikan generasi terkemudian turut berakhlak mulia sepertinya. Tidak mustahil anak atau cucu ulama terbabit dalam kegiatan tidak bermaruah. Kita biasa membaca berita anak cucu orang kenamaan yang dihormati dalam masyarakat terbabit dalam kes pecah amanah, rasuah, peras ugut, jenayah seks, perjudian haram, kegiatan kongsi gelap, dan malah membunuh.
Kata-kata motivasi dari pendakwah tersohor Pahrol Mohd Juoi patut kita renung-renungkan: “Kejahatan umpama bola ais yang bergolek. Semakin lama bergolek semakin besar saiznya.” Orang tua-tua kita pun ada mencipta kata-kata yang semaksud iaitu: “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.” Sesungguhnya kejahatan mesti dicantas sejak awal, jangan sesekali dibiarkan berakar umbi. Nabi SAW sudah mengingatkan bahawa satu kejahatan boleh menjadi mata rantai kepada kejahatan yang lain. Mencuri sebatang pensel di sekolah mungkin melarat menjadi rompakan bersenjata di kedai emas atau bank. Begitu juga zina mata, mampu membawa kepada zina sebenar dan hasil hubungan terlarang itu dijumpai terbujur kaku di longgokan sampah dan longkang.
Kejahatan yang dilakukan oleh anak-anak mesti diperbetulkan segera. Mula-mula secara lisan. Jika tidak berbekas, harus disusuli dengan rotan; bukan kerana benci dan ingin menyakitkannya tetapi kerana sayang dan hendak mentarbiah dia. Impak di badan hanya sementara sedangkan impak di hati, in sya Allah akan berterusan. Anak-anak mesti dididik dan didisiplin serta “ditegur” menerusi teladan akhlak ibu bapa yang baik semasa mereka masih kecil. Setelah dewasa mereka sendiri boleh menambahbaikkan akhlak yang telah sedia indah itu.
Menerusi ruangan “Beduk Diketuk” dalam Solusi # 77, Pahrol Mohd Juoi mempamerkan betapa beliau begitu “spot on” dalam menyatakan pendiriannya bahawa beliau mengutamakan akhlak berbanding keturunan. Baginya, menantu berketurunan anak pencuri yang sempurna di segi agama jauh lebih layak menjadi menantunya berbanding anak ulama yang berakhlak buruk!
Kesimpulannya, anak-anak umpama mangkuk kosong, terserah kepada ibu bapa untuk mengisi mangkuk itu dengan kebaikan mahupun sebaliknya. Umpama kain putih yang tersedia untuk dicorakkan, sama ada sebagai Muslim, Yahudi, Majusi atau apa-apa agama jua. Setiap hamba Allah layak menjadi soleh atau solehah tanpa mengambil kira darah siapa yang mengalir di dalam tubuh. Individu itu sendiri harus menentukan jalan mana yang ingin dilalui dalam menuju ke alam abadi. Terserahlah sama ada mahu memilih minuman lazat dari sungai-sungai yang mengalir ataupun minuman hasil pohon zaqum bagaikan cairan tembaga mendidih di dalam perut. Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment