Friday, March 7, 2014
Cucu Paderi Jadi Imam Ternama
serenemaklong.blogspot.com
Perjalanan hidup William Webb atau nama Islamnya, Suhaib Webb sangat menarik.Malah, Suhaib berjaya membuktikan bahawa Islam adalah milik semua, termasuk dirinya yang berkulit putih dan warga Barat. Suhaib juga mempunyai kualiti yang sangat cemerlang sebagai seorang Muslim.
Beliau dilahirkan dalam keluarga Kristian (Prostestan) pada 1972 di Oklahoma. AS.Sebelum memeluk Islam, beliau telah membesar sebagai cucu kepada paderi, menghadiri pertemuan di gereja tiga kali seminggu, sehinggalah tarikan beliau untuk mendalami Kristian semakin lemah. Pada usia 14 tahun, akibat krisis kerohanian, dia hilang minat kepada mana-mana anutan agama, dan mula terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.Beliau adalah DJ Hip Hop yang sering merakamkan lagu dengan ramai artis ketika itu. Begitu pun, melalui industri muzik juga, beliau mula diperkenalkan dengan agama Islam. Ketika berusia 17 tahun, seorang kenalan dalam industri itu menghadiahkannya senaskhah al-Quran terjemahan.
Sedikit demi sedikit al-Quran telah mula memberikan pengaruh cukup besar dalam hidupnya. Dia belajar al-Quran selama tiga tahun sebelum memeluk Islam. Suhaib Webb suka berkongsi ilmu tanpa mengira cara dan tempat di mana saja terutamanya dalam menggunakan sepenuhnya perkembangan teknologi maklumat (IT). Bahkan, kenyataan ini disokong daripada kejayaan laman webnya sendiri, iaitu www.SuhaibWebb.com (Your Virtual Mosque), yang diiktiraf sebagai Blog Terbaik, The Best Blog Of The Year oleh Brass Crescent Awards dan di laman sosial Tweeter pula, dengan undian tertinggi untuk memenangi The Best Muslim Tweeter, setahun kemudian. Di Facebook miliknya, beribu-ribu likes dimilikinya dan beliau juga boleh dikenali sebagai Ustaz Youtube lantaran kepopularannya pada hari ini. Celiau turut dipilih sebagai salah seorang daripada '500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia' oleh Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam pada 2010, dan dinobatkan sebagai 'Pemimpin Islam Sederhana' oleh Kerajaan British pada 2010 dan 2013.Suhaib turut menjadi penggerak sayap belia untuk Muslim American Society dan menjadi tenaga pengajar untuk Al Maghrib Institute, universiti maya yang beroperasi 24 jam di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom.
Suhaib memeluk agama Islam pada 1992 ketika berusia 20 tahun. Insiden dikejar oleh kereta peronda polis dan terselamat daripada ditembak atas jenayah berkumpulan yang mereka lakukan menjadi titik tolak akan penghijrahannya.
Baginya, kejadian berkenaan adalah satu 'siren amaran' yang kuat kepada buat dirinya agar sedar sebelum segala-galanya terlambat. Celiau berhenti dari menjadi DJ dan meneruskan pengajiannya hingga ke Universiti of Central Oklahoma dalam bidang pendidikan. Pengajiannya kemudian diteruskan di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir selama enam tahun bermula pada 2004 dalam bidang Syariah. Beliau belajar dan menghafal al-Quran di Makkah daripada seorang ilmu agama terkenal, Sheikh Abu Mustafa. Selain itu Suhaib juga belajar mengenai Islam dan bahasa Arab secara persendirian dengan seorang ulama dari Senegal.Kini, beliau adalah Imam Masjid Boston di Pusat Masyarakat Islam dan Kebudayaan Boston (ISBCC), masjid yang terbesar di wilayah New England, Amerika Syarikat.
Menjadi antara peneraju awal bagi rancangan agama popular masa kini, Reflections di TV Al Hijrah (saluran 114), Suhaib berjaya mengumpulkan peminatnya tersendiri.Maka tidak hairanlah, rancangan itu yang kini bakal memasuki musim ke-16 dan 17, sejak mula diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, masih lagi mengekalkannya sebagai hos rancangan. Dulu, dia membesar dengan pengaruh yang disiarkan oleh saluran TV MTV, maka tidak menghairankan yang lahir adalah generasi MTV. Sebagai bekas DJ, beliau masih lagi menggunakan kemahiran dalam berkomunikasi itu bagi menarik perhatian penonton. Dalam rancangan itu, Suhaib mengupas surah-surah dalam al-Quran dari pelbagai aspek, terutama dengan mengaitkannya dengan kehidupan seharian umat Islam.Beliau tidak sahaja mengeluarkan pendapat, malah berkongsi dengan ulama-ulama dan tokoh ilmuan Islam lain bagi memberikan perspektif lebih luas kepada penonton.
[PETIKAN DARI SINAR HARIAN]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment