Tuesday, March 4, 2014

Buanglah Kahak Itu!

serenemaklong.blogspot.com
Allah memberi ganjaran besar kepada hamba-Nya yang khusyuk dalam solat, namun bukan mudah untuk mencapai kekhusyukan itu disebabkan banyak faktor. Kadang-kadang kita terbatuk dalam solat sehingga mengeluarkan kahak, atau ketika berdehem terasa ada cecair di tekak. Bagaimana hendak membuang kahak dalam mulut itu sedangkan di kiri dan kanan penuh dengan jemaah, bimbang mengotorkan tempat ibadah dan perbuatan itu dilihat seolah-olah tidak beradab. Lalu kita terus menelannya. Begitu juga ketika kita diserang selesema. Hingus yang mengalir, kalau dibiarkan takut meleleh keluar. Kalau disedut pula dan melalui kerongkong langsung ditelan, takut membatalkan solat. Hendak dilap tiada tisu. Semuanya membuatkan keadaan menjadi serba salah.Kita risau solat jadi terbatal.
As Syeikh Ibnu 'Utsaimin ketika membahaskan topik ini dalam Liqa al Bab al-Matuh 17/116 mengungkapkan begini: "Namun jika menyatakan menelan kahak ketika makan ketika solat, itu tidak benar sama sekali. Kahak suci tapi bukanlah makanan dan minuman, tidak pula semakna dengan keduanya. Maka apabila seseorang yang solat menelannya, maka solat tersebut tetap sah.Tetapi sebelum menelannya terlebih dahulu kahak itu perlu diludahkan atau dikeluarkan di sapu tangan dan semacamnya. Menurut kebiasaan, menelan kahak merupakan suatu perbuatan yang menjijikkan dan yang disyariatkan adalah seseorang mengeluarkannya di sapu tangan dan tidak menelannya." Pun begitu, mazhab Syafie membahagikan perbuatan menelan kahak ketika solat dalam dua keadaan. PERTAMA, tidak membatalkan solat jika kahak terhasil daripada batuk, berdehem atau perbuatan lain yang tidak sengaja dilakukan, selagi mana ia belum sampai ke anggota mulut iaitu masih berada pada had tekak si pelaku. Ini kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir, Jadi, menelannya tidak akan membatalkan solat. KEDUA,kahak itu telah berada di dalam mulut, maka menelannya akan membatalkan solat. Begitu juga dengan aliran hingus yang keluar ketika selesema. Jika disedut dan terus masuk ke kerongkong lalu ditelan, ia tidak membatalkan solat. Tetapi jika hingus yang disedut itu melalui kerongkong dan naik di mulut, maka menelannya membatalkan solat. Oleh itu, untuk mengelak daripada batalnya solat, eloklah disapu sahaja hingus yang meleleh itu.
Untuk membuang kahak dan hingus yang berada di dalam mulut mestilah dilakukan mengikut adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya, "Jika seseorang daripada kalian berdiri solat, sesungguhnya dia sedang berhadapan dengan Rabbnya, atau sesungguhnya Rabbnya berada antara dia dan kiblat, makan janganlah dia meludah ke arah kiblat, tetapi lakukan ke arah kirinya atau di bawah kakinya (kiri)." Kemudian Nabi s.a.w. memegang tepi kainnya dan meludah di dalamnya. Setelah itu Baginda membalikkan posisi kainnya lalu berkata, "atau boleh melakukan seperti ini." (Hadis Riwayat Bukhari, dalam bab adab meludah kahak.
Dalam keadaan situasi sekarang, untuk meludah seperti itu ketika solat di masjid aka mengganggu jemaah lain. Yang terbaik untuk dilakukan ialah menyediakan tisu atau sapu tangan, lapkan hingus atau ludahkan kahak, kemudian masukkan kembali ke dalam poket seluar. Namun jika tidak ada sebarang tisu atau sapu tangan, jemaah boleh lapkan sisa kahak dan hingus yang keluar pada baju. Ia tiak akan membatalkan solat kerana kahak atau hingus bukanlah najis. [PETIKAN DARIPADA AL-ISLAM MAC 2014]

No comments:

Post a Comment