Thursday, October 6, 2016

Nasihat Sendiri Dikembalikan Oleh Tuhan



Seorang lelaki baru sahaja beroleh anak ke-4. Disebabkan isteri dalam pantang, dia mengambil alih tugas menghantar seorang demi seorang anak ke sekolah dan tadika sebelum ke tempat kerja.

Seperti biasa, beliau meletakkan kereta di parkir yang memang tersedia untuknya. Pada hari tersebut, beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Sampai di tempat punchkad, beliau menelefon isteri bertanya khabar dan memaklumkan kepada isterinya yang beliau sudah pun sampai di tempat kerja.

Beliau mulakan kerja jam 8.00 pagi. Tiba-tiba lebih kurang jam 10.45 pagi, beliau terima panggilan bahawa anak beliau yang berumur lebih kurang satu tahun masih duduk di car seat dan sedang menjerit menangis kepanasan. Beliau berlari sekuat hati terus menuju ke parkir.

Sebaik pintu dibuka beliau terus memeluk anaknya. Peluh di badan anaknya seperti budak itu baru keluar dari kolam renang. Basah sebasah-basahnya. Kuku jari kelingkingnya tercabut kerana cuba keluar dari car seat yang masih berikat kemas.Darah bersepah. Pipi dan sekitar muka juga sudah calar balar mungkin anaknya sudah tidak tahan kepanasan dan menggaru kepalanya sendiri. Hidung juga berdarah. Anaknya juga sesak nafas, tersedu-sedu. Dia segera dibawa ke hospital berdekatan.

Anaknya direhatkan dan diberi ubat selama beberapa jam. Doktor mengatakan jika lewat lagi 5-10 minit, anak beliau mungkin sudah tiada. Bayangkanlah, waktu itu baru 10.45 pagi. Kalau waktu tengah hari, entahlah. Sebelum ini, semua rutin itu adalah rutin isterinya (menghantar semua anak ke sekolah dan tadika). Selalunya, beliaulah yang mengingatkan isterinya begitu begini. Apabila ujian itu terkena kepada diri sendiri, dia pula yang terlupa. Katanya, “Apabila kita rajin menasihati orang lain, nasihat itulah yang Tuhan gunakan untuk menguji kita sendiri.”

Alhamdulillah anak bekiau masih boleh berlari ke sana ke mari walau ada sedikit ketidaknormalan yang berlaku dalam pergaulan dengan adik beradiknya. Dia masih dalam terapi. Mungkin akibat panas menyebabkan otaknya ada sedikit ‘damage’ yang memberi kesan dalam hidupnya.

Bayangkan, dalam begitu banyak cerita mengenai tertinggal anak di dalam kereta di dada akhbar, beliau antara yang bising-bising kepada isterinya yang kerap meninggalkan anak di dalam kereta untuk ke pasar dan tadika. Di tempat kerja pun beliau antara yang kaki gegar begitu begini tentang hal anak-anak. Hari itu, beliau tidak ditegur oleh kawan-kawan, atau isteri. Beliau ditegur terus dari Tuhan.

[Dari FB Khairul Hakimin Muhammad]

No comments:

Post a Comment