Monday, October 17, 2016
Cakap Biar Serupa Bikin
Ahmad ketagihkan makanan manis terutama coklat dan gula-gula setiap hari. Jika tidak diberikan dia akan mengamuk dan menangis sehingga merungsingkan hati kedua ibu bapanya, Muhammad dan Aminah yang tidak mampu melayan kehendaknya kerana kesempitan hidup. Muhammad membawa Ahmad ke rumah Ustaz Abdullah yang dikenali ramai dapat membantu mengubat berbagai jenis penyakit, dengan izin Allah.
“Ustaz, tolonglah ubatkan anak saya yang ketagih makanan manis dan coklat. Saya rasa terbeban sebab kami bukan orang senang. Saya tak tahu macam mana hendak membuang ketagihannya.”
Ustaz Abdullah tunduk mendiamkan diri. Sejurus kemudian dia bersuara, “Boleh tak Encik Muhammad bawa dia balik dulu, datang ke sini lagi dalam masa sebulan.”
Sebulan kemudian, Muhammad dan anaknya mendatangi semula rumah Ustaz Abdullah. Dengan suara lembut dan ikhlas Ustaz Abdullah berkata, “Adik, boleh tak jangan makan lagi benda-benda manis? Kesian ayah, dia tak cukup duit nak beli tu semua. Benda manis boleh merosak dan menyebabkan sakit gigi.” Ahmad mengangguk sambil berjanji tidak akan makan benda manis lagi.
Janji itu memang dikotakannya. Muhammad yang kehairanan datang semula berjumpa Ustaz Abdullah. “Kenapa bulan lalu Ustaz tak bagi apa-apa nasihat pun pada Ahmad?” soal Muhammad.
Jawab Ustaz Abdullah, “Macam mana saya nak bagi nasihat sedangkan saya sendiri pun suka makanan manis. Saya perlukan masa sebulan untuk mengurangkan ketagihan saya sendiri sebelum mampu menasihatkan dan merawat dia.”
MORAL CERITA: Begitulah berkatnya nasihat yang ikhlas. Sebelum memberikan nasihat kepada orang, sama ada secara bersemuka atau menerusi media lain, kita perlu memperbetulkan diri sendiri dahulu. Jika tidak, nasihat itu tidak akan memberi bekas kepada pihak yang disasarkan. Ingatlah, satu jari yang menuding, empat jari lagi kembali kepada diri sendiri. Cakap biarlah serupa bikin. [Peringatan buat diri sendiri].
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment