Tuesday, October 4, 2016

Guna PhD Tidak Sah


Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) kesal dengan tindakan beberapa orang penceramah motivasi yang masih meneruskan penggunaan gelaran ‘Dr’ tanpa cara yang betul. Isu ini telah diperjuangkan TAMRIN sejak 2012 lagi. Salah laku senegini boleh menimbulkan salah faham dan mesej yang salah kepada orang awam, apatah lagi kepada para peserta program mereka.

Gelaran ‘Dr’ hanya boleh digunakan jika sekiranya seseorang itu;

1. Doktor perubatan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Perubatan Malaysia (www.mma.org.my) . Ia tidak termasuk pengamal perubatan alternatif yang kebiasaannya mendapat pentauliahan mereka daripada institut yang tidak diakreditasi.

2. Mendapat ijazah kedoktoran yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (http://www.mqa.gov.my) .

Selain daripada gelaran ‘Dr’, ada juga yang menggunakan gelaran tersebut secara tidak sah:
a) Profesor
b) Profesor Emeritus
c) Sir

Kenapa tidak boleh?
Kerana banyak institut di seluruh dunia yang ditubuhkan oleh mereka yang sekadar hendak mendapatkan duit. Mereka meminta yuran di antara RM4,000 – RM20,000 daripada sesiapa yang hendak mendapatkan ‘Phd’ daripada ‘institusi’ mereka. Dengan hanya menyerahkan satu ‘laporan atau tugasan mudah’, seseorang itu akan mendapatkan ‘PhD’ tersebut.

Jadi, apa masalahnya?
PhD adalah sijil pengiktirafan kepada keupayaan minda seseorang melalui proses intelektual yang tinggi. Apabila seseorang itu berjaya menghuraikan sesuatu perkara dengan standard intelektual ini, maka dia layak untuk mendapat PhD. Standard itu dilakukan dalam bentuk tesis kedoktoran, yang mempunyai metodologi, kaedah, proses, dan peraturan yang amat ketat. Proses kelulusannya juga dipantau oleh barisan sarjana yang pakar dalam sesuatu bidang dan akan menilai proses intelektual tersebut.
Institut yang tidak diiktiraf MQA tidak mempunyai semua itu. Mereka sekadar mahukan duit dengan beberapa ‘aktiviti pembelajara n mudah’ yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai, dan pelajar itu sendiri.
Jadi, orang yang memiliki gelaran Dr dari institut yang tidak bertauliah belum lagi melalui proses inteletual seperti yang telah dilalui oleh pemegang PhD yang sebenar.

Bagaimana jikalau orang itu memang bagus ?
Baguslah. Namun dia belum melalui proses intelektual tersebut.

Sekali lagi, apa masalahnya?
Orang lain percaya bahawa pemikirannya sudah pasti berwibawa dan tahap ilmunya tinggi. Apa yang diungkapkan itu mempunyai nilai ilmu yang tinggi, kerana dia adalah seorang yang telah melalui proses intelektual yang tinggi. Walhal, dia hanya membayar RM5,000 dan menyiapkan tugasan yang mudah.

Akhir sekali, apa masalahnya?
Seseorang itu mungkin berkongsi perkara yang belum sahih sebagai ilmu, tetapi diajar dan disebarkan dalam program. Bayangkan betapa besarkan kerosakan kepada peserta jikalau perkara yang tidak sahih sebagai ilmu, diajar dan diyakini oleh para pendengar. Pelaburan modal insan untuk meningkatkan modal insan akan menjadi sebaliknya.

Bagaimana kalau dia seorang yang memang berjaya, tetapi tiada sijil?
Phd bukanlah sijil pengiktirafan untuk mereka yang ‘sudah berjaya tetapi tiada sijil’. Jikalau mereka perlukan pengiktirafan atas kejayaan mereka; cipta gelaran sendiri, atau anugerah lain. Bukanlah dengan cara mengelirukan orang ramai dengan menggunakan PhD palsu.

“Saya buat PhD ini untuk kepuasan diri sahaja dan personal. Sebab itu saya tak kisah kalau MQA tidak iktiraf” . Bagaimana?

Tidak mengapa. Jikalau untuk kepuasan diri, maka tidak perlulah orang ramai tahu mengenainya. Dapatkan sijil, dan simpan dalam simpanan yang selamat. Pastikan ianya tidak digunakan kepada orang awam, sebagai gelaran, dalam biodata, iklan, promosi, proposal, dan apa sahaja yang ‘tidak personal’. Halang orang lain daripada menggelarkan anda ‘Dr’ kerana PhD tersebut untuk ‘kegunaan peribadi’ , bukan untuk orang lain guna.

Bagaimana jikalau seseorang itu tidak tahu bahawa itu Dr palsu?

Ada dua kemungkinan:

a) Dia tidak tahu bahawa itu PhD palsu: Keadaan ini menampakkan kenaifan beliau mengenai PhD. Maklumkan kepada beliau hal yang sebenar, dan beliau perlu menghentikan penggunaan gelaran itu, serta memperbetulkan salah faham.

b) Dia tahu bahawa itu PhD palsu: Ia cukup untuk membuktikan wujud niat serong untuk memberikan gambaran yang salah kepada orang awam, biasanya untuk kepentingan diri.

c) Dia baru tahu bahawa itu PhD palsu: Jikalau dia menghentikan penggunaan gelaran Dr dan memaklumkan kepada masyarakat, itu bukti bahawa dia ingin memperbetulkan keadaan. Tetapi jika berterusan menggunakannya dengan alasan “Dulu saya tidak tahu”, maka ia termasuk seperti dalam kelompok (b).

Panduan umum:
Jikalau saya hendak menjemput penceramah / perunding latihan, dan dia bergelar ‘Dr’; bagaimanakah cara untuk saya memastikan hal ini?

Berikut adalah langkah yang tuan boleh lakukan:

1. Minta CV. Pastikan dia menulis nama PhD dan universiti mana. Lebih elok jikalau dia memasukkan salinan sijil PhD tersebut di dalam profilnya.

2. Semak sahaja di http://www.mqa.gov.my/mqr/index.htm

Berikut adalah antara institusi dan sijil yang tidak diiktiraf:

Ph.D. (Alt. Med) India – Open International University for Alt. Med.
M.D. (Alt. Med) India – Open International University for Alt. Med.
Reiki Master – Usui Kyodo, Reiki.
International Institute Of Health Science.
Indian Board Of Alternative Medicine.
Positive Life Foundation International.
Brantridge University USA
Trinity University USA
Ansted University UK

TAMRIN akan susuli kenyataan ini dengan senarai motivator dan perunding latihan yang mempunyai Phd yang sah dan diiktiraf. Malah TAMRIN mengalu-alukan mana-mana perunding latihan dan motivasi untuk tampil bersama TAMRIN dalam usaha pemurnian ini.


Tanpa panduan wahyu, manusia jadi melulu. Mudah ditimpa sindrom ADA AKAL TETAPI TIDAK BERAKAL. Harga diri bukan terletak pada pakaian dan gelaran. Juga bukan pada ilmu yang bertindan-tindan. Berakhlak mengikut acuan Allah. Di situlah letaknya maruah. Dunia boleh menipu. Namun Allah tetap tahu.

#BerkataBenarWalaupunPahit

No comments:

Post a Comment