Wednesday, October 26, 2016

Akibat Tamak


Seorang raja yang adil dan baik hati berasa rungsing kerana urusan pemerintahan baginda sering terjejas akibat perbuatan seorang menterinya yang tamak dan kaki rasuah.

Walaupun telah didesak berkali-kali supaya baginda mengenakan tindakan ke atas menteri itu, namun baginda masih berdiam diri.

Baginda sedar hendak menghukumnya bukan mudah kerana menteri itu mempunyai rangkaian perhubungan yang sangat kuat di kalangan sesama menteri dan angkatan tentera.

Pada suatu hari baginda bertitah kepada menteri tersebut.

"Hari ini kamu akan dikurniakan dengan satu kurniaan yang besar iaitu tanah."

"Terima kasih, tuanku. Boleh patik tahu seluas mana tanah itu?"

"Begini, selepas subuh esok kamu berjalanlah dari pintu pagar istana ini sejauh mana yang kamu terdaya dan pulang semula sebelum zohor. Sejauh mana kamu mampu berjalan dan balik semula ke sini maka seluas itulah tanah yang akan dikurniakan kepada kamu."

Menteri itu sungguh gembira sehingga tidak perasan wajah-wajah pembesar lain yang sedang mencemik.

Keesokannya dia pun memulakan perjalanan ke satu arah. Jauh dan semakin jauh. Fikirnya, lebih jauh dia pergi, lebih luaslah tanah yang dia akan dapat.

Tiba waktu zohor, raja dan para pembesar istana menunggu kepulangannya. Namun dia tidak juga sampai walaupun selepas solat zohor berjemaah.

Menjelang petang seorang pengawal tiba-tiba datang mengadap.

"Tuanku, menteri telah jatuh pengsan dan nazak ketika dalam perjalanan menjauh dari sini."

Ha...? Suara kehairanan serentak bergema di seluruh istana! Namun, raja hanya tersenyum.

Pengajaran:

Sifat tamak telah mendorongnya pergi semakin jauh sehingga tidak terfikir untuk pulang. Dia dihukum oleh sifat tamak itu sendiri.

No comments:

Post a Comment