Thursday, September 26, 2013

Wali Allah Solat Atas Air

serenemaklong.blogspot.com

 

SEBUAH kapal yang sarat dengan muatan dan 200 orang termasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datang ribut petir dengan ombak kuat menjadikan  kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha sia-sia sahaja.

Ketika semua orang sangat cemas dan menunggu apa yang akan menimpa kapal dan diri mereka, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang berzikir kepada Allah s.w.t.

Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terumbang-ambing dan berjalan serta bersolat di atas air itu. Beberapa orang peniaga yang melihat lelakiitu berada di atas air lalu berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak memandang ke arah mereka. Para peniaga itu menyeru lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!" 

Lelaki itu menoleh ke arah mereka dan berkata, "Apa hal?"

Peniaga berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"

Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah s.w.t."

Peniaga bertanya, "Apa mesti kami buat?"

Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."

Kesemua mereka menjawab, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami selamat." 

Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."

Dengan membaca Bismillah, mereka turun seorang demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun tenggelam ke dasar laut. 

Para penumpang hanya berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam. 

Seorang peniaga bertanya, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"

Jawabnya, "Saya ialah Awais Al-Qarni."

Peniaga berkata lagi, "Wahai wali Allah, di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."

Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah s.w.t. kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"

Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah." 

Setelah mendengar pengakuan dari peniaga, dia pun bersolat dua rakaat di atas air, memohon kepada Allah s.w.t. agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.

Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang. Setelah dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal, mereka meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju.

Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal. Wallahu a'alam.


(Sumber: PONDOK HABIB)

 

 

No comments:

Post a Comment