Friday, September 13, 2013

Pendita Yang Insaf

serenemaklong.blogspot.com
Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Ceritanya begini: Saya biasa keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu masa, saya tersesat jalan dan kemudian berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Pendita Kristian). Bila dia melihat saya dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah saya bersahabat denganmu?" Saya jawab, "Ya, boleh." Kami berjalan berdua selama tiga hari tanpa meminta makanan sehingga rahib itu menyatakan rasa laparnya kepada saya, "Saya lapar. Berilah saya sesuatu makanan yang ada padamu." Mendengar permintaan rahib itu, saya pun bermohon kepada Allah s.w.t., "Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini." Sebelum pun habis saya berdoa, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka kami pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali. Sesudah itu kami pun meneruskan perjalanan. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka saya berkata kepada rahib itu, "Hai rahib Nasrani, berilah saya sesuatu makanan yang ada pada kamu.” Rahib itu menghadap kepada Allah s.w.t., tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepada saya dulu. Bila saya melihat itu,saya pun berkata kepada rahib, “Demi kemuliaan dan ketinggian Allah s.w.t., saya tidak akan makan sehingga kamu memberitahukan hal ini kepada saya." Jawab rahib, "Hai Ibrahim, ketika saya bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) kamu kepada saya, lalu saya memeluk agamamu. Sesungguhnya saya telah membazirkan masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah s.w.t. dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan kamu, tidaklah saya rasa malu. Maka berlakulah kejadian yang kamu lihat sekarang ini. Saya telah mengucapkan kalimah syahadah seperti ucapanmu." Saya senang mendengar jawapan rahib itu. Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, saya tidak nampak rahib itu lalu saya mencarinya di Masjidil Haram. Saya lihat dia sedang solat di sisi Kaabah. Setelah selesai solat, rahib itu berkata, "Hai Ibrahim, saya telah hampir berjumpa dengan Allah s.w.t. Peliharalah persahabatan dan persaudaraan kita." Sebaik sahaja berkata begitu, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya berasa amat dukacita di atas pemergiannya. Saya segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Malam itu saya bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik. Tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah. Melihatkan itu, saya terus bertanya, "Bukankah kamu ini sahabat saya kelmarin, apa yang Allah s.w.t. telah lakukan pada kamu?" Dia menjawab, "Saya berjumpa dengan Allah s.w.t. dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana saya bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan saya seolah-olah bersahabat dengan kamu di dunia dan berhampiran dengan kamu di akhirat." Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan bakti kepada Allah s.w.t., maka dia ditarik kepada Islam dan menjalani ajaran-ajarannya. (Sumber: Pondok Habib)

No comments:

Post a Comment