Monday, September 30, 2013

10 Hari Pertama Zulhijjah

serenemaklong.blogspot.com

 

 

RAMAI di kalangan kita yang tahu kelebihan 10 malam terakhir Ramadan, tetapi mungkin hanya segelintir yang sedar kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah.

Imam al-Bukhari r.hm meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.”

Para sahabat bertanya, “Walaupun berjihad di jalan Allah?" Rasulullah SAW bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”

Pada 10 hari pertama Zulhijjah, kita dituntut untuk melakukan ibadat haji dan umrah (bagi mereka yang berkemampuan). Oleh itu bagi yang tidak melakukan ibadat haji di Tanah Suci, mereka turut diberikan kelebihan-kelebihan tertentu seperti:

SOLAT: Kita disunatkan melakukan solat fardu secara berjemaah dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia adalah sebaik-baik amalan.

Bagi lelaki, solat lima waktu berjemaah amat dituntut. Bagi wanita pula, mereka digalakkan untuk solat pada awal waktu.

PUASA: Umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat sekadar yang mampu iaitu pada 1 hingga 8 Zulhijjah, tetapi pada 9 Zulhijjah kita sangat dituntut untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada hari Asyura (10 Muharram), saya berharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun sebelumnya manakala puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) akan mengkafarahkan (menghapuskan) dosa dua tahun iaitu setahun sebelum dan setahun selepasnya.”

TAKBIR, TAHLIL & TAHMID: Umat Islam disunatkan untuk bertakbir pada beberapa hari tertentu bermula pada waktu Maghrib 9 Zulhijjah sehingga waktu Asar 13 Zulhijjah terutama selepas menunaikan solat fardu yang dikerjakan secara berjemaah.

BERKORBAN: Umat Islam disyariatkan untuk melakukan ibadat korban (menyembelih haiwan ternakan) pada Hari Raya Haji atau Aidiladha (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Ibadat korban adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s setelah diuji oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. tetapi akhirnya Allah gantikan dengan seekor kibas untuk disembelih.

TAUBAT DARI MAKSIAT & DOSA: Maksiat adalah punca seorang hamba terhalang atau tersekat daripada mendapat rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca kasihnya Allah SWT kepada kita.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk mendapat keampunan Allah supaya kita tidak jauh daripada Allah sepertimana dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda,“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya.”

PERHATIAN:
1 Zulhijjah 1434 - 6 Oktober 2013 (Ahad).
10 Zulhijjah 1434 - 15 Oktober 2013 (Selasa).

(Petikan: Majalah ANIS November 2010)
Foto: Jemaah haji wukuf di Arafah.

No comments:

Post a Comment