Thursday, September 12, 2013

Pesanan Buat Suami



SELALU hargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri, sambil memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan ibu anda kecuali masakan/cara menghias isteri lebih baik dari ibu anda. Jangan tuntut jimak sekiranya isteri tidak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.

Kalau pasangan sudah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Itu benih anda juga. Ada sesetengah suami, isteri sedang makan disuruh pula cebok kencing dan najis anak sedangkan dia sendiri duduk tersandar kekenyangan macam maharaja. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau rehat saja sedangkan isteri bila balik kerja, terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Sayu hati isteri bila rasa tidak cukup tangan hendak uruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.

Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri. Jangan bedal semua sehingga yang tinggal untuk isteri cuma ekor ikan, janggut sotong dan ekor taugeh. Kalau hendak ajak kawan bertandang ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari dua lebih awal supaya dia boleh menyediakan makanan enak dan mengemas rumah secantiknya. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma sempat masak mi segera saja.

Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Cermin diri sendiri dulu. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang. Jangan sesekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.

Jangan kedekut dengan isteri tentang keperluan rumahtangga. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan, semakin suami “degil” tidak mahu minta pertolongan, selagi itu dia rela hendak tolong. Jangan menyepah dan bersikap pengotor. Bila buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, bila guna cungkil gigi, buang ke dalam bakul sampah, bila guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, bila ambil sesuatu barang, simpan balik di tempat asal, jangan lupa flush tandas. Susah sangatkah nak buat macam tu?

Rajin-rajin bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan dengan kerja rumah/menjaga anak. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja. Hormatilah isteri sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tetapi diputar-belitkan tafsirannya oleh lelaki untuk kepentingan diri sendiri.

Jangan curang. Kalau isteri yang buat, tentu anda tidak boleh terima. Jadi mengapa isteri mesti terima kecurangan anda? Kalau tidak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegur secara baik. Jangan tengking. Kalau anda sakit, siapa yang kena jaga anda? Kalau isteri nampak tidak sihat, cepat-cepat bawa jumpa doktor. Tunjukkan anda mengambil berat tentang dirinya.

Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tidak akan jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Bertimbangrasa dan saling menghargai. Ketepikan ego yang keterlaluan. Dalami agama dan bimbing anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga.

Kalau suami masuk neraka, belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk neraka tetapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga. Ini adalah hakikat.

Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tidak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali. Jangan buat tidak tahu kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati perempuan sensitif. Kalau rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.

Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, jangan anggap masalah hati dan perasaan perempuan enteng. Allah S.W.T. berfirman, “Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang di dalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan.”

No comments:

Post a Comment