Tuesday, April 10, 2012

Memilih Sahabat Yang Baik


serenemaklong.blogspot.com
 
RASULULLAH SAW pernah ditanya oleh sahabat mengenai kriteria memilih sahabat, ‘Siapakah teman sepergaulan yang baik?’ Jelas baginda:
Sahabat sepergaulan yang baik ialah orang yang bila kamu melihatnya kamu teringat ‘Allah’, tutur katanya menambah ilmu kamu, dan amal perbuatannya mengingatkan kamu dengan hari akhirat.
Melalui hadis ini, baginda berpesan bahawa jika ingin bertkawan, utamakanlah individu yang memiliki tiga sifat utama iaitu:
·         Orang yang jika kita melihatnya, kita akan teringat ‘Allah’, kerana individu yang mencintai Allah, hidupnya akan dibimbing Allah.
·         Tutur katanya menambah ilmu kita, terutama dalam kecintaan terhadap Allah. Mukmin yang mencintai Allah akan giat mengajak umat ke jalan Allah.
·         Amal perbuatannya mengingatkan kita pada hari akhirat. Individu itu  menjadikan akhirat sebagai tumpuan utama perhatiannya. Jauhilah para pencinta dunia yang menyebabkan hati kita terjangkit dengan pelbagai penyakit dan racun pemusnah kehidupan. Na’uzubillah!
Kriteria yang tiga ini patut diterapkan jika kita ingin menerima ilmu yang bermanfaat dari seseorang. Usia kita yang kita lalui sangat singkat, masa berjalan pantas, subhanallah!
Sepatutnya orang Mukmin tidak perlu melakukan perkara yang rendah manfaatnya. Mukmin perlu selektif dan peka dalam hal menerima maklumat, terutama yang berkaitan dengan hukum hakam agama.
Dekatilah Mukmin yang menyemai cinta Ilahi (محبة الله) dalam hati kita; yang mendekatkan kita dengan rumah Allah; yang menanam cinta Kitabullah (Quran) dalam kehidupan kita; yang menjauhkan kita daripada pelbagai faktor yang melalaikan kita daripada agama Allah, terutama aneka media elektronik yang bukan mendekatkan kepada Iman dan Islam, sebaliknya  media nifak dan sarana ghaflah (yang melalaikan).
Setiap pergaulan (termasuk pergaulan suami-isteri dan anak-anak), jika bukan berdasarkan taqwa, bukan berpaksikan sunnah Rasulullah saw, pasti membuahkan kepahitan, penyesalan, dan permusuhan di akhirat kelak, wal ‘iyazu billah! (Surah al-Furqan, 27-29; Surah al-Zukhruf,67).
(Rujukan: Tafsir Qurtubi 13/27)

No comments:

Post a Comment