Monday, April 23, 2012

Memahami Bidaah


serenemaklong.blogspot.com

DEWASA ini ada segelintir anggota masyarakat yang tidak faham perkara mengenai bidaah. Mereka menganggap apa jua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semuanya bidaah.
Akhirnya wujud dalam kalangan masyarakat yang menyatakan bahawa amalan seperti talkin jenazah setelah dikebumikan, membaca tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat, berwirid secara berjemaah selepas solat fardu, membaca lafaz usalli atau melafazkan niat sebelum takbir, sambutan maulid nabi dan sebagainya adalah amalan bidaah yang tidak diterima di sisi Allah.





Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman, apa yang dianggap bidaah itu sebenarnya adalah perkara khilafiah yang para ulama berselisih pandangan terhadapnya.

Menurut istilah syarak bidaah adalah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, tidak disuruh oleh nabi untuk melakukannya, juga tidak dipersetujui dan tidak diakui oleh nabi SAW dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda (Jum'at Amin Abdul Aziz. 1991. Fahmul Islam fi Zilal Usul al-'Isyrin lil Imam Hasan al-Banna. Iskandariah: Dar al-Da'wah. Hlm. 195)

Bidaah juga ditakrifkan sebagai mewujudkan sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak datang keizinan daripada syarak di dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau qias dan tidak termasuk dalam kaedah dan asas umum ajaran Islam (Al-Sa'di, Abdul Malik Abdul Rahman, 2008. Al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq. Jordan: Matba'ah al-Azhar, hlm. 8)

Oleh itu, bidaah adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk. Sedangkan bidaah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan ijmak ulama.
Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau Qias. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bidaah. Jika amalan itu jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bidaah.

Persoalannya, adakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bidaah?

Kata Mohd. Sukki, ibadah yang dilakukan oleh nabi SAW boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat, hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat Maghrib umpamanya daripada tiga rakaat kepada empat rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bidaah.

2. Amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas memilih waktu yang disukai  untuk melaksanakan amalan tersebut. Syaratnya ialah tidak mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang dilakukan itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam.

Imam Hasan al-Banna mengkategorikan bidaah itu kepada dua iaitu:
l Bidaah hakiki yang wajib diperangi
l Bidaah yang termasuk dalam khilaf di kalangan ulama.

Contoh bidaah dalam kategori pertama iaitu yang wajib diperangi adalah tidak menggunakan hukum dan perundangan yang diturunkan oleh Allah, menyambut perayaan yang mempunyai kaitan dengan agama selain daripada Islam, adat dan budaya haram yang dicedok dari Barat seperti pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Adapun bidaah kategori yang kedua yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama adalah berselawat kepada nabi secara kuat selepas azan, membaca surah al-Kahfi dengan suara yang kuat oleh seorang qari di masjid sebelum didirikan solat Jumaat, membaca ayat al-Quran atau zikir-zikir tertentu dengan bilangan-bilangan yang ditetapkan seperti 100 dan 1,000, menyambut ulang tahun keputeraan nabi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kata Mohd. Sukki, bidaah kategori pertama sahaja yang diharamkan manakala bidaah kategori kedua bukanlah bidaah hakiki yang diharamkan.

Katanya, kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat tentang bidaah ini ekoran kefahaman seolah-olah segala apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah menjadi suatu bidaah apabila dilakukan. Sedangkan sesuatu yang sedia dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak melakukan semua perkara yang diharuskan kerana perkara yang harus terlalu banyak.

Oleh itu, sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu atau mengaitkan dengan bidaah dengan alasan nabi tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang salah.

Terdapat kaedah usul fiqh yang menyebut: "Meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya. Begitu juga sesuatu yang dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak mengerjakan semua amalan yang sunat.

Ini berlaku kerana baginda sibuk menguruskan perkara lain yang lebih penting seperti menyampaikan dakwah, berdebat dengan golongan musyrikin dan ahli kitab, berjihad menentang musuh Islam demi memelihara kesucian agama Islam, mengasaskan sebuah kerajaan Islam dan sebagainya.

Namun, Rasulullah telah menggariskan nas-nas syarak yang umum meliputi segala hal yang disunatkan.

(Tulisan oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN)

No comments:

Post a Comment