Tuesday, April 17, 2012

JIN, SYAITAN DAN IBLIS









BERIMAN bahawa jin, syaitan dan iblis itu wujud adalah dituntut dalam Islam dan menafikan kehadirannya bererti menolak al Quran. Kita ditegah mempertikaikan ayat-ayat al Quran walaupun sekadar satu ayat sahaja. 

Ada perbezaan di antara jin, syaitan dan iblis. Kelompok terbesar ialah jin, manakala syaitan dan iblis adalah kelompok kecil. Jin, syaitan dan iblis berasal daripada unsur api seperti firman Allah dalam Surah ar Rahman ayat 15: Dan Allah jadikan jin daripada lidah api.

SYAITAN adalah nama yang Allah beri kepada jin dan manusia yang jahat seperti dinyatakan dalam Surah al An’am Ayat112: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin…

Walaupun ada jin beragama Islam tetapi jika melanggar perintah Allah,  ia dikategorikan sebagai syaitan. Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang Islam, sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu) maka berilah amaran selama tiga hari. Sekiranya dia masih berada selepas ini (selepas tiga hari) bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan – HR Muslim.

Dalil ini menunjukkan syaitan terdiri daripada jin dan manusia yang melawan perintah Allah serta mengajak kepada kemungkaran. Ia  memusuhi dakwah para nabi walaupun agama anutannya Islam, lebih-lebih lagilah jika mereka kafir.

IBLIS bermula daripada jin bernama Azazil, ketua masyarakat jin ketika Allah menciptakan Nabi Adam a.s. Iblis melanggar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s kerana kaumn iblis dicipta daripada api sedangkan Nabi Adam a.s daripada tanah. Dia iri hati kerana Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi padahal kaum jin telah wujud 40 ribu tahun sebelum manusia.

Azazil mempunyai dua jantina. Daripadanya lahir keturunan iblis yang semuanya tidak beriman dan mengetuai jin lain dalam usaha menyesatkan manusia.

Azazil yang tidak mati sehingga hari kiamat mengetuai sebuah  kerajaan yang telah dibentuknya. Keturunannya pula berusia melebihi ribuan tahun.

Terdapat lima jenis golongan iblis paling kuat dan berpengaruh iaitu:

Tsabar -  menyesatkan manusia yang ditimpa musibah dengan  membisikkan keluh kesah dan menyalahkan ketentuan Allah di atas musibah yang menimpa.

Dasim - memusnahkan kerukunan rumahtangga dengan menyuburkan rasa benci, curiga dan cemburu di antara pasangan suami isteri menyebabkan mereka bercerai.

Al A’war - menggalakkan keruntuhan moral dengan menaikkan syahwat terhadap tubuh wanita bukan mahram. Wanita tidak menutup aurat adalah antara kejayaan Al A’war.  Apabila lelaki dan wanita berdua-duaan, dia berada di antara keduanya dan menggoda mereka supaya berzina.

Maswath - mencetuskan  idea penipuan, pembohongan dan membantu menyebarkan fitnah di kalangan manusia. Tempat kegemarannya ialah mana-mana media elektronik dan cetak yang disebarkan kepada manusia.

Zalnabur  - mengunjungi tempat manusia berkumpul seperti mesyuarat agung, perhimpunan keluarga dan diskusi berkumpulan dan membisikkan kata-kata yang mewujudkan permusuhan dan perselisihan menyebabkan hilangnya kesatuan dan adakalanya sehingga berlaku pergaduhan dan pembunuhan.      

JIN dalam bahasa Arab bererti tersembunyi, tidak boleh dilihat dengan mata kasar ataupun didengar. Dalam Al-Quran dan hadis, jin digolong berdasarkan perangai mereka:

Ifrit - jin yang cerdik, pernah berkhidmat untuk Nabi Sulaiman dengan mengangkat istana Balqis. Surah al Naml Ayat 39 menceritakannya: Berkatalah Ifrit daripada golongan jin – Aku akan membawanya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat duduk…   

Al Marid – golongan jin degil.

Al Awamir – kelompok yang mendiami rumah dan bangunan.

Al Arwah – dikenali juga sebagai ummu sibyan suka menganggu kanak-kanak.

Dalam artikel seterusnya akan dijelaskan pula persamaan dan perbezaan di antara jin dan manusia.

(Artikel ini ditulis oleh Ustaz Abdul Majid Hassan, pengasas dan perawat Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan Kuang, Selangor Darul Ehsan. Sila layari akrine.blogspot.com untuk maklumat lanjut mengenai kursus dan rawatan yang dijalankan)

No comments:

Post a Comment