serenemaklong.blogspot.com
BANYAK hadis yang menjelaskan tentang keutamaan menunaikan solat Subuh,
Asar dan Isyak secara berjemaah.Ganjaran solat Isyak berjemaah adalah seperti
solat separuh malam, solat Subuh
berjemaah adalah seperti solat semalaman, subuh berjemaah diberi ganjaran
pahala seperti menunaikan solat sunat sepenuh malam.
Rasulullah saw menjelaskan dengan maksudnya:
Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan
solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan
mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Ingin rasanya aku menyuruh seseorang
menggantikanku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang
membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat
berjemaah lalu dibakar rumah-rumah mereka – HR Muslim.
Penjelasannya begini, solat Subuh adalah waktu orang tidur. Sebab itulah di dalam azan subuh
juga diseru bahawa sesungguhnya solat itu lebih baik daripada tidur. Waktu itu
paling sedap sekali tidur dan memang sukar untuk mengejutkan orang untuk
menyuruh solat Subuh.
Solat Isyak pula, waktu orang
masuk tidur atau hendak mula tidur. Orang yang sudah mengantuk jika dihalang daripada
masuk tidur akan menimbulkan kemarahannya.
Hanya orang
yang kuat imannya mampu menunaikan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah.
Kekuatan fizikal bermula dari keimanan dengan hati. Kita beriman dengan hati, sebutkan dengan lidah
dan amalkan dengan anggota badan. Untuk sampai ke anggota badan, kita perlukan
hati dan iman yang kuat dengan solat jemaah.
Atas dasar itu, apabila masyarakat Yahudi melihat umat Islam solat Subuh
berjemaah seramai menyamai solat Jumaat, mereka bimbang akan dikalahkan. Namun
selagi umat Islam mendahulukan urusan dunia, kita tidak boleh mengalahkan
mereka.
Rasulullah saw bersabda:
Ketahuilah! Sesungguhnya kamu akan melihat Tuhanmu kelak seperti melihat
bulan purnama ini tanpa ada yang menghalang untuk melihatNya. Kerana itu
janganlah kamu lalaikan solat sebelum matahari terbit (solat Subuh) dan solat
sebelum matahari terbenam (Asar) – HR Muslim.
Allah juga berfirman:
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya)
segala solat fardu, khasnya solat wushta (solat Asar) dan berdirilah kerana
Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk – Al Baqarah: 238)
Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Abdullah r.a katanya,
“Orang-orang musyrik menahan Rasulullah saw solat Asar, sehingga matahari telah
kemerah-merahan atau kekuning-kuningan. Maka bersabda Rasulullah saw “Mereka
menghalangi kita solat wushta yakni solat Asar. Allah memenuhi perut dan kubur
mereka dengan api.“
Ada lima solat wajib, dalam lima itu ada satu yang paling diutamakan
iaitu solat pertengahan. Subuh pada awal hari, Zuhur tengah hari, Asar adalah
solat di tengah-tengah – malam tidak, siang pun tidak. Maghrib pula, pada awal
malam dan Isyak pada pengakhir waktu malam.
Ada juga pendapat yang mengatakan solat wushta adalah solat kemuncak
orang aktif bekerja. Banyak orang lupa pada waktu itu dan sibuk bekerja. Solat
tersebut adalah solat pertengahan antara malam dan siang. Di dalam Islam, Allah
memberikan fadilat yang lebih kepada suatu perkara lebih daripada perkara lain.
Keutamaan solat Asar juga disebut di dalam hadis. Rasulullah saw bersabda,
“Orang yang ketinggalan solat Asar, sama halnya dengan kehilangan keluarga
dan harta bendanya.“
No comments:
Post a Comment