serenemaklong.blogspot.com
HARI INI hanya
dengan satu klik di hujung jari kita boleh masuk meneroka ke gedung maklumat tanpa batasan.
Bagaimanapun setiap suatu kelebihan
akan mengundang sisi kelemahan. Seorang remaja di China sanggup minum air kencing
sendiri yang dikumpulkannya di dalam botol semata-mata kerana tidak mahu
meninggalkan skrin untuk ke tandas.
Menurut kajian Center For Online
Addiction yang berpangkalan di Amerika Syarikat, terdapat pelbagai jenis
ketagihan bagi pengguna dalam talian. Ia boleh dikategorikan kepada lima golongan:
- Ketagihan mendapatkan maklumat oleh individu yang menggunakan internet secara berlebihan.
- Ketagihan menggunakan komputer secara berlebihan oleh individu terutama mereka yang terlibat dalam pengaturcaraan dan permainan komputer.
- Ketagihan bahagian-bahagian tertentu dalam internet umpamanya ruangan perjudian, permainan dalam talian, barangan lelong.
- Ketagihan hubungan siber iaitu mereka yang menjalin hubungan dalam talian menerusi bilik bual seperti Skype, Facebook, forum dan kumpulan diskusi peribadi.
- Ketagihan seksual siber merujuk kepada individu yang meneroka ruangan lucah serta ruangan berbual dewasa yang membincangkan hal-hal seks secara terbuka.
Bagaimanapun Internet bukanlah sumber
asas dan utama untuk menguasai ilmu dan kepakaran. Seseorang yang meneroka maklumat di internet
mengenai kedoktoran, kejuruteraan atau penerbangan tidak mungkin diiktiraf
sebagai doktor, jurutera atau juruterbang. Google, Wikipedia dan YouTube tidak boleh
menjadikan kita pakar dalam bidang-bidang tersebut. Bagi mereka yang memang
telah berada dalam bidang berkenaan, melayari internet adalah kelebihan dalam
menambah ilmu pengetahuan.
Begitu juga halnya
dengan ilmu agama. Kita tidak boleh jadi ilmuan agama hanya berguru di skrin. Bayangkan
betapa kesannya pada ketulenan agama apabila seseorang tidak pernah mempelajari
ilmu nahu dan ilmu balaghah, tafsir, hadis, fiqah dan usul fiqah tetapi cuba
membahaskan hukum-hakam atau mensyarahkan nas-nas mutasyabihah dalam al-Quran
hanya kerana pernah menjumpai perbahasannya dalam internet.
IT (Information
Technology) hanya bererti teknologi maklumat, bukan teknologi ilmu atau KT
(knowledge technology). Sejak awal diketahui bidang maklumat di internet berupa
data yang tidak bersifat menyeluruh. Ia boleh jadi benar atau boleh jadi salah.
Kita perlu tahu perbezaan di antara kedua-duanya.
Kita perlu
memahami baik buruk teknologi ini kerana jika tidak teknologi yang sepatutnya
mendatangkan manfaat bagi umat bertukar menjadi malapetaka.
BAIK |
BURUK |
Mudah dan cepat mendapat maklumat. |
Mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak benar atau mengandungi dakyah. |
Banyak
alternatif. |
Terlalu banyak
pilihan sehingga keliru untuk memilih mana yang paling betul dan terbaik. |
Dapat menambah
ikmu tanpa perlu bersusah payah ke majlis pengajian di masjid atau surau. |
Cenderung
meninggalkan cara menuntut ilmu yang sebenar iaitu dengan cara bertalaqi dan
berguru di majlis-majlis pengajian di masjid dan surau. Diri tidak rasa perlu
untuk semua ini kerana seperti urusan seharian lain boleh diselesaikan
melalui jalan yang sama. Masjid dan surau akan kosong sedangkan berada di
masjid dan surau merupakan anjuran Rasulullah saw. Ia merupakan syiar agama
dan kekuatan umat. |
Boleh terlibat
dengan perbahasan ilmiah lagi mendalam. |
Mereka yang
tidak punya asas dalam sesuatu bidang tetapi meminati bidang tersebut turut
terlibat sedangkan dia tidak memiliki kefahaman asas dalam bidang yang dibincangkan
itu. Ini menjadikan dia lari dari kefahaman yang sebenar, kerana tiada
pembimbing sebagai rujukan. |
Dapat terus
merujuk kepada sumber dengan mudah. |
Tidak dapat
dipastikan kesahihan sumber. Di samping itu, mudah terdedah kepada pemberi
maklumat atau ilmu yang tidak amanah, dengan menukar sumber asli mengikut
kehendak sendiri. |
Dapat terus
pergi kepada masalah yang ingin diketahui seperti dalam soal hukum-hakam. |
Belajar tidak
mengikut kaedah yang betul sehingga tidak tahu mana kaedah yang paling sahih
dalam memahami hukum tersebut. Membentuk pemikiran cacamarba dalam memahami
ilmu agama. |
Dapat mengetahui
banyak pandangan ulama-ulama, tidak terikat dengan satu pandangan
semata-mata. |
Gagal membuat
kesimpulan yang betul kerana tidak memiliki dan mendalami ilmu usul fiqh dan
fiqah sehingga mencampur-aduk perbahasan ulama sesuka hati tanpa menggunakan
kaedah yang tepat. Hakikatnya, setiap ulama itu mempunyai kaedah tersendiri
dalam menerbitkan sesuatu hukum. |
Untuk menukar
maklumat menjadi ilmu, kita memerlukan guru pembimbing. Ilmu yang benar tidak
boleh dikuasai melalui jalan pintas atau segera. Nilai ilmu terletak pada
kualiti dan keberkatan, bukan pada banyak. Masyarakat kini bertuah kerana
golongan ulama proaktif membuka pengajian secara dalam talian dan boleh
berinteraksi sehingga boeh dirujuk sebarang masalah.
Golongan yang
mahir dalam pengaturcaraan internet perlu terlibat sama. Rangkakan sehinga
persembahan ilmu di siber sentiasa dikemas kini. Sudah tiba masanya golongan
kaya membiaya pengajian siber. Ramaikan bilangan penuntut yang berkunjung dalam
internet. Dengan ini martabat ilmu Islam dapat diangkat supaya serasi dengan
keperluan zaman yang canggih namun mencabar ini. Inilah jihad sebenar untuk
menyelamatkan generasi kini dan akan datang.
(Sumber: Tulisan Ustaz Zul Ramli M. Razali dalam Q&A)
No comments:
Post a Comment