Friday, April 27, 2012

Ikhlaskan Segalanya Kerana Allah





ALLAH SWT mengukur ibadah seseorang hamba berdasarkan keikhlasan terhadap-Nya. Ia merupakan pintu pahala, amalan penolak bencana dan penyebab turunnya rahmat Allah S.W.T.

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas? Secara dasarnya ia bererti `BERAMAL  SEMATA-MATA KERANA ALLAH, tanpa perasaan riyak [menunjuk-nunjuk], ujub [kagum dengan diri sendiri] dan bangga diri. Individu yang ikhlas sentiasa merasa Allah memperhatikan setiap tindakannya.

Keikhlasan boleh dicapai dengan cara:
  • Sentiasa berniat dengan tulus di dalam hati `Sahaja saya melakukan kerja ini kerana Allah Taala`.
  • Sentiasa menilai sendiri setiap amalan yang dilakukan. Jika terasa kurang ikhlas, segera bertaubat dan beristighfar.
  • Bila menerima pujian, beristighfar dan mengembalikan pujian itu kepada Allah.
  • Bersabar apabila doa belum dimakbul.
  • Menyembunyikan ibadah daripada pengetahuan umum.
  • Sentiasa berdoa agar dijauhi daripada semua sifat negatif seperti riyak, ujub, bangga diri.       
 Kekadang tercetus lintasan yang timbul tenggelam sekali-sekala di dalam hati agar orang lain tahu akan amalan dan jasa baiknya, namun itu tidak menjejaskan keikhlasan yang telah terpaku di hatinya. Lintasan fikiran sebegini tidak dapat dielakkan oleh manusia yang sentiasa digoda bisikan syaitan, kecuali fikiran mahu menunjuk-nunjuk itu telah sebati di hatinya, barulah dia dikatakan riyak.

Pun begitu, bukan semua amalan yang dipamerkan adalah riyak. Jika nawaitu sucinya ialah supaya amalan itu dijadikan teladan, ataupun untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi bahan tohmahan, maka itu tidak dikatakan riyak. 

Insan menyembah, memuja dan memuji Allah S.W.T. bukan kerana takutkan neraka-Nya atau kerana ingin memasuki syurga-Nya, walaupun di dalam Al-Qur’an memang terdapat  banyak rujukan mengenai keindahannya dan keberuntungan insan yang berjaya masuk ke sana. Bukan itu alasannya.

Sesungguhnya Allah disembah semata-mata kerana Dia yang mencipta dan meniupkan roh ke dalam tubuh kecil insan ketika sedang berada dalam rahim ibu, lengkap dengan jasmani dan akal fikiran yang sempurna. Setelah lahir, insan diberi peluang menghirup udara-Nya dan dibenarkan menjejakkan kaki ke bumi-Nya.

Ketika menjalani kehidupan seharian, diberikan pula nikmat makan minum, pakaian serba indah, kediaman selesa, juga bekalan berupa ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi membolehkan insan meneruskan kelangsungan hidupnya. Mana mungkin insan tersebut menjalani kehidupannya tanpa memanjatkan kesyukuran di atas semua kelebihan itu.

Untuk memastikan insan tidak leka dalam nikmat kesenangan, diturunkan pula ujian, dugaan dan musibah agar insan tidak lupa akan kehadiran-Nya, dan sentiasa kembali kepada-Nya untuk memohon dibebaskan daripada semua kesulitan. Dia sentiasa memastikan ujian yang diturunkan-Nya itu mampu dipikul oleh hamba-Nya. Dari situlah nanti Dia tahu tahap keimanan insan tersebut – sama ada gred A, B, C atau D.

Keadaan hidup di dunia ini tidak jauh bezanya dengan alam persekolahan di mana manusia terpaksa menduduki peperiksaan bagi menguji tahap diri, sama ada layak atau tidak untuk ke peringkat seterusnya.

Manusia yang ikhlas semata-mata kerana Allah, akan merasakan bahawa Zat Yang Agung itu merupakan sahabat dan kekasih setia yang sentiasa bersedia mendengar rintihannya pada bila-bila masa jua. Manusia itu tahu dia pasti tidak akan dibiarkan bersendirian tanpa bimbingan-Nya.   

Manusia yang ikhlas kerana Allah, berakhlak mulia, kerap bertaubat di atas segala kesalahan dan kesilapan, mengamalkan amal makruf nahi mungkar, bersifat sabar, sentiasa menjaga silaturrahim sesama manusia dan selalu bersegera menghulur bantuan berupa tenaga dan hartabenda kepada yang memerlukan, tidak akan digelincirkan oleh mana-mana makhluk ciptaan-Nya yang lain, sekalipun dijanjikan kemewahan dan kemasyhuran dunia. Ini adalah kerana dia meletakkan kasihnya pada Allah di hadapan, di belakang, di kiri, di kanan dan di atasnya. 

Sesungguhnya amalan yang banyak, jika tidak disertakan dengan keikhlasan, tidak bererti apa-apa bagi Allah. Di dalam hadis ada dinyatakan mengenai seorang yang beramal soleh selama bertahun-tahun, namun akhirnya mati dalam kekufuran akibat sanggup menukar agama dengan cinta palsu anak gadis seorang rahib Nasrani yang jelita.            

Syurga dan neraka adalah milik mutlak Allah S.A.W. Tiada sesiapapun layak menentukan bahawa Si Fulan akan masuk syurga atau neraka lantaran amalan atau fahaman politiknya. Yang menguruskan semua itu adalah Dia, bukan manusia. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

`Amal soleh seseorang di antara kamu sekali-kali tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga`. Mereka (para sahabat) bertanya, `Begitu juga engkau ya Rasulullah?` Rasulullah s.a.w. menjawab: `Tidak juga aku melainkan Allah melimpahkan kurniaan dan rahmat-Nya kepadaku`. 


No comments:

Post a Comment