Monday, January 2, 2012

Lidah Mak Mertua

serenemaklong.blogspot.com






MUNGKIN nama pokok ini agak unik dan pelik namun pokok yang nama spesiesnya, Sansevieria dan tergolong dalam famili tumbuhan Dracaenaceae ini cukup tahan lasak, senang ditanam dan dijaga.

Pokok lidah mak mertua juga dikenali dengan pelbagai nama lain seperti pokok lidah jin, pokok lidah buaya dan pokok ular. Kebanyakan pokok ini dikatakan berasal dari Afrika yang beriklim tropika.

Ia mempamerkan dedaun pelbagai bentuk seperti silinder, nipis, panjang, pendek dan tirus di hujungnya manakala warna daunnya pula pelbagai seperti hijau tua, hijau dan bercorak atau bergaris kuning di sekelilingnya dan tumbuh menegak. Kadangkala ia mengeluarkan bunga berwarna hijau pucat.


Spesies Popular Ditanam;

Di antara spesies yang popular ditanam adalah Sansevieria trifasciata, Sansevieria trifasciata ‘Golden Hahni’, Sansevieria trifasciata ‘Hahni’, Sansevieria trifasciata ‘Laurenti’, Sansevieria cylindrica dan beberapa jenis Sansevieria trifasciata kacukan.

Ia senang dibiakkan menggunakan anak pokok yang tumbuh di sekeliling pokok induknya.

Kaedah Penanaman adalah seperti berikut:
  • Potong akar rizom anak pokok yang bersambung dengan pokok induknya.
  • Tanam anak pokok dalam beberapa pasu dengan campuran medium tanaman yang baru.
Ia juga boleh dibiakkan menggunakan kaedah belahan rumpun dan juga keratan daun. Ia memang sesuai tumbuh dalam pelbagai campuran medium tanaman asalkan air senang mengalir keluar dan tidak bertakung. Campuran medium tanaman yang disyorkan ialah 1:1:1 (Tanah peroi: Baja organik: pasir sungai).
Penjagaan:
  • Ia boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dedahan cahaya. Namun ia lebih sesuai di tempat teduh atau agak redup seperti di dalam rumah dan sebagainya.
  • Kawal siraman air kerana terlalu banyak air di dalam medium tanamannya akan mengakibatkan perdu pokok menjadi masam dan reput secara perlahan. Pastikan medium tanamannya kering sebelum menyiram semula. Untuk itu, cucuk jari telunjuk anda ke dalam medium tanaman sedalam satu inci sebelum pokok disiram. Jika didapati medium tanamannya kering itu menandakan pokok berkenaan perlu disiram semula.
  • Baja najis ayam atau kelawar yang siap diproses adalah terbaik untuk mendapatkan pertumbuhan daunnya yang cantik. Namun anda juga boleh menggunakan baja kimia dalam bentuk cecair atau garam.
INFO Sansevieria
Daun pokok ini boleh digunakan sebagai bahan dalam gubahan bunga hidup kerana bentuk dan corak daunnya yang unik, segar serta dapat bertahan lama.
Untuk kelihatan lebih cantik, daunnya perlu dibersihkan dari habuk dan kotoran yang melekat. Gunakan tuala lembap untuk membersihkannya dan selepas itu sapukan cecair leaf gloss atau susu cair tanpa gula untuk memberi sinar semula kepada daun berkenaan.

  Gubahan Susunan
  • Pokok ini sesuai ditanam di tanah atau dalam pasu.
  • Pokok ini boleh dijadikan salah satu pokok dalam gubahan pokok hidup sebagai pokok tinggi yang tumbuh menegak untuk dijadikan latar belakang gubahan berkenaan.
  • Untuk hiasan di pejabat atau ruang dalam rumah adalah dicadangkan ia ditanam secara solo atau dicampur dan digubah dengan pokok-pokok yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna daun. Anda juga boleh membuat satu gubahan menggunakan spesies Sansevieria yang pelbagai bentuk dan warna daun. 

No comments:

Post a Comment