serenemaklong.blogspot.com
JOHAN MARJONID, pelukis sepenuh masa yang
mendapat pendidikan dalam bidang seni halus di Universiti Institut Teknologi
Mara (UiTM), adalah salah seorang pelukis
tempatan yang menjadikan alam semula jadi sebagai bahan paparan dalam
hasil karyanya.
Johan memiliki daya penghayatan yang kuat,
mengolah dengan teliti karya seninya melalui penggunaan bahan akrilik mengikut
ukuran kanvas berskala besar. Unsur seni seperti garisan, warna dan bentuk imej
dipaparkan sehingga begitu menyerlah. Johan memilih imej dengan mengambil kira
aspek penting dalam lukisan seperti komposisi dan kadar banding.
Arca Alam
Unsur hutan seperti
batang, ranting, daun dan akar dilukis penuh teliti menghasilkan karya yang
ternyata hidup.
Melalui hasil
karyanya, kita dapat merasai betapa indah dunia rimba-raya yang ada di negara
kita. Penggemar seni bagaikan dapat
mendengar bunyi deruan air terjun di hulu sungai, merasai kedinginan dan
kelembapan hutan rimba selepas hujan, merasai nyaman tiupan bayu serta ketenangan
ketika melihat kabus pagi berarak dan dihiburkan dengan “muzik” daripada
penghuni rimba seperti kera, burung-burung, cengkerik dan sebagainya.
Misty Morning
Bagi mendapatkan gambaran dan suasana
sebenar, Johan berusaha meredah hutan hujan di negara kita. Antara lokasi yang berjaya
dirakamnya di atas kanvas ialah Gunung Stong (Kelangtan), Gunung Tahan
(Pahang), Bukit Cahaya Seri Alam (Selangor), Hutan Dara Ulu Yam (Selangor) dan Hutan
Kancing (Selangor).
Johan turut melakar dan mengambil gambar
serta merekodkan perubahan yang berlaku terhadap eko-sistem di kawasan terbabit
termasuk perubahan ukuran pokok, dahan, ranting, batang kayu yang reput dan
aliran sungai.
Antara beberapa judul karya Johan ialah Preservation
V – Bukit Cahaya Seri Alam, 1995: Arca Alam I dan IV, 2003 dan Misty
Morning Rimba Kancing Water Fall. Rata-rata berukuran besar daripada 51 cm x 76 cm sehingga 114.5 x 284.5 cm.
Karya-karya seni
tampak seperti ini akan mengingatkan kita betapa indah ciptaan Allah. Kita
perlu mencari jalan untuk mempertahankan khazanah alam ini daripada kemusnahan.
(Sumber: Anjung Seri)
No comments:
Post a Comment