Tuesday, January 3, 2012

Menjadi Mukmin, Bukan Sekadar Muslim


serenemaklong.blogspot.com


DARI Tsauban dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan meratah kamu semua sepertimana orang-orang sedang meratah makanan di atas dulang”. Kemudian ada sahabat bertanya: “Adakah ketika itu bilangan kita (kaum Muslimin) kecil?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu ramai, namun kamu hanya bagai buih di atas air bah (yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari). Dan Allah SAW akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian.” Ada sahabat bertanya lagi:”Wahai Rasulullah s.a.w., apakah wahn itu?” Beliau menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Zaman yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. itu telah tiba. Lihat sahaja di sekeliling dunia sekarang. Jumlah umat Islam memang cukup ramai. Namun bilangan yang ramai ini tidak menjanjikan kedudukan sebagai peneraju dunia.

Tidak seperti zaman Rasulullah s.a.w. dan seabad selepas kewafatannya. Islam berkembang pesat hingga ke Eropah dan melahirkan para saintis, pakar matematik, ahli falak, ahli falsafah dan pakar perubatan yang kemudiannya menjadi pembimbing ketamadunan dunia, di bawah empayar Ummayah, Abassiyah, Fatimiyah, Mughal dan Uthamaniah.

Sejak kejatuhan Empayar Uthmaniah pada 1923, segala kegemilangan ini berkubur. Sejak itu umat Islam bukan lagi peneraju ketamadunan, sebaliknya menjadi umat yang tunduk di bawah telunjuk kuasa asing. Dihina oleh bukan Islam, dan juga oleh sesama Islam sendiri.

Hartawan dan jutawan Islam Asia Barat melabur berbilion dolar di negara-negara bukan Islam. Mereka sangat bergantung kepada kemahiran Barat untuk membangunkan negara sendiri dengan membayar upah menggunakan petrodollar.  

Empayar Islam zaman lampau berkembang berasaskan keimanan dan ketaatan kepada Allah SAW. Al-Quran dan hadis dijadikan panduan pemerintahan. Tetapi pemerintah negara-negara Islam telah mencampakkan nilai pemerintahan penuh keikhlasan Khalifah Umar Abdul Aziz jauh-jauh dari sisi mereka.  

Kerana itu banyak negara Islam sedang bergolak sekarang - Palestin, Syria, Yaman, Libya, Pakistan, Afghanistan, Somalia, Ivory Coast, sekadar menyebut beberapa nama. Ada yang diserang oleh tentera luar dari zionis Israel, tentera bersekutu Amerika Syarikat, Britain dan Australia serta NATO, kononnya atas nama keamanan, namun yang lebih menyedihkan umat Islam mati di tangan pemerintah sendiri yang seagama.

Puncanya hanya satu – keimanan yang semakin menipis. Al-Quran sudah diturunkan  taraf sekadar dilagukan dengan tarannum yang merdu tanpa menghayati dan mematuhi intipatinya.

Umat Islam kini ramai yang bersikap seperti kaum nabi-nabi sebelum Rasulullah s.a.w. yang melupakan Allah SAW dan segala nikmatNya. Akhirnya mereka dihancurkan menjadi debu.

Dalam alaf ini sahaja sudah berkali-kali Allah SAW `melemparkan batu-batu kecil` berupa kemarau, gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, letusan gunung berapi, tsunami dan  kebocoran nuklear, semata-mata sebagai peringatan supaya hamba-Nya kembali ke jalan yang lurus.    

Bukankah perkataan ISLAM itu sendiri bererti `Jalan yang Lurus?` Di Malaysia ini  terdapat orang-orang yang mengaku Islam tetapi menambah dengan kata-kata `not a practising Muslim`! Itu bererti orang sedemikian belum lagi berada di atas Jalan yang Lurus. Malah jalannya masih bersimpang siur tidak tentu halatuju.

Jom, sudah tiba masanya kita membina `negara Islam kecil` kita sendiri iaitu keluarga. Ketua keluarga harus mengajak `rakyatnya` membina `tiang` negara yang kukuh  menerusi solat. Jika kurang arif mengenai solat yang khusyuk, boleh sahaja meminta nasihat dan bantuan daripada yang pakar. Kalau yang pakar itu adalah anak lelaki sendiri, jangan malu belajar dengannya. Dalam menuju ke jalan Allah, tidak ada istilah malu jika ia membawa kebaikan. 

Kita lazimnya berpakaian indah-indah ketika menemui VIP dan VVIP. Apa kata kita pakai pakaian yang serupa ketika mengadap Raja Agung. Raja Serba Istimewa ini turun ke langit bumi di sepertiga malam. Dia Maha Mendengar dan Maha Pemberi. Ketika itu mohonlah apa sahaja keperluan dunia dan akhirat dengan penuh ikhlas. Pasti dikabulkan-Nya, sama ada cepat atau lambat, mengikut kadar waktu yang diketahui-Nya terbaik buat kita.

Yakinlah pada diri iaitu apabila tiang telah kukuh, segala amalan baik yang lain dapat dilakukan secara automatik. Insya Allah, you’ll find the way (kata penyanyi nasyid dari Sweden, Maher Zain). Kedudukan kita tentu akan berubah daripada sekadar Muslim biasa menjadi Mukmin.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini ibarat singgah sebentar di pelabuhan bagi mendapat bekalan dalam perjalanan yang lebih panjang selepasnya. Jangan terpesona dengan keindahan pelabuhan persinggahan ini sehingga lupa menyediakan bekalan. Dikhuatiri apabila kapal sudah hampir hendak bertolak, baru tersedar diri ini tidak mempunyai apa-apa untuk dibawa mengadap Raja Yang Agung.

No comments:

Post a Comment