Saturday, December 31, 2011

Bila Khalik Mengeluarkan Perintah




serenemaklong.blogspot.com


ALLAH SAW telah berfirman:
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab, "Sesungguhnya kami orang-orang yang melakukan perbaikan." Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar. (Al Baqarah - ayat 11 dan 12).

Bayangkanlah, makhluk yang dicipta Oleh Allah SAW khusus untuk menjadi khalifah di bumi tetapi akhirnya makhluk itu memungkiri janji dengan melakukan kerosakan yang tidak terkira besarnya.

Oleh itu umat manusia tidak harus menyalahkan Pencipta apabila hamba-hamba-Nya yang patuh dan taat menurut PerintahNya iaitu awan, angin dan bumi menimpakan musibah ke atas mereka. Ketika itu ada manusia yang sedar betapa rapuhnya nyawa mereka.

Sepanjang tahun 2011, kita dilanda berbagai bencana alam yang maha dahsyat. Bermula awal Januari, banjir kilat menyebabkan bermacam kemusnahan di Brazil, selatan Afrika dan Australia. 

Bencana berikutnya berlaku pada 11 Mac apabila gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter melanda Jepun, sekaligus mencetuskan tsunami dan seterusnya krisis nuklear terbesar di negara Matahari Terbit itu. Jepun yang selama ini bangga dengan tahap keselamatan loji nuklearnya di Fukushima terpaksa menundukkan kepala penuh malu.Beribu-ribu rakyatnya kehilangan kediaman dan punca rezeki.    

Negara Uncle Sam juga tidak terkecuali kerana dilanda bencana bertali arus seperti ribut taufan, kemarau dan kebakaran hutan yang membawa kerugian tidak terhingga. Tuntutan insurans berjumlah AS$100bilion bagi bencana alam tahun ini merupakan yang kedua besarnya selepas tuntutan akibat Taufan Katrina.

Pada 25 Julai dan minggu-minggu selepasnya, ibu negeri Gajah Putih pula dilanda banjir terbesar dalam sejarah negara tersebut. 313 orang terkorban dan menyebabkan berbagai industri mengalami kerugian. Di kaca televisyen kita dapat saksikan sendiri bagaimana kereta yang telah siap dipasang dan bakal dieksport terapung bagaikan bunga-bunga kapas. Tidak dikira lagi sawah padi yang tenggelam. 

Kerugian yang dihadapinya turut menjejaskan import beras negara kita sendiri kerana terpaksa beralih ke negara-negara lain untuk mendapatkan bekalan makanan ruji itu. 

Di negara kita pun tidak kurangnya. Pada 21 Mei kita dikejutkan dengan berita rumah anak-anak yatim di Hulu Langat runtuh akibat gelinciran tanah yang menyebabkan beberapa orang penghuninya maut. Ia berlaku kerana manusia gagal mentafsir petanda-petanda yang telah muncul beberapa hari sebelum itu.

Daerah Dungun di Terengganu yang memang sentiasa dibadai ombak dan hujan lebat pada setiap kali musim tengkujuh, kali ini menghadapi kerosakan besar. Ia berlaku pada Hari Krismas lalu dan beberapa hari selepas itu. Saya tidak dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri kerana keluarga saya telah pulang semula ke Kuala Lumpur selepas bercuti di sana.

Ternyata, jalan menyusuri Pantai Teluk Lipat yang selama ini selalu saya guna untuk ke Pasar Besar Dungun dan Pasaraya Mydin dari kediaman kami di Jalan Taman Bersatu kini tinggal selorong sahaja. Ini bererti saya mesti mengubah laluan ke Jalan Yahya Ahmad yang kini sedang dalam pembinaan. 



Usia bumi ini sudah terlalu sangat tua. Ia sudah “letih” menanggung maksiat yang dilakukan oleh penghuninya. Semua musibah itu bagaikan "batu-batu kecil yang dilempar oleh Allah SAW".

Kita redha dengan segala yang berlaku. Itulah cara Allah SAW menginsafkan kita yang selalu lalai mentaati perintah-Nya. Dalam setiap musibah memang ada hikmah. Kita akan mendapatinya jika diri sentiasa bermuhasabah.

No comments:

Post a Comment