Friday, January 6, 2012

Enam Sifat Mazmumah


serenemaklong.blogspot.com



SECARA umum, manusia memiliki dua jenis keperibadian iaitu; positif dan negatif yang tercermin pada tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Sikap positif menjelma dalam tindakan kepatuhan, mencari kebenaran, muhasabah diri, bekerja dengan amanah dan bermuamalah dengan jujur dalam semua lapangan kehidupan.

Sikap negatif pula terlihat pada penentangan, cenderung kepada perbuatan maksiat, malas bekerja serta melakukan kerosakan terhadap diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud:
Ada enam perkara yang menyebabkan amal kebajikan menjadi sia-sia (tidak mendapat pahala); iaitu sibuk mencari keaiban orang lain, keras hati, terlalu cinta kepada dunia, kurang rasa malu, panjang angan-angan dan orang yang berterusan melakukan kezalimannya". (riwayat Dailami)

Sifat Mazmumah Pertama
Orang yang lebih suka mencari dan menyebarkan keburukan yang terdapat pada orang lain lalu membesar-besarkannya, sementara aibnya sendiri tidak pernah diperiksanya sesuai dengan pepatah lama "Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak."

Terdapat sebuah kisah seorang khalifah yang melakukan rondaan dan lawatan terhadap rakyatnya pada waktu tengah malam, menemui dalam sebuah rumah seorang lelaki dan wanita serta minuman arak. Dia memanjat dinding rumah itu lalu terus menerjah masuk dan terjadilah dialog:

Khalifah: Hai musuh Allah, kau sangka Allah akan menutup kesalahan kau ini?
Lelaki: Jangan tergesa-gesa, tuan juga telah melakukan kesalahan.
Khalifah: Apa kesalahan saya?
Lelaki: Kesalahan saya hanya satu iaitu apa yang tuan lihat sekarang, sedangkan tuan telah melakukan tiga kesalahan iaitu; mencari dan mendedahkan keburukan orang lain, padahal Allah melarang perbuatan itu, masuk ke dalam rumah orang dengan memanjat dinding, bukan melalui pintu dan masuk rumah tanpa izin tuan rumah.

Sifat Mazmumah Kedua

Sikap keras hati iaitu tidak mahu menerima pengajaran yang baik. Nasihat ke arah kebaikan ditolaknya. Dia tidak suka segala kesalahannya dikritik apatah lagi dipersalahkan, kerana dia yakin bahawa dialah paling benar. Hatinya pula tidak tersentuh oleh penderitaan dan kesedihan orang lain.

Sewaktu hayat Rasulullah SAW, terdapat suatu kejadian yang membuat semua sahabat bersedih kerana kematian seorang anggota keluarga dari kalangan mereka.

Nabi SAW menangis, begitu juga sahabat-sahabat di sekitarnya. Tetapi ada seorang sahabat nampak biasa-biasa saja, sedikitpun  tidak tersentuh melihat kejadian itu. Lalu dia bertanya kepada Nabi SAW, maka Rasulullah SAW menjawab, "Itu tandanya hati yang keras."

Orang yang keras hati lebih cenderung bersifat ego, sombong, takbur dan tidak mahu menerima kebenaran, kerana hatinya telah keras dan tidak terbuka untuk menerima pengajaran yang benar.

Sifat Mazmumah Ketiga

Kehidupan dunia hanya sementara. Kita adalah musafir yang berada dalam perjalanan, lalu beristirehat di sebuah tempat untuk sementara waktu. Namun ramai manusia  beranggapan bahawa tempat istirehat itulah matlamat dan tujuan mereka sehingga lupa akan matlamat dan tujuan sebenar mereka iaitu kembali kepada Allah Yang Maha Esa.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, mafhumnya:
Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan meratah kamu semua sepertimana orang-orang sedang meratah makanan di atas dulang”. Kemudian ada sahabat bertanya: “Adakah ketika itu bilangan kita (kaum Muslimin) kecil?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu ramai, namun kamu hanya bagai buih di atas air bah (yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari). Dan Allah SAW akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu, sementara Dia meletakkan penyakit wahn dalam hati kalian.” Ada sahabat bertanya lagi:”Wahai Rasulullah s.a.w., apakah wahn itu?” Beliau menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Sifat Mazmumah Keempat

Orang yang tiada sifat malu, tidak segan melakukan apa sahaja menurut kemahuan hawa nafsunya. Perbuatan maksiat merupakan agenda utama kehidupan seharian. Benar atau salah tidak menjadi ukuran. Tanpa rasa malu dia menganggap dirinya lebih suci daripada orang lain.
Menurut Abu Hasan Al Mawardi, sifat malu itu ada tiga jenis, iaitu;
·        Malu kepada Allah.
·        Malu kepada manusia.
·        Malu kepada diri sendiri.

Sifat Mazmumah Kelima
Sifat panjang angan-angan menunjukkan kekerdilan manusia. Kemahuannya lebih tinggi daripada kemampuan sebenar. Dia suka berkhayal dan mengelamun. Ungkapan yang biasa bermain pada lidahnya ialah seandainya, andai kata, apabila, jika, kalau dan lain lain lagi.
Waktunya habis tanpa melakukan sesuatu kerana sibuk berangan-angan. Baginya khayalan itu benar, indah dan realistik. Sikapnya umpama pungguk merindukan bulan atau katak ingin jadi kerbau.

Sifat Mazmumah Keenam
Orang yang menggunakan kuasa dan kekuatannya meeksploitasi orang lain, memeras golongan bawahan dan menindas kelompok yang lemah.

Inilah enam sifat mazmumah yang dapat menghancurkan nilai-nilai ibadah. Ia ibarat air di daun keladi, amal yang dilakukan berpahala banyak tetapi tertumpah tanpa meninggalkan sebarang bekas. Jika enam sifat tercela ini ada dalam peribadi seseorang, maka hendaklah dia berwaspada dan berhati-hati dalam segala tindak tanduknya supaya tidak melanggar peringatan Rasulullah SAW dalam hadis di atas.

No comments:

Post a Comment