Perkataan Voodoo bermaksud roh. Nama ini diberikan kepada tradisi keagamaan mistik-animisme yang berasal dari Afrika Barat. Sebelum diulas lanjut adalah penting untuk membuang pemikiran yang sedia ada tentang Voodoo. Ramai yang menganggap Voodoo adalah sebuah agama yang penuh dengan kejahatan dan gemar melakukan kekejaman dengan sihir menyeksa manusia melalui patung-patung. Ini antara tanggapan negatif yang banyak memburukkan imej agama Voodoo. Secara asasnya Voodoo juga memiliki konsep doktrin keagamaan seperti agama-agama lain di samping mereka memiliki kepercayaan kepada alam perbatinan tetapi ia tidak seteruk apa yang digambarkan oleh filem barat.
Voodoo adalah agama yang berasal daripada wilayah Nigeria barat hingga ke Ghana timur. Malah di Benin pada tahun 1996 telah diisytiharkan Voodoo adalah salah satu agama rasmi mereka. Di Benin dianggarkan sekitar 60 peratus dari penduduknya, atau sekitar 450 juta adalah penganut kepada agama ini.[1] Voodoo adalah agama yang berasaskan kepada pemujaan, animisme, primitif, dan unsur-unsur Shamanisme. Mereka juga seringkali diistilahkan kepada Obeah merujuk kepada ritual perbatinan mereka.
Ramai yang terkeliru kerana mereka mengira agama Voodoo bermula di negara Haiti. Sebenarnya agama Voodoo di Haiti adalah berasal daripada Afrika Barat. Ia sampai di sana disebabkan berlaku pemerdagangan hamba secara besar-besaran dari Afrika ke Haiti. Maka agama Voodoo yang berkembang di Haiti adalah agama yang telah mengalami sinkretisme percampuran budaya agama kepercayaan sehingga terdapat perbezaan diantara Voodoo Haiti dan Voodoo Afrika.
Sejarah
Voodoo dikelaskan salah satu agama kuno yang wujud di Afrika Barat. Tidak diketahui siapakah pengasas agama ini. Sejarah perkembangan agama ini berlaku turun naik di dalam sejarah. Pada zaman penjajahan barat di Afrika Barat ketika berlaku perang dunia pertama dan kedua, dirakamkan belaku penentangan terhadap agama yang dianut oleh masyarakat di Afrika Barat dan pada ketika itu terdapat ramai pemimpin agama terdiri daripada Houngans (pemimpin agama lelaki) atau Mambos (pemimpin agama perempuan) Voodoo yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Malah kuil-kuil mereka dihancurkan oleh kekuasaan Eropah-Kristian pada ketika itu.
Pada hari ini Voodoo memiliki beberapa versi tersendiri dan tersebar ke luar daripada Afrika Barat. Antaranya yang terkenal adalah Voodoo Haiti dan juga Voodoo Lousiana.
Haiti
Setelah barat menjajah Afrika, mereka mengambil masyarakat di Afrika Barat untuk pemerdagangan hamba ke kepulauan Caribbean terutama di Haiti. Golongan hamba yang dibawa dari Afrika Barat telah dibaptis untuk menganut agama Kristian Roman Katolik. Infrastruktur agama Kristian di Haiti juga telah dibangun sejak awal abad 19 M. Mereka dipaksa untuk menganut agama Kristian Katolik dan disamping itu kepercayaan kepada agama asal mereka masih lagi menebal dalam diri mereka.
Di Haiti juga, agama Voodoo ditentang oleh paderi-paderi Kristian. Mereka tidak dibenarkan untuk menganut agama mereka. Malah dapat dilihat dalam buku penulisan paderi mereka sendiri yang menanam doktrin kebencian terhadap Voodoo. Pada tahun 1884 terdapat seorang paderi, bernama Saint John Spencer telah menulis sebuah buku bertajuk Hayti or The Black Republic, beliau banyak menyerang agama asal masyarakat Afrika Barat yang dibawa ke Haiti. Beliau menggambarkan Voodoo sebagai agama yang sangat jahat, seram, sering melakukan pengorbanan manusia, bersifat kanibalisme dan beberapa kepercayaan tentang penyiksaan. Akan tetapi buku ini telah dibantah oleh beberapa ilmuwan anthropologi sejak akhir 1950-an.
Walaupun berlaku serangan fitnah dan pemaksaan untuk menganut Kristian, ternyata masyarakat Afrika sangat menebal dengan kepercayaan asal mereka. Hasil daripada itu berlakulah sinkretisme antara agama Voodoo dengan kebudayaan barat dan agama Kristian, sehingga wujud satu kepercayaan baru yang berasaskan kepada Voodoo Haitian. Akhirnya pada April 2003 Voodoo telah diiktiraf sebagai sebuah agama di Haiti.
Louisiana
Seperti di Haiti, penganut Voodoo dari Afrika Barat telah dibawa ke Louisiana pada zaman penjajahan Barat. Masyarakat Afrika Barat dipaksa menjadi pekerja dan hamba abdi. Majoriti orang-orang tawanan Afrika dibawa sebagai hamba ke Louisiana adalah penduduk yang berasal Fon (Benin hari ini). Mereka membawa amalan, budaya, bahasa, dan kepercayaan agama yang berakar umbi kepada roh dan nenek moyang mereka. Antara kelebihan masyarakat mereka adalah arif tentang herba, racun, dan azimat bertujuan untuk melindungi diri mereka atau memudaratkan orang lain. Itu semua menjadi elemen utama kepada penganut agama Voodoo di Louisiana.[2]
Pada abad ke 19 terdapat seorang wanita yang dikenali sebagai Voodoo Queen di Louisiana. Beliau adalah Marie Laveau (1801-1881) seorang wanita yang berketurunan Afrika Barat. Beliau dikatakan orang pertama yang mengasaskan sihir Voodoo menggunakan boneka. Seperti mana sinonim pada hari ini apabila disebut Voodoo maka terbayang kepada sihir menyeksa patung atau boneka. Beliaulah dikatakan orang yang menggunakan kaedah ini dalam ritual sihir. Dalam sejarahnya beliau dikatakan menggunakan sihir itu hanya bertujuan untuk kebaikan sahaja.
Voodoo di Louisiana juga memiliki versi mereka tersendiri. Ini disebabkan keadaan di Louisiana yang banyak mempengaruhi agama Voodoo lalu terdapat sedikit perbezaan di antara Voodoo di Benin (Afrika) dan Voodoo di Haiti.
Kepercayaan
Dalam kepercayaan Voodoo mereka percaya kepada konsep dewa dewi yang dikenali sebagai Loa (bahasa Yoruba). Di samping itu mereka juga percaya kepada konsep satu kuasa yang Maha Tinggi yang menciptakan alam semesta yang dikenali sebagai Bondye. Mereka tidak pernah membuat ukiran patung untuk memperkenalkan Tuhan Bondye. Mereka percaya Tuhan Bondye tidak memiliki rupa dan tidak terlihat oleh mata manusia. Menurut Voodoo, Bondye adalah satu zat yang jauh, terlalu jauh di luar pemahaman manusia untuk berinteraksi secara langsung.
Oleh disebabkan itulah pengikut Voodoo lebih rapat dengan kepercayaan Loa atau dewa-dewa yang lebih rendah untuk mendapatkan bimbingan bagi kehidupan mereka. Mengikut dakwaan mereka, Loa juga merupakan roh nenek moyang, kekuatan alam, roh baik dan jahat.[3]
Penganut Voodoo percaya bahawa setiap manusia didampingi oleh malaikat yang terdiri daripada dua jenis. Jenis pertama dikenali sebagai Bon Gros Ange atau malaikat pelindung besar manakala jenis keduanya adalah Bon Ti Ange atau dikenali malaikat pelindung kecil. Mereka percaya bahawa malaikat pelindung kecil akan meninggalkan tubuh manusia selama mereka tidur atau berada dalam keadaan kerasukkan (tidak sedarkan diri).
Ini kerana mereka percaya apabila kedua situasi ini berlaku itu bermakna malaikat pelindung kecil sudah keluar dari tubuh mereka. Begitu juga ketika mereka melakukan ritual dan tidak sedarkan diri, mereka percaya pada ketika itu jasadnya telah dimasuki oleh Loa (dewa atau roh) dan malaikat pelindung kecil telah keluar dari badannya. Antara kepercayaan lain, mereka percaya ketika malaikat pelindung kecil itu keluar ia berisiko untuk ditangkap oleh kuasa sihir jahat ketika sedang bebas keluar dari tubuh. Selagi malaikat pelindung kecil tidak kembali ke tubuh asalnya selama itulah ia akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Manakala Bon Gros Ange atau malaikat pelindung besar pula lebih bersifat seperti roh dalam diri manusia. Setelah manusia mati ia akan naik ke langit mengikut kepercayaan Voodoo.
Ritual
Dalam agama Voodoo terdapat banyak ritual keagamaan. Ini ditambah lagi apabila wujudnya aliran-aliran baru dalam Voodoo yang turut mempelbagaikan ritual dalam agama ini. Sebagai contoh dalam ritual Voodoo di Haiti dan Louisiana mereka sering menggunakan lilin, makanan, duit, azimat, rantai ritual, upacara menari, gambar paderi Kristian Katolik, arak, lonceng, bendera, drum, batu suci, dan juga pisau. Ini antara bahan-bahan yang akan mereka gunakan dalam setiap ritual.
Penganut Voodoo percaya bahawa dengan melakukan ritual berdoa, memukul drum, menari, menyanyi, dan melakukan pengorbanan haiwan akan memberikan kebahagiaan kepada kehidupan dan akan terhindar dari kemudharatan. Musik dan tarian merupakan elemen penting dalam upacara Voodoo. Terutama Voodoo di Benin di Arfika Barat. Ini kerana menurut kepercayaan meraka tarian merupakan ekspresi dari spiritual, ia menggambarkan hubungan dengan ketuhanan dan dunia roh.
Dalam Voodoo mereka ada upacara meminta berkat. Upacara ini sering dilakukan di rumah ibadat mereka. Rumah ibadat Voodoo disebut sebagai kuil suci Hounfour. Biasanya dalam upacara dan ritual dalam kuil Hounfour mereka akan mengasingkan lelaki dan perempuan. Hounfour menjadi tempat suci yang digunakan untuk menghubungi roh Voodoo yang sudah meninggal atau biasa di sebut dengan nenek moyang. Jika dilihat di negara Haiti, agak mudah untuk mencari Hounfour terutama apabila dilihat terdapat sebuah altar tinggi yang dihiasi tengkorak dan tulang belulang manusia. Ini kerana mereka percaya roh si mati yang dikenali sebagai Loa akan datang ke Hounfour.
Menurut kepercayaan mereka, Loa adalah roh Voodoo dan mereka juga sering dikenali sebagai dewa-dewa. Menurut kepercayaan Voodoo, Loa merupakan roh perantaraan antara manusia dengan Tuhan Bondye. Selama ritual berlangsung, penganut Voodoo akan menari tanpa henti dan berpusing-pusing diiringi dengan paluan dari dram khas yang dikenali sebagai Tamboulas. Dalam keadaan tarian itu mereka mereka akan dirasuk oleh Loa dan ketika itu Bon Ti Ange atau malaikat pelindung kecil akan keluar dari badan mereka.
Dalam upacara ini, para roh (orang yang dirasuk) akan mengorbankan beberapa haiwan sebagai persembahannya kepada Tuhan Bondye. Mereka akan mengorbankan haiwan seperti ayam, kambing, biri-biri dan juga khinzir. Persembahan itulah yang akan menjadi santapan kepada Loa yang lapar.
Kesimpulan
Terdapat banyak salah faham yang berlaku ke atas agama Voodoo. Mereka sering kali digambarkan seakan sebuah agama Setanisme, zombie dan ilmu sihir boneka Voodoo. Berlaku juga konsep mayat hidup atau Zombie yang di atas nama agama Voodoo tetapi ia adalah ritual hanya dilakukan di pendalaman Haiti, namun ia bukanlah suatu anjuran agama Voodoo. Manifestasi tersebut telah direka oleh ahli sihir yang menggunakan kaedah sama dengan Voodoo iaitu memuja Loa.
Begitu juga dengan ritual sihir yang mencucuk jarum di boneka. Ini juga tidak ada anjuran dalam Voodoo. Amalan ini baru sahaja berlaku pada abad ke 19 M oleh Voodoo Queen di Louisiana. Amalan itu merupakan amalan yang direka oleh beliau dan bukanlah sebuah amalan yang dianjurkan oleh Voodoo secara umumnya. Akan tetapi ritual itu sering kali dikatakan adalah ritual Voodoo terutama sekali ia disebar melalui filem seram dan juga novel sehingga menimbulkan salah tanggapan terhadap agama ini.
Fitnah dan pemburukkan ke atas agama Voodoo berlaku sejak zaman penjajahan barat lagi. Malah momokan itu ditulis dan disebarkan oleh paderi-paderi mereka kepada masyarakat awam untuk menjauhkan mereka dengan fahaman ini. Oleh disebab itulah terdapat banyak perkara yang tidak benar yang dikaitkan kepada Voodoo. Pada tahun 1997 telah diadakan satu kongres untuk membincangkan mengenai agama Voodoo di Haiti. Kongres ini dilakukan sempena untuk menjawab mitos dan salah faham terhadap sejarah Voodoo yang sekian lama difitnah.
Nota kaki:
______________________________ _________
[1] World Encyclopic Knowledge- Republic Benin
[2] Lihat Hall, Gwendolyn Midlo (1995). Africans in Colonial Louisiana: The Development of Afro-Creole Culture in the Eighteenth Century. Louisiana State University Press, USA hlm 58
[3] Asal kepercayaan kepada Loa lebih berkonsepkan malaikat akan tetapi disebabkan berlaku percampuran dan tokok tambah dalam kepercayaan mereka maka kepercayaan Loa juga dikaitkan dengan roh.
R&D Team Multiracial Reverted Muslims
No comments:
Post a Comment