Wednesday, January 31, 2018

Kelebihan Menahan Marah







Antara sifat kepujian yang sangat disukai oleh Allah swt ialah menahan kemarahan atau disebut juga mengawal sifat amarah.

Firman Allah swt :

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Artinya : “Dan orang-orang yang menahan kemarahan dan orang-orang yang memaafkan dari kesalahan manusia. Dan sungguhnya Allah sangat menyukai orang-orang yang melakukan kebaikkan." (Al-Imran : 134)

Dalam ayat ini Allah memasukkan orang-orang yang menahan kemarahan itu dalam golongan orang-orang yang berbuat kebaikkan.

Maksud menahan marah bukan artinya tidak ada rasa marah di dalam hati tetapi artinya apabila rasa hendak marah maka hendaklah dia bertenang dan apabila sudah ada rasa marah hendaklah dia kawal supaya tidak terbit keluar dari hatinya.

Orang yang ada kekuatan menahan marah ialah orang yang sebenarnya kuat sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Artinya : Sungguhnya Rasulullah saw bersabda : Bukanlah dikatakan orang kuat itu ialah orang yang boleh menjatuhkan lawan tetapi orang yang kuat yang sebenarnya ialah orang yang boleh mengawal dirinya ketika sedang marah.” (Hadith Bukhari)

Mengikut rasa hati yang sedang marah akan menyebabkan beberapa kebinasaan :

1. Memaki hamun

2. Mengeluarkan kata-kata kesat
 
3. Biadab

4. Menunjukkan kebodohan diri 

5. Hilang maruah 

6. Sakit hati

7. Hilang kemanisan beribadah 

8. Membuka aib diri dan lawan 

9. Hilang pertimbangan

10. Hasad dengki

11. Membenci 

12. Memutuskan silaturahim

13. Menjatuhkan talak 

14. Pergaduhan 

15. Membunuh  

16. Merosak harta benda

17. Melakukan khianat dan di akhirat nanti

18. Mendapat dosa dan kemurkaan Allah.

Kerana itulah sangat dianjurkan sikap menahan marah dan amat dicela sikap suka marah.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya sungguhnya seorang lelaki meminta Nabi saw memberinya satu nasihat. Maka Nabi saw berkata :

 لاَ تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَاراً، قَالَ: لاَ تَغْضَبْ 

Artinya : “Jangan kamu marah. Lalu lelaki itu bertanya lagi beberapa kali dan Nabi saw tetap berkata : Jangan kamu marah.” (Hadith Bukhari)

Dan pada satu riwayat yang lain Rasulullah saw bersabda :

لاَ تَغْضَبْ وِلَكَ الْجَنَّة

Artinya : “Janganlah kamu marah dan bagimu nanti mendapat syurga.” (Hadith At-Thabarani)

Petua Mengawal Kemarahan

Apabila datang kemarahan di dalam hati maka lakukan perkara berikut :

1.  Membaca Ta’awwuz yaitu :

أعوذُ بالله مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجيمِ

Daripada Sulaiman bin Surd r.a. katanya adalah Rasulullah bersabda bagi dua orang lelaki yang sedang berkelahi :

إِني لأعلمُ كَلِمَةً لَوْ قالَهَا لذهبَ عنهُ ما يجدُ، لَوْ قالَ: أعوذُ بالله مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجيمِ، ذهب عَنْهُ ما يَجدُ

Artinya : “Sungguh aku tahu satu kalimah yang jikalau seorang berkata akan dia maka hilanglah daripadanya kemarahannya. Jika dia membaca ‘Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam’ maka akan hilanglah kemarahannya.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

2. Diam tidak berkata apa-apa atau berpaling dari orang yang kita marah itu.

Sabda Rasulullah saw :

وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ

Artinya : “Apabila kamu sedang marah maka berdiam dirilah olih mu.” (Hadith Bukhari).

3. Mengambil Wuduk kerana diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah saw bersabda :

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ،وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ،وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ،فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Artinya : “Sungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dicipta daripada api. Dan hanya yang memadamkan api itu ialah air. Maka apabila marah olih seorang kamu maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadith Abu Daud)

4. Mengubah kedudukan seseorang sebagaimana tersebut dalam sebuah hadith Nabi saw bersabda :

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ

Artinya : “Apabila marah olih salah seorang kamu ketika sedang berdiri maka hendaklah dia duduk akan hilanglah marahnya. Jika tidak hilang juga maka hendaklah dia berbaring.” (Hadith Abu Daud)

Marah Yang Diharuskan

Marah atau amarah yang dicela syarak ialah marah kerana nafsu atau marah yang tidak mendatangkan menafaat atau kebaikkan. Ada pun marah kerana Allah seperti marah yang disuruh syarak seperti marah dalam peperangan, marah kepada musuh Allah, marah kepada kezaliman, dosa dan maksiat dan seumpamanya maka tidaklah dicela bahkan ia adalah dipuji di sisi syarak.

Banyak diriwayatkan tentang kemarahan Rasulullah kerana Allah seperti marah baginda kepada pembunuhan yang berlaku, marah kepada orang yang berbuat dosa dan seumpamanya.

Dari A’isyah r.a. katanya :

وَمَا انْتَقَمَ رَسُوْلُ اللهِ  صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لِنَفْسِهِ إِلاَّ أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللهُ فَيَنْتَقِمُ ِللهِ بِهَا

Artinya : “Dan tiadalah marah olih Rasulullah saw bagi dirinya melainkan marah olih Nabi bahawa dilanggar sempadan Allah maka marah Nabi kerana Allah dengannya.” (Hadith Bukhari & Muslim)

Mudah-mudahan kita semua dapat bersikap dengan lembut dan menahan marah yang tidak perlu dan kita simpan marah kita untuk membela agama Allah dan membela sunnah Nabi saw.

No comments:

Post a Comment