Sunday, January 7, 2018

Firaun Pada Zaman Nabi Yusuf - Antara Al Quran dan Bible




Firaun adalah sebuah gelaran raja yang memerintah Mesir pada suatu ketika dahulu. Gelaran ini sangat popular malah ramai yang menganggap ia adalah seorang raja yang jahat dan zalim terhadap nabi Musa. Sedangkan di sana sebenarnya terdapat puluhan Firaun lain malah dalam sejarah terdapat salah seorang Firaun yang beriman kepada satu Tuhan seperti Firaun Akhenaten. 

Perlu difahami adalah gelaran Firaun itu merupakan perkataan yang melambangkan kepada kuasa pemerintahan seperti gelaran Raja, Sultan, Presiden dan seumpamanya dan ia bukanlah sebuah nama khusus seorang individu. 

Perkataan Firaun bermaksud “Great House” dari perkataan ‘per-o’. Perkataan Firaun juga terdapat di dalam kitab suci agama seperti Yahudi, Kristian dan Islam. 

Berdasarkan dari perkataan ini juga terdapat sesuatu perkara yang menarik untuk dibincangkan yang mana ia juga membuktikan bahawa al Quran ini adalah benar-benar mukjizat yang datang daripada Allah. Jika dirujuk di dalam al Quran, Allah menyebut mengenai Firaun hanya berkaitan dengan nabi Musa sahaja. 

Manakala jika dirujuk di dalam Bible, perkataan Firaun juga kerap kali digunakan kepada pemerintahan raja Mesir samada pada zaman nabi Yusuf, dan nabi Ibrahim yang merupakan zaman yang jauh sebelum dari zaman nabi Musa. Bible menyebut, (King James Version):

“And Pharaoh called Abram, and said…” (Genesis 12: 18)

“Then Pharaoh sent and called Joseph…” (Genesis 41: 14)   

Pada zaman nabi Musa sudah tentu Bible juga memakai perkataan Firaun kepada raja Mesir. Akan tetapi, jika dirujuk di dalam al Quran, ketika Allah menceritakan tentang raja Mesir pada zaman nabi Yusuf, Allah tidak memakai kalimat Firaun seperti Bible, tetapi ia diguna kalimah “Malik” yakni raja Mesir:      

“Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir: “Bawalah dia kepadaku! "Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja)…” (Surah Yusuf: 50)

Al Quran tidak memakai perkataan Firaun untuk merujuk kepada raja pada zaman nabi Yusuf sepertimana kisah nabi Musa. Jika kisah nabi Musa, Allah sinonimkan pula dengan perkataan Firaun merujuk raja Mesir. Mengapa demikian?

Fakta Sejarah Penggunaan Gelaran Firaun

Menurut kajian yang dilakukan oleh Egyptologist terhadap sejarah Mesir Kuno. Mereka mendapati gelaran Firaun kepada raja-raja Mesir mula digunakan pada zaman Kerajaan Baru (New Kingdom) pada tahun 1570-1069 SM.[1] 

Ia adalah era paling popular dalam sejarah Mesir yang memberi pengaruh kepada kajian zaman sekarang kerana ramai Firaun yang hebat dan terkenal pada Dinasti ke-18 seperti Hatshepsut, Thuthmoses III, Amenhotep III, Akhenaten dan isterinya, Nefertiti, dan Tutankhamun, 

Manakala Dinasti ke-19 terkenal Firaun seperti Seti I, Ramesses II (The Great), dan Merenptah. 

Dan Dinasti ke-20 pula terkenal Firaun Ramesses III. Ketiga-tiga dinasti ini adalah termasuk di dalam kerajaan baru (New Kingdom)  ini, para penguasa Mesir pada zaman ini dikenali sebagai gelaran "Firaun", yang bermaksud "Rumah Besar" atau boleh juga bermaksud “Kediaman Diraja”. 

Sebelum dari Kerajaan Baru (New Kingdom), Kerajaan Mesir tidak menggelarkan raja mereka dengan nama Firaun. Oleh itu, gelaran Firaun mula digunakan sekitar tahun 1570 SM hingga 1069 SM (New Kingdom). 

Fakta ini menunjukkan bahawa perkataan Firaun bukanlah gelaran yang sinonim digunakan sepanjang zaman pemerintahan Mesir. Oleh itu terserlah hikmah mengapa al Quran tidak memakai gelaran Firaun kepada raja pada zaman nabi Yusuf, ini kerana zaman nabi Yusuf lebih awal dari zaman nabi Musa.

Mengikut kajian Biblical, mereka menganggarkan nabi Yusuf hidup di sekitar 1898 SM- 1806 SM.[2] Oleh itu pada zaman ini gelaran Firaun belum lagi digunakan oleh masyarakat Mesir. Raja mereka hanya dianggap sebagai Raja tanpa ada gelaran spesifik terhadapnya. 

Berkenaan dengan tahun kehidupan Musa pula banyak diperselisihkan. Mengikut catatan Rabbi Yahudi dalam buku Seder Olam Rabbah, mereka mengatakan Nabi Musa hidup sekitar 1391–1271 SM, Manakala menurut penterjemah Bible, Jerome menganggarkan ia sekitar 1592 SM manakala James Ussher pula mengatakan sekitar 1571 SM. Walaubagaimanapun, mereka sepakat bahawa pada zaman Musa, raja Mesir sudah menggunakan gelaran Firaun. Ini kerana nabi Musa lahir di dalam zaman Kerajaan Baru (New Kingdom). 

Sekali lagi hal ini menjawab dakwaan yang mengatakan al Quran menciplak Bible. Jika al Quran ini diciplak dari Bible, sudah tentu kesalahan sejarah ini juga akan terpalit sama terkandung di dalam al Quran. Ini menunjukkan bahawa al Quran terjaga keasliannya yang diturunkan oleh Allah.       

Kesimpulan

Di dalam al Quran, Allah menggunakan perkataan “Malik” merujuk kepada raja Mesir pada zaman Yusuf.  Manakala pada zaman Musa digunakan perkataan “Firaun” sesuai dengan zaman New Kingdom. Hal ini terbukti dengan kajian sejarah terhadap gelaran pemerintahan mesir kuno. 

Jika ingin difikirkan logik, jika al Quran ini bukan dari Allah, bagaimana fakta ini boleh tepat dan al Quran tidak silap menukilkanya. Jika mahu dibandingkan dengan Bible, raja-raja Mesir sebelum nabi Musa juga konsisten digelarkan sebagai Firaun sedangkan hal itu bercanggah dengan sejarah. 

Oleh itu hal ini juga membuktikan bahawa al Quran ini benar-benar datang dari Allah dan bukan dikarang oleh Nabi Muhammad s.a.w. atau diciplak dari Bible. Semoga kita tergolong dari kalangan orang-orang yang sentiasa berfikir dan mendapat hidayah dari Allah.   

Nota akhir:
_____________________________
[2] Bible Hub, Bible Timeline,- http://biblehub.com/timeline/

R&D Team Multiracial Reverted Muslims

No comments:

Post a Comment