Apabila kita membaca al Quran, kerap kali Allah menyebut perihal rasul-rasul terdahulu. Malah agak menakjubkan apabila diperhatikan Allah menyebut nama-nama tokoh tersebut sebenarnya ia bukanlah tokoh yang sinonim bagi al Quran sahaja. Akan tetapi nabi dan rasul yang disebut di dalam al Quran itu juga telah diimani oleh orang-orang sebelum nabi Muhammad. Ini kerana, khabar tentang mereka Allah telah turunkan kepada manusia terdahulu dan setelah itu pengikut mereka telah membukukan kisah nabi dan rasul mereka seperti terhimpun di dalam Bible, Tanakh dan Gospel yang lain.
Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan, peratusan manusia sekarang yang mempercayai nabi dan rasul adalah lebih ramai berbanding dengan golongan yang tidak mempercayainya. Sepertimana di dalam al Quran, Allah menyenaraikan sebahagian sahaja iaitu 25 orang nabi dan rasul, yang mana sebahagian besar rasul-rasul ini diceritakan di dalam Perjanjian Lama dan Baru (Bible).
Di dalam agama Kristian dan Yahudi yang merupakan antara penganut agama yang teramai di dunia, yang mana kita sudah sedia maklum bahawa mereka juga mengimani rasul-rasul terdahulu seperti disebutkan di dalam al Quran. Di sini mari kita lihat kepada statistik dalam The Global Religious Landscape: The Pew Forum on Religion & Public Life dengan mengambil kira agama-agama lain yang turut memiliki doktrin kepercayaan kepada nabi dan rasul dan dibandingkan dengan jumlah keseluruhan. Senarai ini diambil kira dari jumlah penganut yang terbesar di dunia:
1) Kristian : 2.2 billion penganut : 33.51%
2) Islam : 1.6 billion penganut : 22.32%
3) Yahudi : 14 juta penganut : 0.20%
4) Bahai : 7 juta penganut: 0.10%
5) Cao Dai : 4 juta penganut : 0.06%
6) Unitarian Univeraslits: 0.8 juta : 0.01%
7) Rastafari 0.6 juta : 0.01 %
Kesemua agama di atas memiliki konsep kepercayaan kepada nabi dan rasul yang disebut di dalam al Quran. Maka dengan ini jumlah peratusan kesemua mereka adalah 56.21 % dari jumlah keseluruhan peratusan manusia di seluruh dunia. Ini menunjukkan bahawa lebih dari separuh jumlah manusia di dunia ini percaya kepada sebahagian nabi dan rasul yang disebut oleh Allah di dalam al Quran.
Sebagai contoh, agama Bahai yang bersifat mencedok dari setiap ajaran terutama di dalam al Quran dan Bible, mereka juga beriman kepada nabi dan rasul. Unitarian Universalist dan Jehovah Witnesess yang merupakan agama baru hasil dari pecahan agama Kristian, mereka juga mempercayai kepada rasul-rasul terdahulu dan mereka juga menolak Isa sebagai Tuhan. Begitu juga agama Rastafari di Jamaica, mereka juga beriman kepada rasul di dalam Bible yang dikenali Bible versi orang kulit hitam Holy Piby, dan ajaran agama mereka sudah menyeleweng dengan menyembahan Tuhan baru dengan mendakwa Raja Eithopia bernama Haile Selassie I.
Walaupun ada juga di antara agama ini, mereka hanya beriman kepada dua atau tiga orang rasul sahaja seperti agama Cao Dai dari Vietnam yang merupakan sebuah agama baru yang bersifat sinkretisme (bercampur), mereka beriman kepada Lao Tze, Konfusianisme, Jesus, Nabi Muhammad dan juga beberapa tokoh lain. Pun begitu, mereka tetap beriman dan mengiktirafkan bahawa Jesus dan Muhammad itu adalah rasul.
Dalam statistik ini tidak termasuk beberapa agama terpencil yang juga beriman dengan sebahagian rasul-rasul seperti agama Mandeaenisme (Sabean), Yazdanisme, Druze, Manichaeisme dan Samaritan. Mereka juga memiliki kepercayaan kepada sebahagian rasul-rasul yang disebutkan di dalam al Quran.
Kesimpulan
Di dalam al Quran, Allah menceritakan bahawa umat terdahulu telah diutuskan kepada mereka nabi dan rasul. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri…” (Surah At Taubah: 128)
“Tiap-tiap umat mempunyai rasul; maka apabila telah datang rasul mereka, diberikanlah keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikit pun) tidak dianiaya.” (Surah Yunus: 47)
“Sesungguhnya Kami (Allah) mengutuskan engkau dengan kebenaran, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.” (Surah Fatir: 24)
Ayat ini juga boleh menjadi sebagai hikmah yang menjawab persoalan mengapa majoriti manusia di dunia ini beriman kepada rasul.
Antara perkara yang perlu ditekankan di sini adalah keimanan kepada rasul itu sentiasa konsisten diimani dari zaman berzaman. Sehinggalah pada hari ini, walaupun terdapat pelbagai agama yang berlainan akan tetapi majoriti manusia tetap tidak boleh menafikan kebesaran Allah yang mengutus rasul-rasulNya kepada manusia untuk membimbing manusia. Jika manusia ini berfikir dan mengkaji tentang rasul-rasul ini nescaya mereka akan menemui misi setiap rasul ini adalah membawa tauhid. Dan Islam telah membuktikan kebenaran itu di dalam al Quran.
*Rajah hanya fokus nabi-nabi yang disebut di dalam al Quran sahaja
Rujukan:
[1] -, (2004). Encylopedia of New Religions, A Lion Book, Oxford, England.
[4] Sami Abdullah Al Maghloth, (2011). Atlas Agama, PT Almahira, Jakarta.
[5] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017) Yahudi, Kristian, Hindu, Dan Buddha Berasal Daripada Islam?, PTS, Selangor.
R&D Team Multiracial Reverted Muslims
No comments:
Post a Comment