Agama Caodai adalah agama yang wujud di Vietnam sekitar tahun 1926. Ia diasaskan oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Ngo Van Chieu. Caodai adalah agama yang ketiga terbesar di Vietnam selepas daripada Buddha dan Kristian. ‘Cao’ bermaksud ‘tertinggi’ manakala ‘Dai’ bermaksud ‘istana’. Caodai merujuk kepada istana yang besar di mana tempat tuhan berada. Ia juga boleh dikenali sebagai kerajaan syurga. Perkataan ini juga digunakan sebagai nama simbolik tuhan mereka.
Agama Caodai adalah sebuah agama sinkretis yang menggabungkan unsur-unsur dari doktrin agama utama di dunia antaranya adalah agama Buddha, Konfusianisme, Kristian, Hindu, Islam, Yahudi, Taoisme, dan juga Geniisme (kepercayaan asal Vietnam). Pusat utama agama mereka adalah di Tay Ninh, Vietnam. Agama ini juga memiliki pendirian seperti Baha’i yang ingin menyatukan agama-agama lain di bawah agama mereka.
Caodai mengiktiraf semua tokoh-tokoh agama seperti Siddharta Gautama Buddha, Jesus, Kong Fu Tze, Lao Tze, nabi Muhammad dan tokoh lain kerana bagi mereka kesemuanya membawa seruan yang sama. Patung tokoh-tokoh tersebut diukir dan diletakkan di dalam rumah ibadat mereka.
Sejarah
Mengikut kepercayaan Caodai, mereka membahagikan sejarah agama mereka kepada tiga peringkat penurunan wahyu. Peringkat pertama sekitar tahun 2500 SM, ketika itu tuhan Cao Dai menurunkan wahyu kepada pemimpin agama untuk mengasaskan agama Yahudi di Timur Tengah, Hindu di India dan ahli falsafah di China. Beberapa ribu tahun kemudian, peringkat kedua mereka mendakwa tuhan telah menurunkan kepada Siddharta Buddha untuk mengasaskan agama Buddha, Lao Tze untuk mengasas Taoisme, Kong Fu Tze pula untuk mengasas Konfusianisme, dan Jesus untuk mengasaskan agama Kristian.[1]
Setelah itu pada peringkat ketiga pada tahun 1919, mereka percaya tuhan telah menurunkan wahyu kepada Ngo Van Chieu, di mana beliau telah disampaikan agama Caodai untuk membimbing manusia. Beliau adalah pengasas kepada Caodia, beliau lahir pada 1878 dan meninggal pada 1932.
Ngo Van Chieu, asalnya beliau merupakan seorang penjawat awam kerajaan Cochinchina. Dan beliau mula menerima panggilan wahyu yang disebut Duc Cao Dai yang mana beliau percaya itu sebagai tuhan Cao Dai. Beliau mendakwa dilantik menjadi utusan bagi umat zaman ini. Setelah tiga tahun belajar dan beribadah kepada Tuhan, beliau berkongsi penemuan rohaninya itu dengan masyarakat di Saigon. Pada akhir tahun 1926, beliau mendapat arahan daripada tuhan Cao Dai untuk mengasaskan agama baru. Beliau mendakwa tuhan mengarahnya untuk melantik Le Van Trung (1876-1934) untuk menjadi seorang Giao Tong (ketua agama).[2] Agama Caodai secara rasmi ditubuhkan pada 26 September tahun 1926 bersama dengan sekumpulan 247 pengikutnya.
Pada tahun 1975, Komunis telah mengambil alih Vietnam, segala aktiviti penganut Caodai telah dihadkan oleh kerajaan Komunis. Akan tetapi setelah berlaku perjuangan dan usaha mereka untuk terus mengamalkan agama ini maka pada tahun 1997 agama mereka menerima kelulusan rasmi daripada kerajaan untuk terus diamalkan.
Kepercayaan
Konsep awal penciptaan Caodai sama seperti Taoisme. Mereka percaya sebelum wujudnya alam ini terdapat satu kuasa yang dikenali sebagai Monad, Tao dan dikenali juga sebagai tuhan. Ia tidak terbentuk, tidak berwarna, tidak bernama, tidak berubah-ubah dan memiliki kekuatan dan memiliki kekekalan. Monad atau tuhan membahagikan roh-Nya ke beberapa bahagian, dan menciptakan alam semesta, dunia, haiwan dan segala-galanya. Hasilnya kesemua makluk di alam ini mengandungi sebahagian daripada roh tuhan. Mereka juga menerima doktrin dalam Taoisme iaitu Am (Yin) dan Duong (Yang) dualiti yang membentuk keseimbangan yang harmoni di alam semesta.[3]
Oleh disebabkan itu mereka juga wujud kepercayaan kepada dua tuhan utama, menurut Oliver L. Victor dalam buku beliau Caodai Spiritism menjelaskan bahawa Cao Dai merupakan Tuhan Tertinggi. Manakala Dieu Tri Kim Mau atau juga dikenali Duc Phat Mau adalah Dewi Ibu. Mereka masing-masing mewakili keseimbangan Yin dan Yang. Cao Dai dilihat sebagai pusat alam semesta, Bapa kepada semua makhluk. Manakala Duc Phat Mau disanjungi sebagai Ibu alam semesta, bertanggungjawab untuk memberi bentuk yang boleh dilihat, kesedaran dan emosi untuk semua kehidupan.[4]
Dalam agama Caodai juga mengajar mengenai kewujudan syurga dan neraka. Bagi mereka, syurga dan neraka adalah destinasi yang terakhir bagi semua makhluk. Mereka juga percaya kepada wujudnya Samsara seperti kepercayaan dalam agama Buddha. Samsara bermaksud kelahiran kembali (reinkarnasi) manusia.
Mereka juga percaya kepada adanya hukum Karma. Kepercayaan bahawa kehidupan masa depan seseorang amat dipengaruhi oleh perbuatan yang diamalkan dalam kehidupan hari ini. Konsep ini juga terdapat dalam agama Hindu dan Buddha. Mereka dilarang membunuh makhluk hidup, dilarang berzina, dan juga dilarang meminum arak.
Agama Caodai adalah sebuah ajaran yang merai kepercayaan universal, sekira dilihat kepada sistem kepercayaan dan doktrin yang diajarkan di dalam agama ini, terdapat banyak doktrin agama lain diambil khususnya doktrin dalam agama Tao dan Buddha. Boleh dilihat kepada cara mereka sembahyang, berdoa, tidak melakukan kekerasan (ahimsa), vegetarian, dan mereka juga percaya di akhir nanti sekiranya seseorang melakukan karma baik dia akan bergabung dengan tuhan di syurga dan terlepas reinkarnasi (kelahiran semula). Dalam agama Hindu, konsep ini dikenali sebagai Mokhsa.
Caodia juga percaya bahawa tuhan selalu melihat manusia dan makhluknya melalui mata kirinya. Sebab itulah di setiap rumah ibadat Caodai didapati banyak gambar piramid yang memiliki satu mata. Ia seakan simbol Illumanati. Agama Caodai juga memiliki amalan spiritual hasil pengaruh Taoisme yang mana mereka dapat berkomunikasi dengan roh yang mati dalam Séances (alam ghaib). Perbuatan itu telah diharamkan oleh kerajaan Vietnam dan amalan itu sudah tidak dilakukan lagi pada hari ini.
Ritual
Mereka bersembahyang sebanyak empat kali sehari, iaitu pada pukul enam pagi, dua belas tengah hari, enam petang, dan pukul dua belas malam. Di setiap sembahyang mereka, mereka akan memakai pakaian berwarna putih dan dalam upacara itu dimainkan alat muzik untuk bersembahyang. Kebanyakkan yang datang bersembahyang bukan sahaja dari kalangan penganut Caodai sahaja, malah terdapat penganut Kristian dan juga Buddha yang turut serta bersembahyang.
Jika diperhatikan di dalam rumah ibadat mereka terdapat pengkelasan warna kepada orang yang yang bersembahyang. Pakaian putih bagi mereka yang benar-benar menganut Caodai manakala penganut agama lain perlu memakai jubah warna lain. Contohnya berjubah kuning adalah bagi penganut Buddha, berjubah biru adalah penganut Taoisme, sementara yang berjubah merah adalah penganut Konfusianisme. Bagi mereka perbezaan dalam keimanan itu tidak boleh dijadikan sumber perselisihan kerana mereka juga percaya kepada semua tokoh-tokoh agama.
Kitab Suci
Kitab suci agama Caodai menggunakan bahasa Vietnam. Kitab itu disebut sebagai Thanh Ngon Hiep Tuyen, yang merupakan kumpulan khutbah yang diterima oleh para pemimpin Caodai. Kitab ini menggariskan peraturan dan batas bagi aspek agama, pendidikan, perkahwinan, dan lain-lain. Terdapat sepuluh bahagian di dalam Kitab Suci dengan kandungan berikut:
1) Hierarki pembesar-pembesar agama
2) Permulaan dan pangkat orang dipercayai
3) Penubuhan organisasi
4) Lima larangan
5) Empat perintah
6) Pendidikan
7) Larangan
8) Undang-undang dan peraturan-peraturan
9) Peraturan dunia
10) Tempat meditasi
Kesimpulan
Ngo Van Chieu pada awal umurnya pernah bekerja dengan kerajaan Perancis dan beliau juga telah mengembara ke banyak tempat. Beliau begitu berminat dengan agama dan falsafah yang berkembang di China. Kecenderungannya terhadap agama-agama di China begitu jelas apabila ia diterima pakai kepada doktrin agama beliau sendiri. Agama ini juga merupakan sebuah agama sinkretisme yang mana terdapat percampuran budaya, agama dan kepercayaan ke dalam satu bekas.
Bukan Ngo Van Chieu seorang sahaja yang memiliki pemikiran yang mengakui semua agama dan menyeru kepada perdamaian. Sebelum itu sudah ada Mirza Hussein Ali yang mengasaskan agama Baha’i di Iran. Ia bentuk pemikiran yang rigid dan hanya mencampuradukkan doktrin-doktrin agama lain lalu mengatakan ia adalah agama baru yang diperkenalkan oleh beliau.
Satu perkara yan menarik adalah simbol agama Caodai begitu menarik minat golongan yang gemar kepada teori konspirasi. Sudah terdapat banyak artikel dan penulisan yang mengatakan agama Caodai adalah sebuah agama anti-Christ dan merupakan agama Dajjal. Kesemua hujah yang dikemukakan itu adalah tidak kukuh dan berdiri di atas falasi semata-mata. Kita hendaklah berhati-hati dalam mengkaji.
Berbalik kepada simbol mata dan piramid di dalam agama Caodai. Menurut mereka mata berfungsi untuk selalu memperingatkan kepada penganut Caodai bahawa Tuhan sentiasa melihat segala-galanya. Malah satu mata kiri Tuhan dalam Caodai terdapat begitu luas tafsirannya. Apa yang perlu diketahui bukanlah disebabkan dengan adanya simbol yang berbentuk demikian maka agama Caodai tidak diadili dengan rasional dan menuduh ia sebagai agama Jahat. Sebagai seorang muslim, kita inginkan non muslim memahami agama kita dan kita juga sering membersihkan gelaran ‘pengganas’ yang sering dilabel kepada muslim. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kita sendiri perlu memahami agama orang lain dengan adil sebelum mahu orang memahami agama kita dengan baik.
Rujukan:
[1] Lihat Oliver, Victor L. (1976). Caodai Spiritism: A Study of Religion in Vietnamese Society, Brill Academic Pub, Netherlands, hlm 9
[2] Lihat – Jurnal David Burnett (2004). Encylopedia of New Religions, A Lion Book, England, hlm 236
[3] Lihat Oliver, Victor L. (1976). Caodai Spiritism: A Study of Religion in Vietnamese Society, Brill Academic Pub, Netherlands, hlm 8
[4] Lihat ibid, hlm 8-9
[R&D Team Multiracial Reverted Muslims]
No comments:
Post a Comment