Tuesday, January 29, 2013

Detik Terakhir Seorang Mujahidah




           AL-FATIHAH buat SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.

(MARI singkap detik-detik terakhir seorang pelajar Universiti Teknologi Melaka (UTeM) yang terlibat dengan kemalangan awal Januari ini. Kisah ini saya kongsi dari Facebook.)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

6 Januari 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Kami segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Januari 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi.

8 Januari 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma untuk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 petang pembedahan selesai.

9 Januari 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tetapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab kerana sudah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah dibetulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kami menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar, mohon doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Januari 2013(Khamis)
Selepas Subuh, kami lawati dia serta membacakan ayat-ayat suci dan syifa’. Dia tenang saja.Kami berbual. Memang dia tidak ketawa tetapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang kawan-kawan yang datang, berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tidak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tetapi dia dapat mendengar bualan kami pun sudah memadai. Langsung tidak tunjukkan airmata kepadanya. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali-kali dan bercakap dengan nada yang ceria. Tidak boleh pandang dia dengan mata sayu atau bercakap dengan suara sebak...tidak boleh!!! Kalau kami positif,  ceria, aura kami berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar hanya senyum. Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Januari 2013 (Jumaat)
Doktor sudah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah-buahan. Minum air zamzam pakai straw. Dia memang haus betul. Berkat air terbaik di atas muka bumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat-sahabat melihat dia telah makan. Berebut-rebut mereka hendak tolong melayan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita-cerita lucu mereka.

Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siang.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di masjid melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .

Lawatan Naib Canselor  memberikan suntikan semangat luar biasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.

Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Januari 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata perangsang tidak henti-henti masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan boleh diangkat tinggi. Selepas itu, kami teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan. Kerana itu motivasi dari sahabat-sahabat  amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu ialah untuk mengukuhkan imannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya kepada Allah.

Sebelah petangnya, Hajar dikeluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Januari 2013(Ahad)
Berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar  kesan kemalangan itu kepada Hajar. Sebagai hambanya yang patuh, dia redha dengan apa saja Qada’ dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia, ia hanya ibarat setitik air di lautan luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?

Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan, iaitu untuk mengakui DIA- itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang Maha Berkuasa, yang memiliki segalanya. Sedangkan kita ini si fakir yang tidak punya apa-apa dan sentiasa meminta-minta dariNya. Kalau lidah kita mengakui Allah itu Maha Berkuasa, maka ikrarkan pula dihati - DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Tiada rahsia lagi. Dia tahu dirinya lumpuh sementara, tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya, “Kalau mak dan ayah boleh redha, Akak juga akan redha.”

Banyak lagi tanggungjawab yang hendak  digalas, ramai lagi di luar sana yang memerlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkannya, dia akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci kepadanya, dia kata, “ Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?”

Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tidak pasti. “Orang azan, agaknya,” tingkah saya.

Dia jawab “Mana pulak azan ada SUBHANALLAH?  Orang tu sebut SUBHANALLAH berkali-kali. Akak dengar. Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?”akuinya penuh jujur.

Saya rasa berdebar, “Selalu ke Akak dengar?”

“Selalu jugak, entah siapalah yang menjerit tu agaknya,” jawabnya naif.

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam, batuk-batuk sedikit. Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami meminta bantuan kecemasan yang diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiub dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tetapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan.

Kami suami isteri berusaha menolong dengan membacakan ayat-ayat suci dan zikir. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak tercungap- cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat tetapi bersyukur terselamat dari situasi bahaya. Stabil.

Bila sudah tenang, Hajar bercerita semula. Semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba-tiba dia sendawa berkali-kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dengan selesa. Kemudian dia terasa mukanya dipercikkan air sebanyak 3 kali. Air yang sangat sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tiba-tiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun. SUBHANALLAH.

Hari sudah jauh malam. Suami saya henda pulang menjaga anak-anak yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar. Dengan cepat dia menjawab “Ayah percaya Allah tak?”

Jawab suami saya, ”Percaya”.

Tambah Hajar lagi dengan senyum manis, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah. Allah ada jaga Akak kat sini.”

Kami bertanya "Kenapa senyum?”

Dia jawab “Ada bau wangi sangat”.

"Selalu Akak terbau macam tu?”

Jawabnya, “Kadang-kadang aje, masa nurse datang, waktu sahabat ziarah”.

Hati kami mula terasa sesuatu. Suami saya tidak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Di pihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yang sejuk dirasakan nyaman. Langsung tidak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Januari 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tidak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya berselera, makan puding, bubur, sup ayam dan buah-buahan. Rakan-rakan pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang,  tiba-tiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tetapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia berkata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat l
leher”. Lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zamzam.

“Akak mesti ingat, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan.” Dia mengangguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zamzam untuk diminum.

Dia bertanya, “Air apa tadi?”.

“Ehh..air zamzam lah, mana ada bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya-tanya.

Dia kata “Allah tolong Akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zamzam, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit di lidah Akak. Esok mak cubalah. Macam mana ni….nak percaya tak?”

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zamzam diminum, rasa pahit itu hilang tidak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.

Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia hendak solat dalam keadaan seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar Allah tunaikan. Ada saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitif. Tangan Akak kecil, sakit tau ditampar-tampar tangan Akak, dicubit-cubit Dah tak jumpa urat darah tu, tak payahlah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macam mana? Mana boleh pilih-pilih doktor. Tetapi Allah Maha Mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Januari 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak-gerak. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia muntah berlambak-lambat air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zamzam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tetapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…

”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang tidak ada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah”

Jawabnya, “Allah ada, Allah boleh bantu Akak.”  Saya terkedu.

Saya pun tinggalkan dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yang terkena muntah digantikan.

Kemudian katanya, “Betul Akak cakap, Allah ada bantu Akak. Mak pergi je, Akak muntah, tapi nurse yang sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak Akak muntah dan dia datang bantu”.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah Hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut Akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman Akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, Akak mohonlah rezeki dari Allah”.

Ayahnya pula berkata, “Kalau Akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan komputer lebih ringan untuk Akak, sesuai dengan kemampuan Akak menggunakannya. Tapi kalau usia Akak tak panjang, Akak jangan sedih sebab Akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila Dajjal keluar nanti, orang yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah Dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah, ya”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tetapi masih tidak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata,” Kalau mak dan ayah dah redha, tak ada sebab untuk Akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau macam mana pun rupa Akak waktu tu, Akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis, ya. Biar tak lupa. Nanti Akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur Akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak Akak”.

Untuk adik-adiknya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan-rakan, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik-adik dipujuk agar pakai jubah dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada di hospital itu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi, “ Susah ke rasa nak muntah tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang, je, Allah tolong.” “Tolong macam mana?” Tambahnya, “Dah badan Akak tak boleh keluarkan air-air yang  kotor itu ikut cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah, je”.

MASYA ALLAH!!! Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNya. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong. Keputusan X-ray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Januari 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tidak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan. Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doctor, semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zamzam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jangan bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha, ya. Mak bagi air zamzam ni hanya untuk basah tekak. Memang tak sempat sampai ke perut pun. Ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga Akak” .

Dalam keletihan beliau menjawab, “Beratnya dugaan Allah ni, mak.”

“Memanglah, bukankah syurga Allah tu mahal harganya. Sabar, ya. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat.” Dia angguk.

Doktor pasang drip. Dalam hati, saya tidak putus-putus membacakan ayat-ayat suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang Asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat di bahagian dada. Dan terasa semua bahagian badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia sudah mula nazak. Waktu itu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia hendak pandang keluar tingkap. Saya tanya, “Nak tengok apa? Katanya, “Nak tengok Allah.” Saya terkedu lagi.

Katanya, "Allah marah sebab tak dakwah sungguh-sungguh. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.”

Saya jawab, “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah.” Hajar mengangguk. Tidak lama selepas tu, dia kata matanya mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.

Dalam termengah-mengah dia berkata, “Mak, izinkan Akak pergi dulu, tapi Akak tak nampak jalan.”

"Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya bila dia kata dia tidak  boleh Nampak dan bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang hendak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen dan menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi Hajar sudah nazak. Persiapan dibuat untuk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib kami berkejar- kejaran tolak katil Hajar ke ICU Orkid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata-kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun-bangun lagi.

18 Januari 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak di luar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat Jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat ……)

Saya nampak prosedur  itu dari luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk. CPR dilakukan di dada, betul-betul di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang itu. Bukankah baru saja lepas dibedah.

Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja 99%. Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin itu terasa semacam gimik.

19 Januari 2013 (Sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tebukan kecil di perut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan untuk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama hendak menyelamatkan nyawa Hajar.

Kami buntu. Suami meminta tempoh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tebukan dilakukan di perut. Hanya pada Allah kami memohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi sudah rosak dan perlukan dialisis darah. Hajar tidak akan boleh bertahan kalau darahnya tidak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ yang lain. Terdiam.

Bermimpikah kami? Lepas satu, satu organ badannya merosak. Namun begitu, dialisis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar tidak stabil. Jantungnya pernah terhenti, dan boleh terhenti lagi semasa dialisis. Darahnya terlalu cair kerana lama tidak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah rendah. Jadi apa yang patut kami buat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tidak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar-benar bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan. Kami juga tidak membenarkan prosedur CPR dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati-hati, “Kalau itu keputusannya, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “Ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh, saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan.” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yang kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri”.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kami. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tidak putus-putus diziarahi oleh sahabat-sahabat yang mengenali dan bersimpati. Masing-masing ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir.

20 Januari 2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dalam doa masing-masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah.

Pergilah sayang, Tuhan yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih Ya Allajh kerana telah meminjamkan kami anak sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan dia kepadaMu, ya Allah. Dakapilah dia dengan limpahan rahmat kasih sayangMu yang Maha Agung. Aamiin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarga dengan lancar. Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai universiti dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, sembahyangkan dan mengkebumikannya. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang tetapi tidak pula hujan, turut merentap tangkai hati insan-insan jujur yang  menyayanginya.

AL-FATIHAH


No comments:

Post a Comment