Monday, January 14, 2013

Pengakuan Bekas Paderi Melayu




Salleh Bin Omar, yang nama Kristiannya, Joseph dilahirkan di Kedah pada 5hb. Mei 1940. Bapanya seorang India Muslim dan ibu pula orang Banting, Selangor. Bapanya telah pulang ke India manakala ibunya tinggal di Pondok Kg. Pisang, Kedah.

Pada 1970 dia pergi ke Johor Bahru untuk mencari kerja bersama kawan-kawan tetapi gagal mendapat sebarang pekerjaan. Kerana tiada tempat tinggal, mereka terpaksa tidur di stesen keretapi.

Ketika itu mereka bertemu dengan seorang paderi bernama Father Chong yang memberi layanan istimewa, tempat tinggal, makan dan minum selama 2 tahun. Mereka diajar sembahyang dalam bahasa Inggeris.

Suatu hari pada tahun 1974, mereka bertemu pula dengan seorang paderi besar dari Kuala Lumpur bernama Kamaruddin Hj Ahmad. Beliau telah membawa mereka tinggal di seksyen 14, Jalan Gasing, Petaling Jaya. Mereka belajar selok belok agama Kristian di Gereja Jalan Gasing yang dibina khas untuk orang Melayu beragama Islam.

Setelah setahun berada disana, Salleh dihantar ke Indonesia selama 6 bulan untuk belajar cara-cara sembahyang orang mati, talkinkan orang dan macam-macam lagi dalam Bahasa Malaysia. Salleh belajar bersama Ibu Tien Suharto yang menjadi Pemimpin Agung Wanita Kristian Seluruh Asia dan Bendahari Agung Wanita Kristian Seluruh Indonesia.

Setelah pulang ke Malaysia Salleh dilantik sebagai mubaligh untuk mengembangkan agama Kristian dari Perlis hingga ke Johor Bahru.

Oleh kerana aktif di gereja, Salleh dihantar pula ke Filipina selama sebulan untuk belajar selok-belok Kristian dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia kerana terdapat orang Malaysia, Singapura dan orang Filipina.

Selepas kembali ke Malaysia, Salleh dan enam orang lain dijadikan mubaligh dengan dibayar RM60.00 sehari dan kenderaan percuma. Selepas itu Salleh dihantar pula ke Singapura selama sebulan bersama En Aziz, yang berasal dari Teluk Intan. Beliau adalah Setiausaha Agung Persatuan Melayu Kristian Singapura. Beliau yang merupakan bekas anggota Tentera Udara DiRaja kemudiannya meletak jawatan Setiausaha Agung Kristian Singapura.

Salleh dihantar pula ke Baptist Church di Ipoh dan dibekalkan duit RM1,400 bersama 2 orang kawan serta sebuah kereta untuk mengkristiankan pelajar dan belia Negeri Perak. 

Kerana berasa tidak tenteram, Salleh telah pergi menemui Tuan Ibrahim, Kadi daerah Ipoh yang membawanya berjumpa dengan Mufti Negeri Perak dan En Azlan, Pengarah Jabatan Agama Islam, Di sana dia terus bertaubat.

Seramai 3,000 orang telah dikristiankan, terutama di Manjoi dan Rapat Setia di Perak dan juga di Johor Bahru. Untuk mengenali mubaligh lelaki, mereka  berseluar hitam, berbaju putih, bertali leher hitam dan membawa beg James Bond. Mubaligh wanita pula berbaju putih, skirt hitam dan reben hitam. Tempat yang sering dikunjungi di Kuala Lumpur ialah sekitar Kompleks Daya Bumi, Kota Raya dan Sungei Wang Plaza. 

Cara-cara mubaligh kristian menyebarkan agama ialah dengan menemubual dan bertanya tempat asal mangsa, terutama pencari kerja. Mubaligh belanja makan, menawarkan tempat tinggal berupa asrama 120 katil dan makan minum disediakan. Menerusi audio video, perlahan-lahan mangsa diajak bersembahyang dengan diberi satu salib. Selepas dibawa sembahyang akan diberi sejenis air hitam (holy water). 

Setelah diberi minum, seminggu lidah menjadi hitam, tidak boleh mengucap. Suara azan seolah-olah tidak lagi masuk ke telinga, hal dakwah Islam juga tidak dapat didengar. Air itu khusus untuk orang Islam sahaja.

Kewangan untuk gereja berjumlah $12.6 juta yang sumbernya datang dari Sabah, Sarawak, Filipina dan Singapura. Ketika itu Motorola adalah penyokong sebaran Kristian di sekitar kawasan Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Senawang. Di Senawang seramai 200 orang terlibat. Ketua di Senawang ialah Haji Hanapi Saat dan Hj Ismail, berasal dari Sungai Petani Kedah. Haji Hanapi, seorang bekas guru terpengaruh dengan pengaruh Kristian akibat desakan hidup.

Sekolah yang paling teruk dilanda Kristian ketika itu ialah Victoria Institution. 20 orang telah dikristiankan. Mereka sukar untuk diberi nasihat kerana kebanyakannya anak orang kenamaan. Di sekolah STAR, Ipoh ada 2 orang. Di Sekolah Teknik, seorang pelajar perempuan yang bersalib telah bertaubat. Bila Salleh bertanya, katanya dia hanya main-main saja. Akhirnya dia bertaubat.

Di Banting, Kamariah bt Sidek, seorang lepasan sekolah telah dibawa masuk oleh seorang guru Cina. Mubaligh Cina umumnya dibayar RM165.00 sehari. Salleh pernah mengumpan cek berjumlah RM10 juta kepada Yusof Noor supaya mengadakan persidangan Kristian sedunia, sebagaimana tersebar di akhbar pada tahun 1982. Salasiah bt Sidek dari Sekolah Tengku Khursiah, Seremban yang pulang ke Nibong Tebal terlibat dengan kemalangan jalan raya. Di dalam tudungnya ditemui sebuah salib. Punca terjebak dalam ajaran Kristian ialah desakan hidup dan kurang didikan agama Islam.

Selama bergiat dalam agama itu Salleh dapat menarik semula 300 hingga 400 orang. Dia yang kini bekerja dengan Badan Kebajikan Islam Perak mendedahkan bahawa matlamat pada tahun 1990 ialah untuk menawan seluruh Malaysia/Brunei kepada agama Kristian. Paderi Besar di Malaysia ialah Kamaruddin Hj Ahmad. Pairin Kitingan pula merupakan penaungnya dan Salleh sendiri sebagai timbalan paderi itu.

Salleh dihantar ke setiap masjid di Melaka untuk membuat kajian mengapa umat Islam malas ke masjid. Dia menyoal selidik imam dan bilal untuk mendapatkan maklumat. Selepas bermesyuarat 3 hari, dia menghantar 6 orang mubaligh. Tidak sampai sebulan 400 orang telah masuk Kristian di Melaka. 

Sasaran mubaligh Kristian ialah belia Islam yang tidak faham agama. Ada yang tidak tahu baca Fatihah. Cara untuk masuk Kristian ialah mereka perlu memberi 2 keping gambar dan duit setem RM7.00. Kemudian pergi ke mahkamah di Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur untuk mengangkat sumpah. Nama dalam kad pengenalan tidak ditukar. Kerana itu sukar hendak dikesan.

Salleh telah memberi penerangan kepada pihak Polis Bukit Aman dan Pusat Islam untuk memberi kesedaran mengenai kegiatan mengkristian umat Islam ini. Oleh itu bila membaca kitab mereka, umat Islam tidak akan terpengaruh dengan dakyah mereka.

Paderi dikenakan 4 syarat iaitu: 
Tidak boleh hisap rokok
Tidak boleh minum arak
Tidak boleh makan benda-benda berdarah
Tidak boleh kahwin.

Holy water dibawa dari Indonesia. Ketua Paderi Indonesia, Bapak Bruto yang menyediakan air ini. Percetakan buku-buku Kristian di Cheras telah disiasat dan mereka ada lesen.

Dari pengalaman para mubaligh, penduduk tiga negeri sukar dikristiankan iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, malah mubaligh yang cuba berbuat demikian pernah dipukul hingga patah tangan.

Sabda Rasulullah saw: "Sebarkanlah walaupun sepotong ayat.”

Firman Allah SAW: “Nescaya Allah memperbaiki amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar." (Surah Al- Ahzab:71)

No comments:

Post a Comment