Thursday, January 10, 2013

Duit Untuk Pencen



serenemaklong.blogspot.com


MENGAPA timbul keadaan kita beli lebih daripada kita mampu? Kadangkala, kita bersama keluarga atau rakan-rakan berjalan-jalan di pusat membeli-belah, ternampak sesuatu yang diminati, lalu terus membelinya tanpa fikir panjang. 

Kita tidak fikirkan sama ada kita mampu ataupun tidak dan terpaksa menanggung beban kurang wang di hujung bulan. Atau lebih teruk lagi, belian yang dilakukan itu menggunakan kad kredit yang kita sendiri tidak tahu bagaimana hendak membayar balik hutang tersebut. Kita tahu kita tidak mampu, tetapi kita lakukan juga!

Satu penyelidikan ke atas tabiat manusia menyebut bahawa secara tabiatnya, manusia sering mencari jalan atau penyelesaian yang mudah dan singkat untuk sesuatu masalah berbanding memikirkan cara yang lebih sukar dan panjang. 

Buktinya, boleh dilihat ramai yang terjerumus dalam skim cepat kaya kerana  inginkan penyelesaian masalah kewangan yang cepat dan kononnya mudah. Begitu juga mereka yang ingin menurunkan berat badan akan mencari jalan yang lebih mudah dengan memakan pil-pil tertentu. Bagi mereka menjaga pemakanan dan melakukan senaman dilihat lebih sukar.

Apa yang terjadi dalam tabiat wang yang tidak baik ialah membeli barangan menurut emosi merupakan satu cara yang dilihat boleh mengubat diri sendiri dengan mudah dan pantas apabila diri berada dalam keadaan tertekan, sedih atau bermasalah. Apabila membeli sesuatu, kita mendapat kegembiraan  serta-merta. Dan itu yang kita mahukan tanpa berfikir panjang!

Dalam keputusan pembelian, 90% berupa keputusan emosi manakala 10% pula keputusan mengikut logik. Golongan lelaki jangan menyangka hanya wanita sahaja yang membeli secara emosi. Lelaki juga sama. Malah, sering kali golongan lelaki membeli barangan yang lebih mahal berbanding wanita!

Tabiat membeli mengikut emosi, dicampurkan dengan tabiat terapi membeli untuk mengubat diri yang sementara membuat kita membeli barangan yang kita sendiri tidak mampu.

Dalam memasuki tahun baru, mari kita berazam untuk mengikis tabiat yang merosakkan diri ini. Daripada melibatkan diri dalam skim cepat kaya yang tidak membawa faedah, sebaiknya kita adakan tabungan untuk masa hadapan.
Simpan 5 atau 10 peratus daripada pendapatan bulanan dalam satu akaun  khas. 

Simpanan ini bolehlah dianggap tabungan KWSP peribadi. Jangan sesekali disentuh duit itu kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak. Mulakan secara berdikit-dikit, tetap dan beransur-ansur. Inilah yang dikatakan Duit Untuk Pencen!!!

No comments:

Post a Comment