serenemaklong.blogspot.com
PERKATAAN rasuah berasal daripada
perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Dalam
Al-Quran rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga
perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Rasuah
ataupun corruption dalam Bahasa
Inggeris, tidak diberi definisi di dalam undang-undang Malaysia.
Walau bagaimanapun ada beberapa definisi yang telah
diberi oleh pihak yang pakar dalam bidang ini. Di dalam kamus Concise Law Dictionary, P. G. Osborne
memberi definisi: bribery
and corruption sebagai perbuatan giving or offering any reward to any person to
influence his conduct; or the receipt of such reward. John B.
saunders pula dalam kamus Mozley and Whiteleys Law Dictionary memberi definisi:
the Taking or giving
of money for the performance or non-performance of a public duty.
Jenayah rasuah ditegah agama. Allah
s. w. t. berfirman yang bermaksud:- Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta
(orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu
menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim- hakim kerana hendak
memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui (salahnya).
Definisi Suapan
· Wang, derma,
pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta,
iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat
seumpama itu yang lain;
· Apa-apa
jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa
perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa
sifat;
· Apa-apa
bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau
liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
· Apa-apa jenis
balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau
peratusan;
· Apa-apa
perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau
benda berharga;
· Apa-apa jenis
perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa
penalti atau ketakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada
apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah,
sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri
daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi;
· Apa-apa
tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk
memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang
terdahulu.
Punca Utama Rasuah
Berbagai faktor dikaitkan dengan perbuatan
jenayah rasuah. Secara ringkasnya, berdasarkan pengalaman Badan Pencegah Rasuah
(BPR), perbuatan jenayah rasuah berlaku disebabkan:
· Ingin hidup
mewah, ingin cepat kaya dan sentiasa mengejar kebendaan tanpa mengira halal
haram. Apa yang dipentingkan hanyalah nilai-nilai material, dengan membuang
jauh tanggungjawabnya sebagai seorang penjawat awam yang diamanahkan dengan
kuasa dan pertanggungjawaban.
· Tidak mahu
mengambil kira langsung bahawa dengan melakukan perbuatan rasuah, penyelewengan
dan penyalahgunaan kuasa, sebenarnya dia telah melakukan kezaliman, penganiayaan
dan menafikan hak-hak orang lain atau memberikan hak sesuatu itu bukan kepada
orang yang sepatutnya mendapat hak itu.
Sebagai contoh, oleh kerana seorang pegawai di Bahagian
Bekalan menerima suapan secara rasuah, kontraktor yang sepatutnya dan layak membekalkan
peralatan ketenteraan, atau membekalkan makanan telah tidak dipilih. Perbuatan
pegawai ini menyebabkan Kementerian Pertahanan atau Angkatan Tentera telah
dinafikan yang terbaik yang boleh dibekalkan oleh kontraktor berkenaan.
· Sikap hidup
yang suka bermegah-megah hinggakan konsep seperti kata orang Perak, "biar
pape asal bergaye" menjadi amalan. Menyara hidup melebihi pendapatan hinggakan terpaksa
berhutang di sana sini. Malah ada yang sanggup berhutang dengan chettiar dan loan sharks. Akhirnya, akibat
bebanan hutang jenayah rasuah dilakukan.
· Kurang
penghayatan nilai murni, ilmu agama, dan hilangnya nilai akhlak yang baik juga
menyebabkan seseorang itu bergelumang dalam jenayah rasuah. Menurut seorang
penulis, "nilai" ialah "beliefs about right and wrong". Manakala
"etika" pula ditakrifkan sebagai "thinking systematically about morals and conduct and making
judgments about right and wrong" (Carol
W. Lewis: The Ethics Challenge in Public Service). Kerendahan moral ditambah
dengan nafsu yang tidak lagi dapat membezakan antara nilai yang baik dan buruk,
hingga mengenepikan nilai-nilai suci dalam agama mendorong seseorang itu
melakukan pelbagai kemaksiatan dan jenayah. Individu seperti ini memperhambakan
dirinya kepada nafsu yang mengongkong kehidupannya.
· Kurang
penyeliaan pegawai atasan menyebabkan individu yang didorong oleh unsur yang
tidak sihat mengambil kesempatan dari keadaan itu untuk melakukan
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Kurang komitmen kepimpinan
untuk mengenalpasti ruang-ruang yang boleh menyebabkan berlakunya perbuatan
rasuah, dan ditambah pula wujudnya pemimpin yang takut untuk menjadi tidak
popular, menyebabkan keadaan akan tidak terkawal.
· Terlalu banyak
penurunan kuasa tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasan juga membuka
banyak ruang berlakunya perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan
kuasa.
· Longgarnya
tatacara dan peraturan kerja atau kelemahan dalam sistem pelaksanaan kerja itu
sendiri, boleh menyebabkan sesebuah Jabatan / Agensi terdedah dengan perlakuan jenayah rasuah,
penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai dan kakitangannya. Komitmen
kepimpinan khususnya, dan sikap serta perasaan pertanggungjawaban semua
kakitangan bagi mempastikan ketelusan tatacara kerja dan sistem pelaksanaan
kerja adalah sangat penting.
Kesalahan Rasuah
Meminta/ Menerima Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah
meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan
lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan
apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi,
prinsipal/majikan berkenaan.
Menawar/Memberi Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah
meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan
lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan
apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi,
prinsipal/majikan berkenaan.
Membuat Tuntutan Palsu
Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi
kepada prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya
mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai
kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya.
Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau
kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil
tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu,
saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak
langsung
Kesimpulannya, rasuah adalah
jenayah dan satu dosa besar yang mesti dihalang. Allah swt berfirman:
"dan janganlah
kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang
salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu ( memberi rasuah ) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan ( atau mengambil ) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya." (Surah
Al-Baqarah: ayat 188).
No comments:
Post a Comment