RUMAH ini adalah dari jenis bumbung panjang. Reka bentuknya yang lebih etnik dan ringkas dikenali sebagai Rumah Kutai. Rumah ini masih terdapat di negeri Perak dan kebanyakannya berusia lebih 100 tahun. Antaranya di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Kampung Kota Lama Kanan dan Kampung Bota Kanan, Parit.
Rumah ini menggunakan sepenuhnya bahan binaan semula jadi yang terdapat di sekeliling kampung. Struktur asas adalah kayu keras manakala atap dibuat dari daun rumbia dan dinding pelupuh dari anyaman buluh atau rotan.
Rumah ini
mempunyai bumbung yang agak tinggi, tetapi terdapat sedikit keunikan dari segi
keterbukaan. Ia seolah-olah tidak mempunyai pengudaraan yang baik dan
mencukupi. Dinding rumah mencapai ke paras rabung atap tanpa diselangi kerawang
atau seumpamanya. Ini disebabkan dinding itu sendiri tembus angin, maka ia
tidak memerlukan hiasan kerrawang. Ini menggambarkan sikap rendah diri penghuni
rumah ini.
Rumah Kutai adalah untuk orang biasa berbanding rekaan lain yang lebih moden
dan canggih seperti bumbung limas dan bumbung Perak. Rumah ini mempunyai beberapa
unsur seni struktur yang agak menarik, ringkas dan mempunyai fungsinya
tersendiri.
Rumah ibu dipisahkan dari rumah dapur dengan selang yang terbuka. Rumah
ibu mempunyai tingkap menghala ke rumah dapur. Di penghujung rumah dapur
terdapat pelantar untuk kegunaan penyediaan makanan atau ruang letak bagi hasil
dari kebun dan sungai.
(Sumber http://malaysiana.pnm.my/senibina/Seni%20Bina%20Web/perak/struktur.html)
No comments:
Post a Comment