Monday, October 29, 2012

Leka Urusan Dunia


serenemaklong.blogspot.com



SOLAT mudah dilakukan tetapi paling susah dilaksanakan, sedangkan itu amalan pertama yang ditanya Allah SWT kepada hamba-Nya ketika dihadapkan di muka pengadilan nanti.

Walaupun sedar hakikat itu, masih ramai yang mengabaikan perintah yang disampaikan oleh Allah secara langsung dari Luh Mahfuz kepada Rasulullah saw semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu mengerjakan amal yang soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah pagi kafir dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bagaimana kita hendak menjawab apabila ditanyakan nanti kenapa meninggalkan solat. Apakah jawapan yang sesuai untuk diberikan - malas, terlupa atau tidak tahu. Tepuk dada tanya iman kerana ketika itu keimanan yang akan menjawabnya.

Dalam mengejar tuntutan duniawi, bekalan di akhirat juga perlu disediakan. Oleh itu kita patut uruskan masa selama 24 jam yang dikurniakan berdasarkan keutamaan. Pastikan tanggungjawab kepada Pencipta berada di tangga teratas.

Sering kali disebabkan leka dengan kerja dunia, kita selalu mengambil ringan kepentingan menunaikan solat, bukan saja memastikan dilaksanakan semua lima fardu itu tetapi hendaklah menyegerakannya sebaik selesai seruan muazzin.

Tiada istilah tidak sempat solat jika kita bijak merancang. Bila sudah tahu jika balik kerja jam 6 petang kita akan terlepas solat Maghrib, ada dua pilihan di depan. Balik selepas selesai menunaikan solat Maghrib, atau berhenti pada pertengahan jalan yang mempunyai kemudahan seperti surau untuk bersolat. Tambahan, banyak stesen minyak sekarang ini menyediakan ruang solat yang selesa untuk umat Islam menunaikan tanggungjawabnya.

Jika solat sering terabai, apatah lagi membaca al-Quran. Jika dibiasakan membaca al-Quran selepas solat walaupun hanya beberapa ayat, itu sudah memadai daripada tidak membaca langsung.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu mengerjakan amal yang soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah pagi kafir dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dunia ini hanya pelabuhan sementara. Oleh itu carilah bekalan sebelum belayar ke tempat abadi kita. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment