Saturday, October 27, 2012

Kematian Baik dan Buruk


serenemaklong.blogspot.com


SETIAP yang hidup akan merasai mati. Bagi sesetengah manusia, kematian adalah pemutus segala nikmat yang ada di dunia. Namun bagi orang mukmin itu adalah peluang untuk bertemu dengan Allah - jalan ke syurga. 

Tiada siapa pun tahu bila, di mana, dan bagaimana kematian akan datang menjengah. Namun terdapat tanda-tanda kematian yang boleh dilihat oleh sesetengah orang.

Keluarnya roh daripada jasad orang kafir dan mukmin adalah sama: Si mukmin pada saat itu akan berusaha mengeluarkan nyawanya kerana bersangka baik dengan Allah dan ingin menemuinya sedangkan Si kafir pula berusaha menahan nyawanya sebab takut mati.

Apakah rasanya ketika nyawa keluar daripada jasad? Seorang ulama menulis, “ Semasa roh dicabut daripada jasad, satu demi satu anggota tubuh akan mati. Mula-mula kedua-dua kakinya akan terasa sejuk, sesudah itu betisnya pula, diikuti paha dan seterusnya.

Setiap anggota tubuh akan terasa sakit. Keadaan ini terus berlaku pada setiap organ tubuh hingga ke kerongkong. Pada waktu itulah pandangannya pada dunia dan semua anggota keluarga hilang. Pada ketika itu tiada gunanya lagi segala taubat.

Rasulullah saw bersabda, mafhumnya: Taubat seorang hamba akan diterima selagi nyawanya belum sampai ke kerongkong (dalam keadaan hampir meninggal dunia) dan ringankanlah sakaratul maut untukku.  

Tanda-tanda seseorang yang memperoleh husnul khatimah boleh dilihat daripada beberapa segi, iaitu:

PERTAMA, Anas r.a berkata bahawa Nabi saw pernah bersabda: “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang. Dia akan memperlakukannya (dengan baik).” Ditanyakan, “Bagaimana Dia memperlakukannya?” Baginda menjawab, “ Dia memandunya untuk berbuat amal soleh sebelum kematiannya.” (HR Tirmizi dan al-Hakim)

KEDUA, ‘Amr ibn al-Hamq berkata, Rasulullah saw bersabda, “Jika Allah mencintai seorang  hamba, Dia akan memberi kehormatan baginya.” “Bagaimana Dia memberi kehormatan kepadanya?” tanya para sahabat. Baginda menjawab,” Dia memimpinnya untuk berbuat amal soleh ketika mendekati ajalnya sehingga para jirannya meredainya.”

KETIGA, Sayidatina Aisyah r.h.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan mengirimkan beberapa malaikat kepadanya sebelum kematiannya yang akan meluruskannya sehingga dia meninggal dalam sebaik-baik keadaan. Ketika itu manusia berkata, “Si Fulan meninggal dalam keadaan yang paling baik.”

Maka lazimkanlah memohon kepada-Nya agar kita dikurniakan pengakhiran hidup yang baik sehingga bertemu dengan Allah dalam keadaan Dia reda dengan kita selaku hamba-Nya.

    

No comments:

Post a Comment