Wednesday, October 31, 2012

Doa Adik

serenemaklong.blogspot.com



SABAN hari Abang berdoa agar Allah mempertemukan dia dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia yakin nasibnya akan berubah jika beristerikan wanita kaya.

Berbanding Abang, Adik kurang celik huruf. Hendak berdoa pun terpaksa membaca doa yang ditulis di atas kertas. Adik yang meminta Allahyarham bapa menuliskan doa itu tidak lama sebelum dia meninggal, dan kertas itulah yang sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan Abang dengan seorang wanita cantik dan kaya yang diidam-idamkannya. Wanita itu jatuh hati kepadanya, lantas mereka pun berkahwin.

Hidup Abang bagaikan mendapat durian runtuh, terus sahaja berubah menjadi senang lenang. Dia berpindah keluar dari rumah pusaka dan meninggalkan Adik.

Semakin hari kekayaan Abang semakin bertambah, terutama selepas melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Dek leka dengan kekayaan dia semakin alpa dengan perintah Allah – kerap melewatkan solat dan jarang membaca Al-Quran, namun tidak pernah lupa memohon  kekayaan daripada Allah. Jika soal perniagaan dan kekayaan dunia, doa yang dipanjatkannya kepada Allah bertali arus. Peliknya, semua doa Abang dimakbulkan ALLAH. Abang merasa dirinya istimewa.

Sebaliknya, keadaan Adik tidak berubah. Hidupnya masih sederhana. Disebabkan kurang celik huruf, dia hanya mendapat kerja yang berpendapatan sederhana, di samping terus menjaga rumah pusaka.

Abang tahu Adik rajin berdoa. Namun dia hairan melihat hidup Adik masih di tahap yang sama. Lantas suatu hari, ketika Abang menziarahi Adik, Abang berkata dengan sombong:

“Kamu mesti berdoa lebih kuat lagi. Tengok aku, ALLAH makbulkan semua doaku. Kamu tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok kertas. Tak cukup hebat!”

Adik tersenyum sahaja. Dia suka Abang menegur seperti itu kerana padanya, teguran abang amat bermakna. Meskipun dia tidak kaya seperti Abang.

Suatu hari, Adik meninggal dunia. Abang terpaksa mengambil alih pemilikan rumah pusaka. Ketika sibuk mengemas rumah, dia terjumpa kertas yang sering dipegang Adik ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Pada kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkanlah segala doa Abang”.

No comments:

Post a Comment