Tuesday, October 23, 2012

Hijrah


serenemaklong.blogspot.com


NALURI manusia yang normal sudah pasti mahukan kejayaan ataupun perubahan yang lebih baik pada setiap masa. Tiada manusia yang sempurna akalnya, mahu terus hidup dalam kegelapan dan bergelumang dalam dosa serta maksiat.

Untuk berubah, manusia perlu mengorbankan banyak perkara. Antaranya adalah 'kekuatan' untuk mengorbankan rasa selesa berada pada tahap sedia ada dan melaksanakan transformasi dalam diri untuk menjadi insan berjaya.

Allah SWT berfirman: ...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka - ar-Ra'd: 11.

Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah Al-Munawwarah menjadikan dakwah Islam berpindah ke satu tahap dakwah yang baru. Kaum muslimin juga boleh beribadah dengan lebih selamat dan terbuka berbanding tekanan dan suasana umat Islam di Mekah.

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekah) tetapi jihad dan niat (yang baik). Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah - HR Muslim)

Sememangnya tidak ada lagi hijrah selepas hijrah (perpindahan) Nabi SAW itu. Yang ada, adalah hijrah dalam segi berjihad menentang hawa nafsu yang suka mengajak manusia bergelumang dalam noda dan dosa.

Umat Islam masa kini perlu berusaha berhijrah dalam tiga keadaan untuk mencapai taraf hidup yang lebih baik.

Pertama, hijrah daripada melakukan dosa dan kesalahan, kedua; meninggalkan negara kufur (yang melarang umat Islam melaksanakan Islam) dan ketiga; hijrah meninggalkan tempat-tempat maksiat.

Dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekelian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam - al-Nisa': 140.

Negara kufur di sini adalah negara yang melarang umat Islam melaksana ibadat. United Kingdom memang negara kufur tetapi tidak sampai menghalang umat Islam beribadat malah wujud masjid pelbagai mazhab di sana..

Kejayaan Rasulullah SAW berhijrah dan membentuk para sahabat menjadi mukmin adalah kerana sering membawa akhirat dalam kehidupan. Contohnya, dalam Perang Tabuk, umat Islam diperintah berjihad menentang musuh ketika hasil tanaman mereka hanya menunggu masa dituai.

Keadaan ketika itu adalah musim panas dan orang Islam perlu membelah kawasan gurun yang suhunya mencecah 50 ke 60 darjah Celsius. 

Di sini golongan munafik awal-awal lagi mencari pelbagai helah supaya tidak ikut serta berjihad bersama Nabi SAW.

Lebih teruk lagi, mereka cuba mempengaruhi umat Islam supaya jangan berjihad dengan alasan 
antaranya, sudah tentu kamu akan mati kepanasan di padang pasir yang tidak ada air dan tempat berteduh.

Namun baginda SAW bersabda kepada umat Islam, neraka Allah adalah lebih panas daripada yang bakal dilalui di padang pasir. Para sahabat mendalami ajaran Allah, sebab itu mereka berjaya.

Allah mencipta kaum lelaki untuk keluar bekerja dan wanita untuk mendidik keluarga dan anak-anak.
Media hari ini mencanangkan wanita yang hebat dan berjaya adalah wanita yang berkerjaya. Terlalu mengutamakan kerjaya bakal menjadikan keluarga pincang dan melahirkan golongan pembunuh, perompak dan serba serbi yang buruk.

Saidatina Khadijah bekerja sebagai usahawan tetapi beliau adalah seperti pemegang saham dan duduk di rumah. Demikian juga dengan Aisyah yang bekerja mengajar para sahabat ilmu Islam baik hadis dan juga al-Quran.

Tugas utama isteri ialah mengurus 'sarangnya' (rumah), dan mendidik anak-anak. Namun kedudukan ekonomi keluarga juga harus kukuh. 

Kerana ingin menseimbangkan antara ekonomi dan keluarga, wanita menggunakan peluang yang terbuka luas di Internet untuk berniaga dalam talian. 

Inilah hijrah terbaik. Ekonomi kukuh dan keluarga utuh. Tahniah!!!  

No comments:

Post a Comment