Thursday, May 26, 2016
Tuan Tidak Rasa Rindukah
Seorang majikan membeli seorang jariyah perempuan dengan harga 10 Dinar. Setelah sampai di rumahnya, majikan menyediakan dan menghidangkan makanan.
Jariyah itu berkata, ‘Tuan maafkan saya, di rumah kami, kami tak biasa makan di siang hari pada bulan puasa.’
Lantas si majikan membiarkan sahaja jariyah tersebut. Pada malam harinya beliau menghidangkan makanan tetapi didapatinya si jariyah hanya makan sedikit sahaja.
Setelah itu, si jariyah bertanya, ‘Wahai Tuan, apa yang perlu saya buat malam ini?’
Jawab majikan, ‘Malam ini tidak ada sebarang keperluan.’
Jawab jariyah, ‘Baiklah, izinkan saya berkhidmat (melakukan ibadat) mencari redha Majikan Yang Maha Agung, Allah SWT.’
‘Baiklah, dengan penuh senang dan bahagia,’ tegas si majikan.
Si jariah pun menuju ke bilik yang disediakan untuk bersolat dan beribadat. Majikan juga menunaikan solat fardu Isya’ dan sejenak kemudian terus tidur.
Setelah berlalu sepertiga malam pertama, jariyah datang mengetuk pintu. Majikan bertanya ‘Adakah kamu perlukan sesuatu?’
Jelasnya ‘Wahai Tuan, tidakkah Tuan ingin meraih peluang beribadat pada malam hari?’
Jawab si majikan ‘Tidak, saya ingin berehat.’ Kemudian jariah pun kembali ke biliknya.
Pada tengah malam si jariyah untuk kedua kalinya datang mengetuk pintu bilik majikan, 'Wahai Tuan, para ahli tahajud sudah bangun meraih wirid dan amalan mereka.’
Majikan menjawab ‘Wahai jariyah, saya pada malam hari kaku bagaikan sepotong kayu tak bergerak, dan siang hari bagaikan sakit menderita.’
Setelah tinggal sepertiga malam terakhir, si jariyah datang buat ketiga kalinya mengetuk pintu dengan lebih kuat dari yang sebelumnya. Dia memujuk si majikan, 'Tidakkah Tuan rasa rindu ingin bermunajat bersimpuh di hadapan Sang Raja? Bangunlah demi kemaslahatan diri Tuan sendiri. Rebutlah habuan itu. Para khadam (ahli ibadat) telah mara mendahului Tuan.’
Ungkapannya sungguh menggugah hati. Majikan pun bangkit dan berwuduk, kemudian solat beberapa rakaat. Setelah itu beliau cuba memerhatikan si jariyah. Lantas didapatinya jariyah sedang sujud sambil meluahkan isi hatinya di hadapan Allah, 'Ya Allah, dengan kecintaan-Mu terhadapku, ampunilah kiranya dosaku.’
Lantas majikan tergerak hati untuk bertanya, 'Wahai jariyah, bagaimana kamu tahu Allah cintaikan kamu?’
Dia menjelaskan,'Dengan kecintaan dan mahabbah-Nya tuan tidur nyenyak di malam hari; dan saya nikmat berqiyam.’
Si majikan lantas berkata ‘Pergilah, kamu aku merdekakan dengan seikhlas hati, demi redha Allah yang Maha Agung.’
Si jariyah berdoa dan sambil pergi merakamkan ucapan perpisahan, 'Ini kebebasan kecil, masih ada lagi kebebasan agung.’
[Kuliah Maghrib SURAU AL-UMM, SEKSYEN 1 BANDAR BARU BANGI, Selangor Darul Ehsan oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment