Monday, May 16, 2016

Al Quran - Teman Sehidup Semati


Firman Allah S.W.T. "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Muhammad s.a.w.) daripada Allah dan sebuah Kitab (Al Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izin-Nya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Surah Al Maidah ayat 15-16).

Awalilah pagi kita dengan membaca dan mentadabbur Al Quran. Semoga Allah membukakan hikmah dan rahsia Al Quran kepada pembaca yang menghayati dan mengamalkan perintah yang terkandung di dalamnya. Orang yang gemar membaca Al Quran dikaitkan dengan "Ahli Allah." Sabda Nabi s.a.w. "Sesungguhnya bagi Allah itu ahli-Nya daripada kalangan manusia." Lalu sahabat bertanya, "Siapakah meereka itu, wahai Rasulullah?" Lalu dijawab baginda, "Ahli Allah itu ialah orang yang mendampingi Al Quran dan mereka adalah orang-orang pilihan-Nya." (HR an-Nasa'i)

Ahli Allah merupakan para penghafaz Al Quran yang menghafaz semata-mata kerana mencintai Allah. Mereka mendapat keberkatan dalam tiga alam: selamat di alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.


Selain itu, Al Quran boleh dibaca dan pahalanya disedekahkan kepada orang-orang tersayang yang telah dahulu mengadap Ilahi, sebagai manfaat buat mereka. Allahyarham/allahyarhamah memang memerlukan sedekah dari orang hidup terutama anak-anak yang soleh/solehah, kerana mereka sudah tiada upaya mengusahakan apa pun dengan "sendirian berhad."

Manfaat bagi pembaca tetap sama dengan manfaat yang diberi kepada si mati, tidak berkurang sedikitpun. Malah, kebaikan yang dilakukan oleh orang yang hidup pasti datang kembali apabila dia sendiri mengadap Ilahi.

Ada ubi ada batasannya
Tiba hari, diri juga dapat balasannya.

Memang begitulah Hukum Allah. Jangan kedekut untuk bersedekah dengan apa jua yang kita ada.

No comments:

Post a Comment