Sunday, May 22, 2016
Tingginya Nilai Ikhlas
Dari segi bahasa ikhlas bermaksud murni, bersih, tulen dan tidak bercampur dengan benda lain, umpama air jernih tidak bercampur dengan apa-apa pun; keladak, debu, kopi, teh dan sebagainya.
Dari segi tuntutan syarak, ikhlas adalah PENYERAHAN AMALAN UNTUK ALLAH SEMATA-MATA. Mengabdikan diri kerana Allah dan tidak dicampur atau bercampur selain Allah. Ketika melakukan sesuatu amalan dapat dirasakan tiada daya dan kemampuan melainkan daripada-Nya, menyerahkan usaha dan tujuannya itu kepada Allah semata-mata.
Firman Allah: `Katakanlah, sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, (Surah Al An’am ayat 162).
Ikhlas dituntut dalam semua amalan – solat, zakat, haji, umrah, membaca Al Quran, bekerja , mengajar, berdakwah, menolong orang lain, beriadah, membeli-belah – semuanya perlu dilakukan semata-mata kerana Allah.
Firman Allah, `Dialah yang mencipta kematian dan kehidupan bagi menguji kamu siapakah yang paling baik (paling ikhlas dan benar) amalannya.` (Al Mulk ayat 2).
RENUNGAN AGAR HATI IKHLAS:
● ketika nasihat, kritik dan bahkan fitnah, tidak mengendorkan amalmu dan tidak membuat semangatmu punah.
● ketika hasil tidak sebanding usaha dan harapan, tidak membuatmu menyesali amal dan tenggelam dalam kesedihan.
● ketika amal tidak bersambut penghargaan yang sebanding, tidak membuatmu mahu bertanding.
● ketika niat baik disambut berbagai prasangka, kamu tetap berjalan tanpa berpaling muka.
● ketika sepi dan ramai, sedikit atau banyak, menang atau kalah, kamu tetap pada jalan lurus dan terus melangkah.
● ketika kamu lebih mempersoalkan apa amalmu dibanding apa posisimu, apa perananmu dibanding apa kedudukanmu, apa tugasmu dibanding apa jabatanmu.
● ketika ketersinggungan peribadi tidak membuatmu keluar dari barisan jemaah dan merosakkannya.
● ketika posisimu di atas, tidak membuatmu leka, ketika posisimu di bawah tidak membuatmu enggan bekerja.
● ketika khilaf mendorongmu minta maaf, ketika ketinggalan mendorongmu mempercepat langkah.
● ketika kebodohan orang lain terhadapmu, tidak kamu balas dengan kebodohanmu terhadapnya, ketika kezalimannya terhadapmu, tidak kamu balas dengan kezalimanmu terhadapnya.
● ketika kamu mampu menghadapi wajah marah dengan senyum ramah, menghadapi kata kasar dengan jiwa besar, menghadapi dusta dengan penjelasan fakta.
Ikhlas itu mudah diucapkan, sukar diterapkan, namun tidak mustahil diusahakan. IKHLAS ITU SEPERTI SURAH AL IKHLAS, TIADA KATA IKHLAS DI DALAMNYA.
Ia tidak boleh di buktikan dengan kata, "Aku ikhlas." Ikhlas itu memberi tanpa menoleh lagi apa yang kita beri. Berbuat baik meskipun tiada orang yang melihat, menolong tanpa mengharap balasan kebendaan mahupun pujian manusia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment